Jumaat, 28 Ogos 2009

Kebahagiaan Memberi Dan Menerima

Hadith :
Dari Abu Said al-Khudri r.a, dari Nabi S.A.W, baginda telah bersabda yang maksudnya:”Mana-mana orang mukmin yang memberi makan kepada seorang mukmin semasa ia lapar, nescaya Allah memberi makan kepadanya pada hari kiamat dari buah-buahan Syurga; dan mana-mana orang mukmin yang memberi minum kepada seorang mukmin semasa ia dahaga, nescaya Allah memberi minum kepadanya pada hari kiamat dari minuman syurga yang tersimpan dengan sebaik-baiknya; dan mana-mana orang mukmin yang memberi pakai kepada seorang mukmin semasa ia memerlukan pakaian, nescaya Allah memberi pakaian kepadanya dari pakaian syurga.”

(at-Tirmidzi)


Huraian
1. Islam memberi galakan kepada umatnya agar memberi bantuan dan pertolongan kepada mereka yang memerlukan dalam pelbagai bentuk bagi meringankan beban yang ditanggung lebih-lebih lagi dalam hal keperluan asasi.
2. Perbuatan memberi dengan diiringi hati yang tulus akan membuatkan hati seseorang berasa tenang dan damai.
3. Juga ketika orang lain memberikan sesuatu pada kita, maka terimalah dengan hati yang ikhlas diiringi dengan senyuman dan ungkapkanlah kegembiraan hati kita kepadanya dengan ucapan terima kasih yang sebenarnya sangat bererti bagi orang yang memberi.
4. Pemberian memerlukan penerimaan, pemberian yang tulus juga memerlukan penerimaan yang tulus. Sesuai dengan sabda Rasulullah S.A.W, bahawa tangan yang di atas adalah lebih baik daripada tangan yang di bawah, maka memberi adalah lebih baik daripada menerima.
5. Berusahalah untuk lebih banyak memberi daripada menerima pemberian orang lain. Namun begitu apabila tibanya suatu saat di mana tibanya masa untuk diri kita menerima, maka terimalah juga dengan suatu ketulusan, jangan merasa rendah diri, tapi bertekadlah dalam hati untuk berusaha membalas pemberian tersebut kepadanya atau dalam ertikata lain ‘saat kita menerima sesuatu kita sesungguhnya sedang belajar untuk memberi sesuatu’.

0 comments:

Catat Ulasan

Template by:
Free Blog Templates