Khamis, 19 November 2009

Kesabaran Seorang Nabi Dan Rasul

Hadith :
Dari Abdullah r.a, katanya:”Seolah-olah saya melihat Nabi s.a.w menceritakan seseorang di antara nabi–nabi yang dipukul oleh kaumnya hingga mengalir darahnya dan nabi itu menghapuskan darah di mukanya sambil berdoa:”Wahai Tuhan! Ampunilah kiranya kaumku kerana sesungguhnya mereka belum tahu.”

(Bukhari)

Huraian
Kebenaran (hak) itu datangnya daripada Allah S.W.T. Pemimpin kebenaran khususnya para rasul wajib menyampaikan kebenaran itu kepada seluruh manusia. Bahkan salah satu sifat wajib bagi rasul ialah menyampaikan (tabligh). Mereka tidak boleh menyembunyikan kebenaran walaupun satu huruf. Apabila datang penentangan terhadap yang hak itu, maka kebenaran sikap mereka tetap tidak berubah, melainkan terus mencari jalan bagaimana kebenaran itu boleh sampai dan diterima oleh para penentang. Sekiranya sudah tidak ada lagi jalan untuk penentangnya menerima kebenaran, maka didoakannya pula. Doanya kepada penentang ialah agar menerima kebenaran dan Tuhan ampunkan segala kesilapan dan dosa-dosa mereka. Begitulah mulianya hati dan jiwa insan yang Allah anugerahkan sebagai pemimpin umat. Inilah hati para rasul. Lihatlah sikap Rasulullah s.a.w yang memaafkan penduduk Thaif yang menghina baginda. Malah baginda mendoakan agar mereka nanti akan menerima kebenaran dan beriman kepada Tuhan suatu masa kelak.

Beberapa Larangan Rasulullah S.a.w

Hadith :
Dari al-Mughirah r.a, dari nabi s.a.w baginda bersabda:”Allah telah melarang keras (mengharamkan) kamu menderhakai ibu, melarang membuat kikir dan mengubur anak perempuan. Tuhan benci kamu jika kamu terlalu banyak berbicara begitu begini, terlalu banyak bertanya serta membuang-buang harta tidak pada tempatnya.”

(Bukhari)

Huraian
Dosa-dosa besar adalah perbuatan yang membolehkan seseorang itu tergolong di kalangan orang-orang yang menempah keburukan di akhirat nanti walhal di dunia pun balasan dosa akibat perbuatan tersebut tidak mustahil akan menimpa mereka. Menderhakai ibu, bakhil dengan kelebihan nikmat yang dikurniakan Allah S.W.T, membunuh anak sendiri, banyak bercakap perkara yang sia-sia, banyak bersoal jawab sebelum melakukan sesuatu perkara dan suka melakukan pembaziran merupakan perbuatan yang dilarang dan dibenci di dalam Islam. Jika direnung akan keadaan umat sekarang, musibah-musibah yang datang menimpa tidak pernah berkesudahan. Sama ada ia boleh dikategorikan sebagai cubaan Allah, bala atau malapetaka semuanya bergantung pada kedudukan sesebuah umat itu kerana Allah tidak pernah menzalimi manusia tetapi manusialah yang menzalimi diri mereka sendiri. Jika kita lalai daripada mengingati dan mensyukuri nikmat Allah, segala sesuatu yang buruk akan sanggup kita lakukan kerana ia timbul hasil dorongan hawa nafsu. Hilang sifat kasih sayang, kasihan belas apatah lagi sifat kebergantungan terhadap Yang Maha Kuasa. Timbullah sikap angkuh dan bongkak hingga sanggup menzalimi orang lain. Tidak sedar akan balasan Allah yang bakal menimpa. Bahkan kita melakukan dosa dengan perasaan megah dan bangga. Itulah antara sebab-sebab yang mengundang kecelakaan. Oleh itu sebagai hamba yang beriman janganlah kita melakukan perkara yang ditegah kerana setiap tegahan itu adalah untuk kebaikan diri kita sendiri agar hidup sentiasa berada di dalam keredhaan Ilahi.

Rabu, 18 November 2009

Galakan berdoa

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:” Doa itu ialah ibadat.”

Riwayat Bukhari

Huraian
1. Doa adalah Istiksaat (memohon pengampunan dan pertolongan) dan hanya Allah S.W.T sahaja yang dapat memberikannya.
2. Orang yang berdoa hendaklah melahirkan kehinaan dan kerendahan diri serta menyatakan hajat dan tunduk kepada Allah sebagai menunjukkan bahawa kita berhajat kepada Allah untuk memperolehi sesuatu yang kita kehendaki.
3. Doa adalah suatu ibadat yang sangat penting kedudukannya dan sangat mahal nilainya bahkan ia adalah pintu yang paling utama daripada pintu-pintu ibadah yang lain dalam meperhambakan diri kepada Allah.
4. Apabila seseorang itu berdoa maka hendaklah ia melakukannya dengan sebaik-baiknya dan dengan memelihara adab-adabnya. Dengan itu barulah doanya akan dimakbulkan oleh Allah S.W.T.

Persediaan Sebelum Tidur

Hadith :
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Zaid al-Ansari r.a bahawa dia pernah melihat Nabi Muhammad SAW berbaring terlentang di dalam masjid, meletakkan sebelah kakinya pada sebelah kakinya yang lain.”

(al-Bukhari)

Huraian
Sekiranya hendak tidur kita disarankan mengikut sunah Rasulullah SAW. Dalam suatu riwayat menerangkan: "Daripada 'Aisyah r.a katanya: "Nabi SAW apabila berbaring di tempat tidurnya pada setiap malam, baginda mengangkat kedua tangannya (seperti berdoa), lalu meniup dan membaca surah al-Ikhlas, surah al-Falaq, surah an-Nas, kemudian baginda menyapukan tangannya itu ke seluruh badan yang dimulai dari kepalanya dan mukanya dan bahagian depan daripada badannya, Baginda melakukannya sebanyak tiga kali.” (at-Tirmizi) Selain itu sebelum tidur baginda menunaikan sembahyang witir kerana Nabi SAW juga telah mengingatkan umatnya bahawa syaitan sering mengganggu manusia ketika tidur. Oleh itu kita dianjurkan supaya mengamalkan solat witir setiap kali sebelum tidur. Ketika baginda terbangun daripada tidur di tengah malam pula, baginda akan membasuh muka dan kedua belah tangan sebelum baginda tidur semula. Berkenaan dengan cara tidur pula, Rasulullah SAW selain daripada tidur miring ke sebelah kanan, baginda juga pernah tidur terlentang dengan cara meletakkan satu kaki di atas yang lain sebagaimana maksud hadis di atas.

Solat Dalam Kenderaan

Hadith :
Diriwayatkan daripada Jabir r.a: “ Nabi Muhammad SAW pernah mengerjakan solat (sunat) sambil menunggang haiwan tunggangannya (rahilah) ke mana pun baginda menghadap dan ketika Nabi SAW hendak mengerjakan solat wajib Nabi SAW turun dari tunggangannya dan solat menghadap kiblat (Kaabah di Mekah).”

(Al-Bukhari)

Huraian
Islam mewajibkan kita melakukan solat malah haram ke atas kita meninggalkannya tanpa sebarang keuzuran yang dibenarkan syarak. Sekiranya kita berada dalam musafir sekalipun kita juga diwajibkan solat. Terdapat berbagai-bagai kaedah dan pilihan yang telah digariskan termasuklah tata cara solat di dalam kenderaan sama ada kereta, perahu, kapal selam, kapal terbang mahupun dalam kapal angkasa. Dalil yang membolehkannya selain daripada hadis di atas ialah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah ibnu Umar r.a. Seorang sahabat telah bertanya kepada Nabi SAW :”Bagaimanakah cara untuk saya bersolat dalam perahu ? Nabi SAW menjawab: Solatlah di dalamnya dengan berdiri kecuali jika engkau takut tenggelam. Hadith di atas adalah sebagai dalil keharusan bersolat di atas kenderaan tanpa mengira apa jua jenis tersebut kerana ia bukanlah berkenaan hukum perahu tetapi ialah keharusan melaksanakan solat di atas kenderaan seperti mana Nabi SAW dan para sahabat yang pernah bersolat secara duduk di atas binatang tunggangan mereka. Baginda memberi isyarat yang sujud lebih rendah daripada rukuk. Solat sebegini adalah sah jikalau benar-benar menghadapi kesukaran.

Isnin, 16 November 2009

Kedudukan Tangan Ketika Sujud

Hadith :
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Malik bin Buhaina r.a, ketika nabi Muhammad SAW mengerjakan solat, nabi memisahkan (merenggangkan) tangannya dari tubuhnya (dengan lebar) hingga ternampak ketiaknya yang putih.”

(al-Bukhari)

Huraian
Sujud dari segi istilah ialah "penyerahan diri yang tertinggi". Tertib sujud ialah dengan meletakkan kedua-dua lutut ke lantai, baru diikuti tapak tangan dan seterusnya dahi. Kedua-dua tangan dirapatkan di bahagian bawah sedikit dari ibu jari, iaitu ada sedikit ruang terbuka di antara kedua-dua tangan dan di situlah dahi diletakkan. Jangan sujud terlalu jauh ke hadapan kerana dikhuatiri akan melebihi lebih dari anggota sujud yang 7 iaitu dahi, kedua tapak tangan, kedua lutut dan kedua belah kaki (setakat jari sahaja). Ibu jari kaki dilenturkan sedikit agar menghala ke kiblat. Rasulullah SAW ketika hendak sujud, baginda meletakkan kedua lututnya terlebih dahulu sebelum kedua tangannya. Setelah meletakkan kedua lutut, baginda kemudian meletakkan kedua tangan, lalu kening, lalu hidung. Ketika bangkit dari sujud, baginda mengangkat kepala terlebih dulu, lalu kedua tangannya, dan setelah itu baru kedua lututnya.

Rasulullah Bersiwak

Hadith :
Diriwayatkan dari Abu Musa r.a :” Aku menemui Nabi Muhammad SAW dan aku melihat Nabi SAW membawa siwak dalam genggaman tangannya kemudian menyikat giginya dan terdengar suara “Uh!Uh!” seakan Nabi SAW hendak muntah ketika siwak itu masih berada di dalam mulutnya.”

(al-Bukhari)

Huraian
Rasulullah SAW bersiwak setiap kali waktu solat, tetapi tidak memerintahkan sahabat untuk ikut bersiwak setiap kali hendak solat melainkan disuruh supaya berkumur-kumur ketika mengambil wudhu’. Bersugi atau bersiwak adalah suatu perbuatan bagi membersihkan mulut dan gigi. Hukumnya adalah sunat tetapi masa yang paling dituntut ialah setelah bangun dari tidur, ketika hendak mendirikan sembahyang , ketika hendak membaca al-Quran dan ketika berubah bau mulut. Alat untuk bersugi ialah tiap-tiap sesuatu yang suci dan kesat seperti berus gigi , kayu sugi dan lain-lain. Dari Aisyah r.a. Nabi SAW telah bersabda yang maksudnya:”Bersugi itu membersihkan mulut dan mendapat redha dari Tuhannya “.(al-Baihaqi )

Ahad, 15 November 2009

Wudhu’ Dan Air Kencing Bayi

Hadith :
Diriwayatkan daripada Ummu Qais binti Mihshan r.a : “Aku membawa bayi lelaki ku yang belum makan (makanan yang biasa) kepada Rasulullah SAW yang menimangnya dan mendudukkannya di pangkuannya. Anak ku kencing dan air kencingnya membasahi pakaian Nabi SAW. Lalu nabi meminta air dan memercikkan bahagian yang terkena air kencing itu namun tidak mencucinya.”

Huraian
Air kencing bayi lelaki jika belum memakan makanan selain susu ibunya sahaja maka cukup membersihkannya dengan cara memercikkan air pada pakaian yang terkena air kencing tersebut. Berbeza dengan air kencing bayi perempuan, maka pakaian yang terkena air kencing itu harus dicuci tidak kira sama ada dia sudah memakan makanan lain atau susu ibunya sahaja. Najis ini dikategorikan sebagai najis Mukhaffafah.

Solat Dalam Keadaan Mengantuk

Hadith :
Diriwayatkan dari Anas r.a :” Nabi Muhammad SAW pernah bersabda :” Apabila seseorang mengantuk ketika sedang mengerjakan solat hendaklah ia tidur terlebih dahulu hingga ia mengerti apa yang ia katakan (atau ia bacakan)”.

(al-Bukhari)

Huraian
Jika kita merasa sangat mengantuk dan letih eloklah sekiranya kita baring seketika. Selepas itu bangun dan ambillah wudhu’ dan tunaikan solat. Ingat! Jangan terus tertidur. Sebenarnya seseorang itu hendaklah bersembahyang dengan kekuatan yang ada pada dirinya. Tidak secara terpaksa hingga tidak sedar tentang bacaan dalam solat mahupun bilangan rakaat yang telah dikerjakan. Solat seperti ini boleh membawa kepada batal. Malah adalah lebih baik sekiranya setiap kali merasa mengantuk kita memperbaharui wudhu’ semula kerana dengan cara membasuh muka dan mengenakan air kepada anggota tubuh itu akan dapat menyegarkan semula badan kita dan kita menjadi bersemangat untuk mengerjakan solat.

Berkumur Sebelum Solat

Hadith :
Diriwayatkan daripada Suwaid bin al-Nu’man r.a:” Pada tahun terjadinya perang Khaibar aku pergi bersama Rasulullah SAW hingga kami tiba di Shahba, sebuah tempat dekat Khaibar, tempat Rasulullah SAW mengerjakan solat Asar dan meminta makanan. Tidak ada makanan lain kecuali sawiq. Nabi SAW menyuruh mencucinya terlebih dahulu. Kami semua memakannya dan tidak lama kemudian Nabi SAW berdiri untuk solat Maghrib, berkumur-kumur dan kami mengerjakan hal yang sama lalu mengerjakan solat dengan tidak mengulang wudhu’.”

(al-Bukhari)

Huraian
Makan dan minum bukanlah perkara yang membatalkan wudhu’ tetapi ia adalah perkara yang membatalkan sembahyang jika berlaku dalam sembahyang. Justeru bagi sesiapa yang mengambil makanan dan ingin mengerjakan solat dengan wudhu’ yang sedia ada digalakkan untuk berkumur terlebih dahulu sebagai langkah pembersihan mulut iaitu jika tidak berkesempatan memberus gigi kerana memberus gigi adalah cara yang terbaik untuk membuang sisa-sisa makanan yang melekat di celah-celah gigi. Rasulullah SAW dalam hal ini pernah bersabda yang maksudnya “Sekiranya tidak memberatkan umat ku, nescaya aku akan memerintahkan mereka bersiwak (memberus gigi) setiap kali ingin bersolat.” (Bukhari) Manakala ada dari riwayat yang lain mengatakan, “... Setiap kali hendak berwudhu’” (Bukhari)

Rabu, 11 November 2009

Mukmin Yang Berakhlak Mendapat Darjat Yang Tinggi

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya seseorang mukmin itu dapat mencapai darjat orang yang berpuasa yang mendirikan sembahyang ditengah malam disebabkan akhlaknya yang mulia”.

Riwayat Abu Daud

Huraian
1. Allah S.W.T. memberi ganjaran yang amat tinggi kepada orang yang berakhlak mulia, setaraf dengan orang yang berpuasa serta mendirikan sembahyang di tengah malam.
2. Setiap Muslim hendaklah berusaha mempertingkatkan kualiti akhlaknya agar menjadi baik dan lebih baik sepanjang menjalani kehidupan di dunia ini kerana setiap amalan akan dihitung dan dihisab di akhirat kelak.
3. Mukmin yang mempunyai akhlak mulia, bukan sahaja mendapat kemulian di dunia, bahkan mendapat darjat yang tinggi di sisi Allah di akhirat nanti.

Menahan marah

Hadith :
Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya seorang lelaki berkata kepada Nabi s.a.w.“ Berwasiatlah kepadaku, “Lalu Nabi s.a.w menjawab: “Janganlah engkau menjadi seorang yang pemarah.” Orang itu mengulangi permintaan beberapa kali, Nabi s.a.w menjawab:“Janganlah engkau menjadi seorang yang pemarah.”

Riwayat al-Bukhari

Huraian
1. Umat Islam dituntut supaya meminta nasihat daripada orang yang alim untuk membentuk peribadinya.
2. Islam menghendaki seseorang itu berusaha memperbaiki dirinya dari semasa ke semasa agar iman dan ketaqwaannya kepada Allah S.W.T semakin meningkat.
3. Hakikat marah menurut Islam ialah marah yang terpuji dan marah yang tercela. Kemarahan yang ditujukan untuk mempertahankan diri, agama, kehormatan, hak atau untuk menolong orang yang dizalimi adalah marah yang dituntut. Sebaliknya yang selain daripada itu adalah marah yang datang daripada sifat-sifat syaitan yang dikeji oleh Islam. Oleh itu umat Islam hendaklah menjauhinya.
4. Sesuatu persoalan atau wasiat yang memerlukan jawapan daripada seseorang, janganlah diminta secara mendesak atau menunjukkan kemarahan, tetapi hendaklah menggunakan tutur kata yang baik, bersopan dan sabar.

Sebaik-baik Nafkah

Hadith :
Dari Tsauban r.a, katanya, Rasulullah SAW bersabda:”Sebaik-baik dinar (wang atau harta) yang dinafkahkan oleh seseorang ialah yang dinafkahkannya untuk keluarganya untuk ternakan yang dipeliharanya, untuk kepentingan membela agama Allah (fi sabilillah) dan nafkah untuk para sahabatnya yang berperang fi sabilillah.”

(Muslim)

Huraian
Firman Allah yang maksudnya:”Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan ingatlah! Allah akan melipatgandakan pahala (ganjaran) bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya lagi meliputi ilmu pengetahun-Nya.”(al-Baqarah: 261) Sememangnya harta merupakan sesuatu yang sangat diperlukan oleh manusia. Manusia memerlukan harta untuk menanggung keperluan hidupnya, bahkan ibadat-ibadat seperti haji dan zakat perlu dilakukan dengan menggunakan harta. Sedekah juga memerlukan harta. Membuat kebajikan seperti mendirikan masjid, hospital, sekolah dan lain-lain juga memerlukan harta. Oleh kerana besarnya peranan harta kepada kehidupan manusia, maka kebanyakan daripada aktiviti manusia berkisar pada soal harta atau ekonomi.Orang yang benar-benar beriman kepada Allah SWT tidak harus bersikap tamak dalam mengumpulkan harta tetapi hendaklah membelanjakannya ke jalan Allah dan yakin dengan janji Allah tentang rezekinya. Sejarah banyak menceritakan tentang sikap orang-orang beriman terhadap harta. Saidina Abu Bakar as-Siddiq r.a contohnya, menyumbangkan kesemua hartanya untuk jihad fi-sabilillah, tidak ada satu dirham pun disimpannya. Apabila Rasulullah s.a.w bertanyakan kepadanya mengapakah tidak ditinggalkan sedikit untuk menguruskan keperluannya, beliau menjawab, “Cukuplah Allah dan Rasulullah bagiku.” Abdul Rahman bin Auf yang terkenal dengan kekayaannya, mencari harta bukan untuk kepentingan dirinya tetapi untuk kegunaan menyebarkan agama Allah SWT. Salman al-Farisi ketika memegang jawatan amir, tidak mengambil gajinya, sebaliknya beliau menganyam daun kurma untuk dijadikan bakul dan tikar. Hasil anyamannya dijual dan apa yang diperolehinya dibahagikan kepada tiga bahagian. Satu bahagian sebagai modal pusingan, satu bahagian sebagai belanja ahli rumahnya dan satu bahagian lagi disedekahkan kepada golongan miskin. Oleh itu sesiapa yang menguruskan harta perlulah menjalankan amanah Allah SWT dan menafkahkannya atas dasar kehambaan kepada-Nya dengan sebaik mungkin.

Selasa, 10 November 2009

Kiamat Sudah Dekat!

Hadith :
Diriwayatkan daripada Anas r.a, rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya:” Di antara tanda-tanda datangnya hari kiamat ialah 1) Ilmu agama akan diambil kembali (dengan meninggalnya para ulama’) 2) ketidaktahuan (terhadap agama) merajalela 3) Meminum minuman beralkohol (telah menjadi kebiasaan) 4) Zina dilakukan secara meluas dan terbuka.”

Huraian
Berkata Ali bin Abi Talib: “Akan datang suatu masa, Islam itu hanya akan tinggal namanya sahaja, agama hanya bentuknya sahaja, al-Quran hanya dijadikan bacaan sahaja, mereka mendirikan masjid, sedangkan masjid itu sunyi dari zikir menyebut nama-nama Allah. Orang yang paling buruk pada zaman itu ialah para ulama, dari mereka akan timbul fitnah dan fitnah itu akan kembali kepada mereka juga dan semua yang tersebut adalah tanda-tanda hari kiamat." Manusia akhir zaman akan menghadapi pelbagai ujian sehingga apa yang berlaku amat tidak masuk akal seperti binatang manusia itu dikatakan menjadi begitu sesat. Jika dahulu Allah SWT menurunkan bala di atas keterlaluan manusia yang melanggar perintah-Nya maka sekarang manusia seolah-olah tidak sedar bahawa mereka sedang ditimpa bala. Pengajaran demi pengajaran tidak diambil endah. Semua ini berlaku disebabkan manusia tidak pernah merasa puas. Mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk mencari kepuasan nafsu. Ingatlah sesungguhnya kita dilahirkan dalam keadaan menangis, orang sekeliling tersenyum gembira. Beramallah agar kita mati dalam keadaan tersenyum, orang sekeliling menangis kerana peninggalan kita.

Sabtu, 7 November 2009

Meminta Kepada Yang Maha Kuasa

Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a katanya: “Bahawasanya nabi s.a.w sering berdoa minta perlindungan kepada Allah Taala dari suratan takdir yang buruk, dari mendapat celaka, dari kegembiraan musuh (kerana penderitaan baginda) dan dari tekanan ujian.”

(Muslim)

Huraian
Senang, bahagia, suka cita, duka cita, kecewa dan sebagainya adalah sesuatu yang biasa dialami manusia. Ketika mendapatkan sesuatu yang menggembirakan dari kesenangan-kesenangan duniawi maka kita akan merasa senang dan gembira. Sebaliknya ketika tidak mendapatkan apa yang diinginkan maka kita merasa sedih dan kecewa bahkan kadangkala sampai putus asa. Akan tetapi sebenarnya bagi seorang mukmin, semua perkara itu adalah baik. Jika kita merasa sedih kerana sesuatu menimpa kita maka mohonlah (berdoalah) kepada Allah S.W.T. Hadapilah kesedihan itu dengan kesabaran dan menyerahkan semua permasalahan kepada Allah supaya Dia menghilangkan kesedihan tersebut dan menggantikannya dengan kegembiraan.

Menghina Orang Lain

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya :” Sesiapa yang menolak kata-kata buruk terhadap kehormatan diri saudaranya, nescaya Allah menolak api neraka daripada mengenainya pada hari kiamat.”

Hadith riwayat Ahmad dan Tirmizi

Huraian
i) Memperli, memperolok-olok, mengejek, menghina, memperleceh, memperlekeh, memanggil dengan gelaran yang memalukan, menyatakan kekurangan orang secara terang-terangan dan sebagainya adalah perbuatan yang sangat dilarang oleh Allah.
ii) Sesiapa yang mencaci orang lain sebenarnya dia mencaci dirinya sendiri. Sebaiknya selaku umat Islam kita hendaklah hidup saling hormat-menghormati, bantu-membantu dan tolong-menolong. Justeru, apabila mendengar celaan, kita sepatutnya bertindak menyembunyikan keburukan tersebut sekalipun seseorang yang dicela itu memang telah melakukan sesuatu dosa yang mengaibkan kerana kemungkinan orang itu telah bertaubat dan taubatnya diterima oleh Allah. Sesungguhnya sesiapa yang berbuat demikian ganjarannya adalah amat besar di akhirat kelak.

Memuliakan tetamu

Hadith :
Dari abu Hurairah r.a katanya:”Rasulullah SAW bersabda:” Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari kiamat, maka janganlah dia menyakiti tetangganya. Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari kiamat, hendaklah dia memuliakan tetamunya. Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari kiamat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam.”

(Muslim)

Huraian
Tetamu, secara pasti datang dengan maksud dan tujuan tertentu. Dalam konteks inilah Allah dengan tegas membuat pertimbangan yang begitu besar agar memuliakan tetamu dan meletakkan nilainya sama dengan Beriman Kepada Allah dan Hari Kemudian (kiamat). Dengan perkataan lain seseorang itu belum disebut beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, selama ia tidak memuliakan tetamunya. Oleh itu apabila tetamu datang, bagaimana pun bentuk dan rupa tetamu itu, sama ada kaya, miskin, Islam ataupun kafir, Allah memerintahkan kita agar memuliakan mereka. Pernah diriwayatkan bahawa Nabi Sulaiman a.s pernah ditegur oleh Allah SWT, kerana pada saat baginda didatangi seorang tetamu dari kaum kafir, baginda tidak sepenuh hati memuliakan tetamunya itu. Baginda merasa tidak perlu memuliakan dan menghargai tetamunya seperti baginda memuliakan dan menghargai tetamunya dari sesama pengikutnya. ‘Disebabkan ia bukan umatku yang beriman’, begitulah fikir Nabi Sulaiman. Lantas baginda hanya memberinya minum dan bercakap seadanya. Setelah tetamu itu pulang, datanglah malaikat Jibril a.s menyampaikan teguran Allah: "Wahai Nabi Allah, Allah menegurmu, mengapa engkau perlakukan tetamu seperti itu ? Jawab nabi Sulaiman:”Bukankah dia (tetamu itu) dari golongan kafir?" Jibril bertanya:"Siapakah yang menciptakan langit dan bumi ini?" "Allah!" Jawab Nabi Sulaiman penuh yakin. "Siapakah yang menciptakan malaikat, jin dan manusia?" "Allah!" "Siapakah yang menciptakan tumbuh-tumbuhan dan haiwan-haiwan?" "Allah!" "Siapakah yang menciptakan orang kafir itu?" "Allah!"
"Lalu, berhakkah engkau berlaku tidak adil terhadap ciptaan Allah? Sementara Allah adalah zat Yang Maha Adil?" Nabi Sulaiman a.s terdiam dan terus bersujud.
"Ya, Allah! Ampunilah hamba-Mu yang telah berbuat zalim ini." Kemudian malaikat Jibril menyampaikan wahyu Allah:”Wahai nabi Allah, datangilah dan pohonlah kemaafan kepada orang itu. Ampunan Allah tergantung daripada kemaafannya.". Bergegaslah Nabi Sulaiman mencari tetamunya tadi. Setelah bertanya ke sana ke mari dan mencari-cari, ternyata, tetamunya itu sudah jauh berjalan meninggalkan kota. Nabi Sulaiman a.s dengan pantas mengejar tetamunya itu. Setelah bertemu, dan dengan nafas yang masih termengah-mengah, baginda berkata: "Saudara, tunggu...!" Tetamu tadi menoleh dan hairan melihat keadaan Nabi Sulaiman. "Kenapa?" "Saudara... sudikah engkau memaafkan perlakuan saya , ketika mana saudara menjadi tetamu di rumah saya tadi?" Orang itu diam. Dalam hatinya, sebenarnya dia merasa wajar diperlakukan seperti itu, kerana dia memang bukan termasuk di dalam golongan pengikut Nabi Sulaiman. Dia tidak menerima ajaran Tauhid yang dibawa oleh baginda. Tetapi dia terus juga bertanya: "Kenapa, wahai Sulaiman?" "Allah menegurku, setelah engkau pulang dari kediamanku."
"Allah? Siapakah dia?" Tetamu itu bertanya. "Allah adalah Tuhan, Tuhan Kami dan Tuhan Engkau, Yang menciptakan langit dan bumi, dan semua isinya. Dia yang menciptakan malaikat, jin dan manusia. Dia Maha Esa, tidak ada sekutu bagi-Nya."
"Lalu, kenapa Dia menegurmu?" "Allah menegurku, kerana aku sudah tidak berlaku adil terhadapmu. Aku tidak memuliakanmu. Allah yang Maha Kuasa selalu bersifat adil terhadap semua hamba dan ciptaan-Nya, mengapa aku berlaku tidak adil terhadapmu?"
"Sebegitukah Tuhanmu wahai Sulaiman, memperlakukan aku, walaupun aku bukan dari golonganmu?" Tetamu itu bertanya penuh taajub ."Iya...! Maafkan sikapku tadi wahai saudara, ampunan Allah tergantung dengan kemaafanmu" Nabi Sulaiman meminta.
"Saksikanlah, wahai Sulaiman! Asyhadu alla ilaa ha illallah, Wa anta Rasulullah!" Orang itu memeluk nabi Sulaiman a.s. Nabi Sulaiman pun memeluk tetamunya itu dengan penuh rasa terharu.

Berangan-angan Kosong Tidak Memberi Keuntungan

Hadith :
Anas r.a. katanya: “Nabi s.a.w. telah menggariskan beberapa garisan lalu ia bersabda ‘ini angan-angan manusia dan yang ini ajalnya. Ketika seseorang itu dalam keadaan demikian (panjang angan-angan yang tidak putus-putus) tiba-tiba datanglah garisan yang pendek (sampai ajalnya mati)”.


Riwayat Hadith al-Bukhari

Huraian
1. Islam melarang manusia daripada panjang angan-angan kerana ia akan melalaikan dari beramal dan beribadat kepada Allah
2. Umat Islam hendaklah berhati-hati melakukan sesuatu urusan supaya segala tingkah laku yang dilakukan tidak menjadi sia-sia
3. Manusia suka berangan angan panjang, oleh itu hendaklah ia berwaspada jangan sampai melekakan dan melalaikan sehingga akhir hayat.

Meminta Pada Yang Berkuasa

Hadith :
Dari Abi Zar r.a, Nabi S.A.W bersabda: (Hadith Qudsi) ”Firman Allah Taala: Wahai hamba-hamba-Ku, Aku telah haramkan ke ats diri-Ku kezaliman dan Aku jadikan kezaliman itu juga haram ke ats kamu semua maka janganlah berlaku zalim sesama sendiri.
Wahai hamba-hamba-Ku, semua kamu adalah seasat kecuali orang-orang yang mendapat petunjuk-Ku, maka mintalah hidayah daripada-Ku, nescaya akan Aku berikan.
Wahai hamba-hamba-Ku semua kamu adalah dalam kelaparan kecuali orang yang mendapat makanan daripada-Ku, maka mintalah daripada-Ku nescaya Aku berikan kepadamu.
Wahai hamba-hamba-Ku semua kamu adalah tidak berpakaian kecuali orang yang Aku berikan kepadanya pakaian, maka mintalah daripada-Ku nescaya akan Aku berikan.
Wahai hamba-hamba-Ku, kamu semua melakukan salah dan silap setiap masa dan Aku adalah pengampun dosa-dosa, maka pohonlah keampunan daripada-Ku nescaya Aku akan ampunkan...”

(Muslim)

Huraian
Status manusia adalah sebagai hamba Allah dan khalifah di muka bumi ini. Untuk itu, manusia dilengkapkan dengan kesedaran moral yang harus selalu dikawal, jika tidak ingin terjatuh ke dalam kedudukan yang rendah. Dengan demikian, dalam kehidupan manusia sebagai ciptaan Allah, terdapat dua pola hubungan iaitu pola yang didasarkan pada kedudukan manusia sebagai khalifah Allah dan sebagai hamba Allah. Kedua pola ini harus dijalani secara seimbang, lurus dan teguh dan tidak hanya mengambil yang satu dan mengabaikan yang lain.

Template by:
Free Blog Templates