Khamis, 17 September 2009

Abu Hurairah ;perawi Hadis Terkemuka

Hadith :
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: “Aku pernah berkata kepada Rasulullah SAW:” Saya mendengar banyak hadis dari tuan, Ya Rasulullah ! Tetapi saya lupa. “ Rasulullah SAW bersabda:” Hamparkan Rida’ mu. “ Aku melakukan (apa yang diperintahkan nabi SAW) dan kemudian nabi SAW menggerakkan kedua tangannya seakan-akan mengisi sesuatu lalu bersabda :” Ambil dan selendangkan ini (pada tubuh mu)”. Aku lakukan perintahnya dan setelah itu aku tidak pernah lupa lagi.”

(al-Bukhari)

Huraian
Abu Hurairah ialah salah seorang perawi hadis yang terkemuka. Beliau dilahirkan 19 tahun sebelum Hijrah. Nama sebenar beliau sebelum memeluk agama Islam tidak diketahui dengan jelas, tetapi pendapat yang masyhur ialah Abd Syams. Nama Islamnya adalah Abd al-Rahman. Beliau berasal daripada kabilah ad-Dusi di Yaman. Gelaran Abu Hurairah r.a. adalah kerana kegemarannya bermain dengan anak kucing. Diceritakan pada suatu masa ketika Abu Hurairah r.a. bertemu Rasullullah SAW, beliau ditanya oleh baginda apakah yang ada dalam lengan bajunya. Apabila dia menunjukkan anak kucing dalam lengan bajunya lantas dia digelar Abu Hurairah oleh Rasullullah SAW. Semenjak itu dia lebih suka dikenali dengan gelaran Abu Hurairah. Beliau adalah sahabat yang sangat dekat dengan Rasulullah SAW dan dikenali sebagai salah seorang ahli suffah, iaitu orang-orang miskin atau sedang menuntut ilmu dan tinggal di laman masjid. Beliau begitu rapat dengan Nabi SAW sehingga baginda selalu menyuruhnya mengumpulkan ahli suffah jika ada makanan yang hendak dibahagikan. Hadis beliau yang disepakati oleh Imam al-Bukhari dan Muslim berjumlah 325 hadis, oleh Bukhari sendiri sebanyak 93 hadis dan oleh Muslim 189 hadis. Hadis yang diriwayatkan oleh beliau juga terdapat dalam kitab-kitab hadis lainnya.
blog comments powered by Disqus

Template by:
Free Blog Templates