Khamis, 20 Mei 2010

Berzina Dengan Isteri Jiran

Hadith :
Abdullah bin Mas’ud meriwayatkan katanya : “Aku bertanya : “ Ya Rasulullah! Manakah satu dosa yang paling besar? Baginda bersabda : “Engkau menjadikan sekutu bagi Allah sedangkan Ia yang menciptakan engkau. Aku bertanya : “ Kemudian apa ?” Baginda bersabda : “ Engkau membunuh anak mu kerana takut ia makan bersama mu. Aku bertanya : “ Kemudian apa ?” Baginda bersabda : “ Engkau berzina dengan isteri jiran mu.”

(al-Bukhari, Muslim, an-Nasaie dan at-Tirmidzi)

Huraian
Islam memandang setiap dosa besar itu sebagai sesuatu yang serius dan orang yang melakukannya wajib bertaubat (nasuha), menyesal tidak mengulangi perbuatan tersebut, memperbanyakkan istighfar dan ibadah kepada Allah. Jika ia mati dan tidak sempat bertaubat maka sesungguhnya balasan seksa yang azab akan menunggunya di neraka kelak. Sedangkan telah disebut dalam sebuah hadis, bahawa seringan-ringan seksaan neraka itu ialah sekiranya batu neraka itu diletakkan di bawah tapak kaki, nescaya akan menggelegaklah otak manusia. Dalam hal mensyirikkan Allah, membunuh anak dan berzina dengan ‘isteri orang’, dosa-dosa yang bakal ditanggung amat berat sekali. Justeru memohon ampun kepada Allah mesti dilakukan (jika ia berkaitan dengan hubungan antara manusia dengan Tuhannya) disusuli dengan memohon kemaafan daripada manusia (individu terbabit) iaitu sekiranya kesalahan atau dosa itu berkaitan berlaku sesama manusia seperti dosa berzina dengan isteri jiran iaitu si pelaku tersebut mesti meminta maaf di atas perbuatan terkutuknya di samping memohon keampunan yang bersungguh-sungguh kepada Allah SWT.

Mewarnakan Rambut

Hadith :
Dari Ibnu Sirin r. A katanya:.”Aku bertanya kepada Anas bin Malik r.a:”Adakah Rasulullah s.a.w mencelup rambut baginda?” jawab Anas:”Baginda tidak kelihatan beruban, kecuali di janggutnya nampak beberapa helai rambut putih.” Kata Ibnu Sirin:”Aku betanya pula kepadanya, adakah Abu Bakar mencelup rambutnya?” Jawab Anas:”Ada. Dengan inai.”

(Muslim)


Huraian
Sebahagian daripada perkara yang tergolong di dalam masalah perhiasan ialah mewarnakan rambut atau janggut yang telah beruban. Tetapi dengan warna apa dibenarkan mewarna rambut? Apakah dengan warna hitam atau warna-warna lain? Atau mesti mengelakkan dengan warna hitam? Orang yang telah tua, ubannya telah merata sama ada di kepala ataupun di janggut, tidak selayaknya mewarnakannya dengan warna hitam. Oleh itu, ketika Abu Bakar membawa bapanya Abu Qufahah ke hadapan Nabi s.a.w. pada hari penaklukan Mekah, Nabi melihat rambutnya seperti pokok Thughamah yang terlalu putih buah dan bunganya. Nabi bersabda: "Ubahlah ini (uban) tetapi jauhilah warna hitam." (HR Muslim). Manakala mereka yang tidak sebaya dengan Abu Qufahah, tidaklah berdosa apabila mewarna rambutnya dengan warna hitam. Dalam masalah ini al-Zuhri telah berkata: "Kami mewarna rambut dengan warna hitam apabila wajah masih kelihatan muda, tetapi apabila wajah sudah berkedut dan gigi sudah goyang, kami tinggalkan warna hitam." (Fathul Bari) Dan di dalam sebuah hadis riwayat Abu Zar mengatakan: Sebaik-baik bahan yang digunakan untuk mewarna uban ialah pokok inai dan katam." (HR Tarmizi dan ash-habusunan) Katam adalah sejenis pokok yang tumbuh di Yaman yang mengeluarkan pewarna berwarna hitam kemerah-merahan. Dan Inai sejenis pokok berdaun yang mengeluarkan warna merah. Anas bin Malik meriwayatkan, bahawa Abu Bakar mewarna rambutnya dengan inai dan katam, manakala Umar hanya dengan inai sahaja.

Tiga Buah Masjid

Hadith :
“Dari Abu Hurairah, r.a. dari Nabi s.a.w. sabdanya: “Tidak sepatutnya (bersusah payah) keluar belayar (untuk menziarahi mana-mana masjid kecuali (untuk pergi) ketiga-tiga masjid (yang berikut): Masjidil Haram (di Mekah), dan masjid Rasulullah s.a.w. (di Madinah) serta Masjid al-Aqsa (di Palestin)”

(Bukhari)

Huraian
1. Umat Islam yang ingin berziarah keluar (negara) untuk beribadat kepada Allah tidak perlu bersusah payah ketempat lain, selain dari berziarah ke tanah suci, terutama untuk mengerjakan ibadat haji dan umrah.
2. Tiga buah masjid yang mempunyai fadilat yang besar, apabila mengerjakan ibadat sembahyang di dalamnya ialah:
i. Masjidil Haram di Mekah
ii. Masjid Nabi di Madinah
iii Masjidil al-Aqsa di Palestin.
3 Diantara fadhilat-fadhilatnya ialah:
i) Kelebihan Masjidil haram ialah mereka yang bersembahyang di dalamnya akan mendapat seratus ribu (lebih afdhal dari) sembahyang di tempat lain dan di dalamnya terletak Kaabah yang menjadi kiblat umat Islam.
ii) Kelebihan Masjid Nabawi pula ialah mereka yang bersembahyang di dalamnya akan mendapat seribu (lebih afdhal dari) sembahyang di tempat lain, dan didalamnya ada makam Nabi s.a.w. Dan sebagai sebuah taman dari taman-taman syurga.
iii) Kelebihan Masjid al-Aqsa pula ialah mereka yang bersembahyang di dalamnya akan mendapat lima Ratus (lebih afdhal dari) sembahyang di tempat lain, dan keistimewaannya ialah ia adalah merupakan masjid para Nabi yang terdahulu dan tempat Israk dan Mikrajnya Nabi s.a.w.

Selasa, 18 Mei 2010

Petua Khusyuk Solat

Sebenarnya khusyuk dalam Solat adalah sangat-sangat dituntut seperti Firman Allah s.w.t:-

yang bermaksud “Telah berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu orang-orang yang khusyuk dalam sembahyangnya”[Surah Al-Mukminun : ayat 1-2]. Firman-Nya lagi:-


"Peliharalah segala sembahyangmu dan peliharalah sembahyang utama (Asar, Subuh) dan berdirilah untuk Allah (melalui solatmu) dengan khusyuk" [Surah Al-Baqarah : ayat 238] dan ketahuilah, solat adalah ibadah utama yang akan dihisab terlebih dahulu di akhirat oleh Allah SWT, berbanding dengan amalan-amalan yang lain. Sekiranya solat seseorang itu dalam keadaan sempurna, maka barulah dihitung pula amalan yang lain. Firman Allah lagi:-


yang bermaksud : "Maka kecelakaanlah bagi orang-orang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya." [Surah Al-Ma'un : ayat 4-5]

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud "Berapa banyak orang yang mendirikan solat, tetapi yang di perolehi hanya penat dan letih, kerana mereka itu lalai dalam sembahyangnya." Nabi s.a.w bersabda lagi yang bermaksud : "Tidak ada habuan bagi seseorang hamba dalam sembahyangnya kecuali sekadar mana yang ia ingat." Hadis lain dari Rasulullah s.a.w. "Aku selalu mengingati mati dalam sembahyang". serta "Apabila kamu sembahyang anggaplah sembahyang ini sembahyang perpisahan". Yang dikatakan khusyuk itu ialah hati sentiasa hidup, untuk mengekalkan sembahyang yang khusyuk, amalan berikut perlulah diamalkan dan diperhatikan oleh setiap orang yang mengerjakan sembahyang:

1. Menjaga makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan lain-lain supaya datang dari punca yang halal tanpa syubhah.

2. Agar pemikiran tidak liar, sebelum solat lintaskan kematian seakan-akan amat hampir dengan kita serta solat tersebut merupakan sholat terakhir dan perlulah dijadikan yang terbaik.

3. Mendirikan sembahyang di awal waktu atau pertengahan waktu supaya tidak gopoh apakala masa hampir luput.

4. Membaca dengan baik (Khusnul Qori'ah), berusaha untuk memahami, mengerti bacaan dalam solat termasuk ayat Al-Quran yang dibacakan itu terutama sekali Al Fatihah, gerakan dan maknanya (Tafakhum). Ini kerana bacaan-bacaan dalam solat mengandungi banyak makna yang halus yang patut dimengertikan oleh orang yang melaksanakannya.


5. Rukun-rukun solat dilakukan secara tertib. Berusaha konsentrasi (Khudunul Kolbih), menyedari bahawa Allah memperhatikan sembahyang itu.

6. Rasa Malu (Haya') perasaan malu terhadap Allah s.w.t., rasa takut (Khauf) kepada kekuasaan Allah.


7. Berharap serta yakin (Optimis) Allah menerima solat dan amal kita.

8. Hati diajak hadir/ikut, kehadiran hati dalam solat iaitu mengosongkan hati dari segala urusan yang boleh mengganggu dan yang tidak berkaitan dengan solat.

9. Membesarkan Allah dalam solat, merasakan kehebatan Allah dalam solat.

10. Menggunakan sejadah yang tidak terlalu banyak gambar yang akan menghayalkan pemikiran.

11. Mendirikan sembahyang secara berjemaah.

12. Mengambil wuduk dengan sempurna.

13. Mengurangkan pergerakan anggota-anggota seperti tangan, kaki dan juga Mata ditumpukan kepada tempat sujud dan ketika tasahut melihat anak jari.

14. Azan dan iqamat terlebih dahulu walaupun mendirikan sembahyang bersendirian ataupun sekurang-kurangnya iqamat sahaja.

15. Ditegah bersembahyang dengan pakaian yang ada gambar, berwarna warni, bertulis, lukisan dan lain-lain kerana ia juga membuat orang lain hilang kekhusyukan ketika berjemaah.

Walau apapun syarat khusyu’ yang paling utama ialah kemantapan iman dalam diri terhadap Allah SWT. Oleh sebab itu, berusahalah untuk mengenali Allah dan memperteguhkan keimanan kepadaNya. Sebenarnya, khusyuk di dalam sembahyang bermula dari khusyuk di luar sembahyang. Kalau di luar sembahyang hati tidak khusyuk dengan Allah, memang payah untuk khusyuk di dalam sembahyang. Imam Al-Ghazali menyatakan bahawa orang yang tidak khusyuk solatnya adalah dikira sia-sia belaka, kerana tujuan solat itu selain untuk mengingati Allah SWT, ia juga berfungsi sebagai alat pencegah dari perbuatan keji dan mungkar.

Apabila lalai ketika menunaikan solat bererti orang tersebut tidak akan berasa gerun ketika melakukan perkara keji dan mungkar. Menurutnya lagi bahawa solat itu merupakan "munajat" (berdialog dan berbisik) seorang hamba terhadap Tuhannya. Sayidina Ali k.w. boleh khusyuk dalam sembahyangnya hingga waktu orang mencabut panah di betisnya, dia tidak terasa apa-apa. Sayidina Umar Al Khattab pernah berkata, "Khusyuk itu bukan tundukkan kepala, tapi khusyuk itu dalam hati."

Kesimpulannya orang-orang yang takut kepada penciptanya dan menyedari ia hanyalah hamba akan patuh apasaja yang diperintahkan dan disampaikan oleh rasul serta akan khusyuk mendapat nikmat solat seperti firman Allah yang bermaksud:



"Jadikanlah Sabar dan Solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk. (Yakni) orang-orang yang meyakini, bahawa mereka akan menemui Tuhannya dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya" [Surah Al-Baqarah : ayat 45-46].

Rahsia diwajibkan solat

SOLAT adalah satu perintah yang diwajibkan ke atas orang Islam setiap hari. Umat Islam dituntut melakukan ibadat itu menurut sebagaimana diperintahkan Rasulullah s.a.w, dari takbir, bacaan, perbuatan hingga ke akhir salamnya dengan penuh takwa.
Orang yang mendirikan solat adalah orang yang beriman. Orang yang beriman mesti mendirikan solat. "Katakanlah kepada hamba-Ku yang beriman, hendaklah mereka itu mendirikan solat." (Ibrahim:31)

Dalam al-Quran, dilaporkan ada lebih 25 tempat ayat "aqama" yang merujuk kepada makna perintah mendirikan solat dan lebih 70 kali perkataan "as-solah" atau solat diulang dan disebut dalam al-Quran.

Antaranya, firman yang bermaksud: "Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan solat, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring.

"Kemudian apabila kamu telah berasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka dirikanlah solat itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya." (an-Nisa':103)

Setiap individu Muslim dan Muslimah mesti mengerjakan solat. Malah, bagi ketua keluarga seharusnya memerintahkan ahli keluarganya melakukan solat. Ibu bapa pula wajib mengajar dan membimbing anak melakukan ibadat itu, seawal usia tujuh tahun.

Ibadat solat adalah suatu perintah daripada Tuhan kepada hamba-Nya. Banyak kelebihan, keberkatan dan rahsia yang terkandung di dalam solat, malah mengiringi mereka yang mengerjakannya.

1. Solat akan menjadikan seseorang sentiasa mengingati Allah dan menghampiri diri dengan-Nya, sekali gus menjadikan kehidupan seseorang itu sentiasa berhubungan dengan Tuhannya.

"Sesungguhnya Akulah Allah, tiada Tuhan melainkan aku, oleh itu, sembahlah akan daku, dan dirikanlah solat untuk mengingati daku." (Toha:14)

2. Solat adalah tanda kesyukuran. Muslim atau Muslimah yang mengerjakan solat adalah mereka yang tahu bersyukur sebenarnya. Mereka bersyukur atas segala nikmat dan rahmat tidak terhingga yang Allah kurniakan dengan melakukan ibadat kepada-Nya.

3. Ibadat solat menghapuskan dosa. Manusia tidak terlepas daripada melakukan dosa dan solat lima kali sehari dapat menghapuskan dosa yang dilakukan. Sebagaimana satu hadis bermaksud:

"Dari Abi Hurairah r.a, sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Solat lima waktu dan solat Jumaat hingga Jumaat berikutnya adalah penebus dosa antara jarak waktu solat-solat itu, selama dijauhinya dosa-dosa besar." (Hadis riwayat Muslim)

4. Solat juga dapat mencegah perbuatan keji dan mungkar. Ibadat solat yang dikerjakan dengan khusyuk dan menepati segala rukunnya boleh mencegah si pelakunya dari melakukan maksiat dan kemungkaran.

"Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar, dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya), dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan." (al-Ankabut:45)

5. Solat dapat memberi keberkatan, kejayaan dan kebahagiaan hidup. Kita boleh lihat kehidupan orang yang memelihara solat dan orang yang tidak mengerjakan solat, jauh berbeza bukan!

"Sesungguhnya berbahagia/berjayalah orang-orang beriman. (Iaitu) mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya." (al-Mukminun: 1-2)

6. Solat dapat mententeramkan jiwa. Orang yang melakukan solat secara sempurna dan penuh khusyuk, jiwanya aman damai, malah dapat mengawal segala tekanan sekali gus menjadikan kehidupannya lebih ceria.

Seorang yang taat mengerjakan solat sepanjang hidup, lagi mengerti betapa besar kepentingan solat itu kepadanya serta memahami kelebihan dan rahsia bacaannya, sudah tentu akan tenang jiwanya.

"Sesungguhnya manusia itu dijadikan (bersifat) loba mengeluh apabila kesusahan menimpa dia dan kikir apabila keuntungan mengenai dia, kecuali orang-orang yang solat, yang berkekalan atas solat mereka." (al-Ma'arij:19-23)

Rasulullah s.a.w ketika berhadapan masalah akan memperbanyakkan solat kerana solat bagi baginda adalah amalan penyejuk hati.

Kelebihan ini sekurang-kurangnya akan menyuntik diri kita umat Islam untuk lebih tekun mengerjakan solat, malah mereka yang selama ini tidak mengenali ibadat itu tertarik untuk turut sama melakukannya.

Kebesaran solat dua rakaat

ALLAH selesai menciptakan Jibril a.s dengan bentuk yang cantik dan Allah menciptakan pula baginya 200 sayap yang panjang. Sayap itu antara timur dan barat. Ada pendapat menyatakan 124,000 sayap.

Selepas itu Jibril a.s memandang dirinya sendiri dan berkata: "Wahai Tuhanku, adakah Engkau menciptakan makhluk yang lebih baik daripadaku?" Lalu Allah berfirman yang ber maksud: “Tidak.”

Kemudian Jibril a.s berdiri dan bersolat dua rekaat kerana syukur kepada Allah dan setiap rekaat itu tempohnya 20,000 tahun.

Selepas Jibril a.s solat, Allah berfirman yang bermaksud: "Wahai Jibril, kamu sudah menyembah Aku dengan ibadat yang bersungguh-sungguh dan jika tidak ada seorangpun yang menyembah kepada-Ku seperti ibadat kamu, akan tetapi di akhir zaman nanti akan ada seorang nabi yang mulia yang paling Aku cintai, namanya Muhammad. Dia mempunyai umat yang lemah dan sentiasa berdosa. Sekiranya mereka itu mengerjakan solat dua rekaat yang hanya sebentar saja dan mereka dalam keadaan lupa serta serba kekurangan, fikiran mereka melayang bermacam-macam dan dosa mereka pun besar juga.

Maka demi kemuliaan-Ku dan ketinggian-Ku, sesungguh nya solat mereka itu Aku lebih sukai dari solatmu itu. Kerana mereka mengerjakan solat atas perintah-Ku, sedangkan kamu mengerjakan solat bukan atas perintah-Ku."

Kemudian Jibril a.s berkata: "Ya Tuhanku, apakah yang Engkau hadiahkan kepada mereka sebagai imbalan ibadat mereka?"

Lalu Allah berfirman yang bermaksud: "Ya Jibril, akan Aku berikan syurga Ma'wa sebagai tempat tinggal."

Sesungguhnya Allah menyembunyikan enam perkara, iaitu:

Allah menyembunyikan reda-Nya dalam taat.
Allah menyembunyikan murka-Nya di dalam maksiat.
Allah menyembunyikan nama-Nya yang Maha Agung di dalam al-Quran.
Allah menyembunyikan Lailatul Qadr di dalam Ra madan.
Allah menyembunyikan solat yang paling utama di dalam solat (lima waktu).
Allah menyembunyikan (tarikh berlaku) hari kiamat di dalam semua hari.

Asal Usul Azan

Hadis :
Dari Abdullah bin Umar katanya:”Adalah kaum muslimin ketika baru sampai di kota Madinah, berkumpul menunggu waktu sembahyang kerana belum ada cara untuk memberitahu. Pada suatu hari mereka itu bermesyuarat tentang cara pemberitahuan waktu; ada yang mengatakan supaya menggunakan loceng seperti Nasrani dan ada pula yang mengatakan supaya menggunakan trompet seperti Yahudi. Maka berkata Umar bin al-Khattab r.a:” Bukankah lebih baik menyuruh seseorang meneriakkan atau memberitahukan waktu sembahyang?” Bersabda Rasulullah s.a.w:”Hai Bilal, pergilah dan ajaklah orang-orang bersembahyang.” (Muslim)

Huraian:
Ketika orang-orang Islam masih sedikit jumlahnya, kesulitan tidak timbul untuk mereka berkumpul bersama-sama bagi menunaikan solat secara berjemaah. Namun semakin hari semakin banyak bilangan orang-orang Islam sehingga timbullah masalah untuk memanggil atau mengingatkan mereka untuk menunaikan solat pada waktunya. Al maklum setiap orang mempunyai potensi terhadap kealpaan ataupun kelalaian pada diri masing-masing disebabkan oleh berbagai-bagai urusan kehidupan yang dijalani mereka. Oleh sebab itu wujudlah mesyuarat yang membincangkan tentang keperluan bagaimana cara yang harus dilakukan untuk mengingat dan memanggil semua orang untuk solat tepat pada waktunya.

Ada banyak cadangan yang diusulkan seperti yang diceritakan di dalam hadis. Salah satu daripada usul itu datang dari Umar r.a yang mencadangkan agar ditunjuk seseorang yang bertindak sebagai pemanggil kaum Muslim untuk solat pada setiap masuknya waktu solat. Saranan ini kebanyakannya dipersetujui oleh semua orang, termasuk Rasulullah s.a.w. memandangkan banyak cadangan-cadangan yang lain lebih mirip kepada kaum kafir.

Namun yang menjadi persoalannya kini ialah bagaimana perlaksanaannya? Abu Dawud mengisahkan bahawa Abdullah bin Zaid r.a meriwayatkan :"Ketika cara memanggil kaum Muslimin untuk solat dimusyawarahkan, suatu malam dalam tidur aku bermimpi melihat ada seseorang sedang memegang sebuah loceng. Aku dekati orang itu dan bertanya kepadanya apakah ia ada maksud hendak menjual loceng itu. Jika memang begitu aku memintanya untuk menjual kepada aku saja. Orang tersebut malah bertanya," Untuk apa ? Aku menjawabnya, "Bahawa dengan membunyikan loceng itu, kami dapat memanggil kaum Muslimin untuk menunaikan solat." Orang itu berkata lagi, "Adakah kau mahu jika ku ajarkan cara yang lebih baik ?" Dan aku menjawab " Ya !"Lalu dia berkata lagi, dan kali ini dengan suara yang amat lantang , " Allahu Akbar, Allahu Akbar.." Ketika esoknya aku bangun, aku menemui Rasulullah s.a.w dan menceritakan perihal mimpi itu kepada baginda. Dan baginda bersabda: "Itu mimpi yang sebetulnya nyata. Berdirilah di samping Bilal dan ajarkan dia bagaimana mengucapkan kalimat itu. Dia harus mengumandangkan azan seperti itu dan dia memiliki suara yang amat lantang." Lalu aku pun melakukan hal itu bersama Bilal." Rupanya, mimpi yang serupa dialami pula oleh Umar r.a, beliau juga menceritakannya kepada Rasulullah s.a.w. Baginda s.a.w bersyukur kepada Allah SWT di atas semua petunjuk tersebut.

Template by:
Free Blog Templates