Jumaat, 13 Ogos 2010

Ganjaran Istimewa Dari Amal Kebaikan

Hadith :
Nabi s.a.w bersabda: "Tidak ada satu hari yang terbit mataharinya melainkan ada di kiri kanan matahari itu: dua Malaikat yang menyerukan seruan yang didengari oleh semua makhluk Allah selain dari manusia dan jin, katanya: "Wahai sekalian manusia! Marilah kamu semua berusaha mengerjakan amal bakti kepada Tuhan kamu, kerana sesungguhnya pendapatan-pendapatan yang sedikit serta mencukupi keperluan hidup di dunia adalah lebih baik daripada pendapatan-pendapatan yang banyak serta melalaikan bekalan akhirat; dan tidak masuk matahari melainkan ada di kiri kanannya dua Malaikat yang menyerukannya seruan yang didengarinya oleh semua makhluk Allah selain dari manusia dan jin, katanya: "Ya Tuhan kami! Berikanlah ganti yang berganda-ganda kepada orang yang mencurahkan nikmat-nikmat yang dikurniakan kepadanya pada jalan yang diredhai Allah, dan timpakanlah kerugian yang besar ke atas orang yang menahan nikmat-nikmat Allah itu daripada mengeluarkannya pada jalan yang dituntut oleh Allah."

Abu ad-Dardaa' r.a

Huraian
Pengajaran hadith:
i) Dalam menghadapi kehidupan dunia manusia mestilah berwaspada, jangan mudah terpedaya dengan perkara yang melalaikan diri daripada berusaha mengerjakan amal kebaikan lebih-lebih lagi perkara yang berhubung dengan harta benda dan cara membelanjakannya.
Ii) Dalam hadith ini Rasulullah s.a.w menyatakan bahawa pada tiap-tiap hari terdapat dua malaikat yang menyeru manusia supaya:
a) Mengerjakan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang untuk mencapai keredhaan Allah.
B) Mengambil ingatan bahawa pendapatan seharian yang diperoleh meskipun sedikit tapi mencukupi keperluan hidup di dunia yang meliputi harta benda dan nikmat-nikmat yang lain sebenarnya adalah lebih baik daripada pendapatan yang banyak tetapi melalaikan manusia itu daripada mengerjakan amal ibadat dan kebajikan sebagai bekal untuk mencapai kebahagiaan yang kekal di akhirat kelak.
iii) Sesungguhnya manusia yang membelanjakan harta benda, ilmu pengetahuan dan tenaganya di jalan Allah akan sentiasa didoakan oleh malaikat semoga Allah memberikan balasan yang berganda-ganda untuk dirinya, sebaliknya bagi yang bakhil, didoakan agar ditimpa kerugian yang besar.

Sifat Malu Mendatangkan Kebaikan

Hadith :
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Sifat malu itu akan menghasilkan kebaikan”.

Riwayat Al-Bukhari dan Muslim

Huraian
1. Sifat malu adalah suatu sifat yang terpuji. Sesiapa yang memilikinya akan terlepas daripada segala kejahatan kerana dengan adanya sifat malu kita tidak akan melakukan segala keburukan.
2. Sifat malu juga akan meninggikan darjat keimanan orang yang memilikinya.

Sempadan Ketaatan

Hadith :
Dari Ali (bin Abi Talib) r.a, katanya: “Pada suatu ketika, Rasulullah SAW mengirim sepasukan tentera (ke medan perang) dan melantik seorang lelaki menjadi komandan mereka. Satibanya di suatu tempat, komandan tersebut menyalakan api (unggun) dan memerintahkan anak buahnya melompat ke dalam unggun api tersebut. Sebahagian anak buahnya telah bersedia untuk melompat ke dalam unggun api tersebut tetapi yang lain berkata:”Kita harus lari dari api itu.” Peristiwa itu mereka laporkan kepada Rasulullah SAW. Maka beliau bersabda:”Seandainya kamu melompat ke dalam api itu kamu akan sentiasa berada di dalamnya hingga hari kiamat nanti.” Kemudian baginda bersabda pula kepada yang lain dengan lemah lembut:”Tidak wajib taat kepada perintah untuk menderhakai Allah. Taat itu hanya wajib dalam rangka menegakkan kebajikan.”

(Muslim)

Huraian
Kepatuhan dan ketaatan kepada manusia dan peraturan ada batasnya. Manakala kepatuhan dan ketaatan kepada Allah adalah telus kepada-Nya dan seharusnya tidak ada hijab yang menghalangnya. Faham tentang batas dosa dan pahala, tahu tentang batas halal dan haram, mengerti tentang situasi fasad dan mungkar, maklum tentang wajib dan harus akan memberikan kita gambaran sejauh manakah sesuatu perintah seseorang ketua itu wajib ditaati. Sekadar pertimbangan akal semata tidak ada jaminan yang sesuatu perintah itu wajib dipatuhi. Sekadar ukuran logik dan rasional juga tidak memadai. Sekadar berpandukan orang ramai yang juga melakukannya juga belum ada jaminan ia selari dengan syarak. Justeru hanya sifat manusia yang memiliki jiwa hamba yang tinggi yang akan patuh dan taat kepada perintah Allah. Keimanan manusia kepada Allah menyebabkan manusia ada benteng. Ketakutan manusia sesama manusia boleh dielakkan dan boleh dicari jalan keluar. Benteng syarak inilah yang memandu manusia memilih jalan yang baik dan jalan yang sebaliknya.

Khamis, 12 Ogos 2010

Orang Mukmin Yang Kuat Lebih Dikasihi Allah

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Orang mukmin yang kuat lebih baik di sisi Allah dan lebih dikasihi daripada orang mukmin yang lemah, sedangkan setiap seorang itu mempunyai kebaikannya (imannya) ; oleh itu hendaklah engkau bersungguh-sungguh berusaha memperoleh apa yang memberi manfaat kepadamu, serta hendaklah meminta pertolongan kepada Allah dan janganlah engkau bersikap segan dan malas; dan sekiranya engkau ditimpa sesuatu maka janganlah engkau berkata :” Kalaulah aku lakukan itu ini, tentulah akan terjadi begitu begini, tetapi katalah :” Allah telah takdirkan, dan apa yang dikehendaki oleh kebijaksanaan-Nya Ia lakukan, kerana perkataan ‘kalau’ itu membuka jalan kepada hasutan syaitan. ”

Riwayat Muslim

Huraian
Pengajaran hadith:
i) Setiap mukmin itu mempunyai tingkat imannya yang tertentu di mana ada yang kuat semangatnya, ilmunya dan kuat pula berusaha untuk mendapatkan kebaikan dalam hidup; manakala setengah yang lain pula adalah sebaliknya.
ii) Seharusnya kita berusaha bersungguh-sungguh dalam mencapai sesuatu di samping meminta pertolongan daripada Allah S.W.T supaya dengan ihsan-Nya Allah memberi taufik dan menjayakan segala usaha yang dilakukan itu kerana manusia walau sebijak mana dan sekuat mana pun ia, tetap berhajat kepada pertolongan dan pimpinan daripada Allah S.W.T.
iii) Demikian juga kita tidak sepatutnya bersikap malas dan malu untuk bekerja serta hanya memasang angan-angan bahawa Allah akan menyampaikan hajat kita dengan alasan Allah itu Maha Berkuasa sedangkan Allah sendiri telah menjelaskan bahawa sesuatu yang boleh diusahakan oleh manusia tidak akan berhasil melainkan setelah diusahakan sebab atau jalan untuk mencapainya.
iv) Sekiranya sesuatu usaha yang dibuat itu ditakdirkan menemui kegagalan maka kita selaku umat Islam dikehendaki menghadapinya dengan perasaan redha, tenang tenteram kerana hal tersebut pasti mengandungi hikmahnya yang tersendiri yang hanya diketahui oleh Allah.
v) Janganlah sekali-kali disebut perkataan ‘kalau’ jika mengalami kerugian atau kekecewaan kerana ia akan membuka jalan kepada hasutan syaitan yang akan menjadikan seseorang itu gelisah, marah, tidak redha kepada takdir dan ketentuan Allah Yang Maha Esa.

Mencegah Kezaliman/ Keganasan

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya::” Janganlah salah seorang daripada kamu berpeluk tubuh dalam keadaan seseorang itu dibelasah secara zalim, kerana laknat akan turun ke atas orang yang menyaksikan ketika mereka tidak mempertahankannya.”

Riwayat at-Tabrani

Huraian
i) Perbuatan zalim adalah perbuatan yang mendatangkan kesusahan atau kemudaratan kepada orang lain atau mungkin dalam bentuk mengambil manfaat dari orang lain dengan cara yang salah ataupun melakukan sesuatu terhadap orang lain yang menimbulkan rasa sakit kerana perlakuan tersebut memberi keseronokan atau kepuasan kepada yang melakukannya. Pemerasan, pemaksaan dan penipuan demi keuntungan peribadi juga termasuk dalam perbuatan yang zalim.
ii) Perbuatan zalim lazimnya dilakukan oleh orang yang mempunyai kelebihan dan kekuatan berbanding dengan orang yang dizalimi. Ini kerana, fenomena kezaliman tidak akan berlaku sekiranya orang yang hendak dizalimi mempunyai kelebihan atau kekuatan yang sama. Kelebihan atau kekuatan ini boleh diukur dari pelbagai aspek, seperti kekuatan fizikal, kekayaan, kebijaksanaan, kuasa ataupun pengaruh.
iii) Realiti masyarakat hari ini mengamalkan gaya hidup individualistik sehingga sanggup membiarkan penganiayaan dan kezaliman berlaku di hadapan mata mereka sendiri. Sikap ‘tidak mengambil endah’ ini tidak wajar berlaku kerana selaku anggota sesebuah masyarakat setiap individu mestilah bersikap saling mengambil berat, sayang-menyayangi dan belas-kasihan di antara satu sama lain.
iv) Doa orang yang dizalimi terhadap orang yang menzaliminya sangat mudah dimakbulkan oleh Allah S.W.T. Oleh itu perbuatan zalim sebenarnya merupakan perbuatan yang sangat merugikan kepada si pelakunya. Allah S.W.T boleh memberi hukuman ke atas si pelaku tersebut ketika di dunia lagi seperti nasib yang menimpa Firaun. Malah di akhirat kelak orang-orang yang berlaku zalim akan menerima nasib yang sangat malang kerana kebaikan yang dimilikinya akan berpindah kepada orang-orang dizaliminya. Sekiranya dia tidak mempunyai kebaikan, maka keburukan orang-orang yang teraniaya akan terlempar kepadanya dan akan ditanggung olehnya.

Kumpulan Kebaikan

Hadith :
Daripada Abu Hurairah r.a, daripada Nabi SAW bersabda maksudnya: ”Sesiapa yang melepaskan sesuatu kesusahan seorang mukmin dari kesusahan-kesusahan dunia Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan dari kesusahan hari Akhirat dan sesiapa melapangkan seorang yang berada di dalam kesempitan Allah akan melapangkan untuknya di dunia dan di akhirat dan sesiapa yang menutup keburukan saudaranya maka Allah akan menutup keburukannya di dunia dan akhirat dan Allah pasti menolong hamba-Nya selagi mana hambanya menolong saudaranya. Dan sesiapa mengikuti satu jalan untuk mencari ilmu Allah akan memudahkan untuknya jalan ke syurga. Tidak berkumpul satu kaum di dalam rumah dari rumah-rumah Allah dan saling belajar dan mengajar antara satu sama lain melainkan turunlah ketenangan atas mereka, rahmat meliputi mereka, para malaikat mengerumuni mereka dan Allah akan menyebut (nama-nama) mereka di sisi-Nya. Dan sesiapa yang kurang amalannya maka nasab (keturunannya) tidak akan dapat menyempurnakannya.”

(Muslim)

Huraian
Masyarakat Islam adalah seperti satu jasad yang setiap anggota akan merasai apa yang dirasai oleh orang lain malah mereka juga bersama-sama berkongsi kegembiraan. Maka antara yang menjadi kewajipan penting seorang Muslim ialah agar segera melepaskan kesempitan yang dialami oleh saudaranya. Dengan cara ini masyarakat yang sempurna dan tolong-menolong dapat diwujudkan. Sebaliknya mencari-cari keburukan orang lain dan menyebarkannya pula adalah satu tanda kemunafikan kerana disebabkan perkara tersebut sesuatu kejahatan yang dilakukan itu boleh menjadi pemangkin kepada orang yang sepertinya agar lebih agresif dan liar dengan kejahatan hingga seluruh masyarakat menjadi rosak. Sesungguhnya balasan Allah SWT kepada makhluk-Nya adalah dalam bentuk yang menyerupai amalan yang dilakukan itu.

Mementingkan Kemaslahatan Bersama

Hadith :
Seorang lelaki telah datang menemui Rasulullah s.a.w lalu berkata,”Sesungguhnya aku melambat-lambatkan dari sembahyang subuh disebabkan imam itu memanjangkan bacaannya ketika bersembahyang bersama kami.” (Abu Mas’ud berkata) aku tidak pernah melihat Nabi s.a.w marah ketika memberikan nasihatnya lebih dari marahnya pada hari ini. Sabdanya, “Wahai sekelian manusia, sesungguhnya antara kamu semua ada (melakukan sesuatu) menyebabkan orang lain lari, sesiapa antara kamu yang menjadi imam kepada orang ramai hendaklah ia memendekkan bacaannya kerana sesungguhnya makmum dibelakangnya terdiri daripada orang tua, kanak-kanak kecil dan orang yang hendak menguruskan keperluannya dengan segera”.

Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Huraian
1.Setiap orang yang hendak melakukan sesuatu perkara hendaklah memikirkan kemuslihatan orang di sekelilingnya terlebih dahulu.
2.Contohnya, orang yang menjadi imam di dalam sembahyang tidak digalakkan membaca surah-surah yang panjang kerana dibimbangi akan menyusahkan makmum.
3.Kita hendaklah peka terhadap sesuatu perkara atau masalah yang berlaku terutama yang berkaitan dengan agama dan masyarakat Islam seluruhnya.
4.Islam adalah agama yang mudah dan memudahkan. Oleh itu janganlah hendaknya seorang imam atau pemimpin itu bertindak melakukan sesuatu urusan yang boleh mendatangkan kerumitan kepada orang lain yang akhirnya menyusahkan mereka kerana hal ini akan menjauhkan seseorang daripada kebaikan yang sepatutnya diperolehi oleh mereka.

Sedekah

Hadith :
Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:
“Hendaklah setiap orang Islam itu bersedekah , jika ia tidak dapat berbuat demikian , maka hendaklah ia berusaha sendiri yang dapat memberi faedah kepada dirinya sendiri dan dengan yang demikian ia dapat bersedekah, jika ia tidak sanggup, maka hendaklah ia menolong orang yang susah yang memerlukan bantuan, jika sekiranya ia dapat berbuat demikian, maka hendakah ia menyuruh orang lain mengerjakan kebaikan, jika ia tidak dapat berbuat demikian juga, maka hendaklah menahan dirinya daripada melakukan kejahatan, kerana yang demikian itu adalah dianggap sedekah.”

Riwayat Ahmad

Huraian
Pengajaran Hadith:
i) Membantu orang yang tidak berada dan berkongsi menggunakan suatu kemudahan adalah salah satu daripada sifat yang amat dituntut di dalam Islam.
Ii) Setiap umat Islam hendaklah berusaha sedaya upaya untuk melakukan kebaikan dan kebajikan di dalam hidupnya sama ada dengan memberikan bantuan tenaga, buah fikiran atau memberikan nasihat yang berguna kepada orang lain di mana semua ini dinilai sebagai sedekah.
Iii) Kategori sedekah yang paling minimum adalah dengan menjauhkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang jahat (buruk) di mana dengan cara itu seseorang telah dianggap menyelamatkan masyarakat sekitarnya daripada keburukan dirinya yang boleh membahayakan orang lain.
iv) Bersedekah hendaklah dilakukan dengan hati yang ikhlas dan bukan diiringi dengan perasaan ingin menunjuk-nunjuk (riya’) kerana ini akan menghilangkan pahala bersedekah.

Kepentingan Ilmu

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Jadikanlah dirimu orang alim (berilmu) atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pengajaran atau orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut) dan janganlah engkau menjadi dari golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa.”

Riwayat al-Bazzar

Huraian
Pengajaran hadis:
i) Ilmu menduduki darjat yang tinggi di sisi manusia dan juga di sisi Allah S.W.T. Orang yang berilmu akan dimuliakan oleh penduduk langit dan bumi sebaliknya bagi orang yang tidak berilmu. Oleh itu setiap mukmin hendaklah berusaha mempertingkatkan kemajuan dirinya sama ada :
a) Menjadikan dirinya orang alim (berilmu) yang mengajarkan ilmunya kepada orang lain
b) Menjadi orang yang belajar (menuntut ilmu)
c) Mendengar atau mengikuti majlis-majlis ilmu.
d) Menghormati atau mencintai salah satu atau ketiga-tiga golongan di atas dengan menurut jejak langkah mereka.
ii) Dengan adanya sifat-sifat yang disebutkan di atas maka kehidupan seseorang itu akan sentiasa terjamin untuk mendapat keselamatan dan kebahagiaan jasmani atau rohani kerana ia sentiasa berada dalam jagaan ilmu pengetahuan yang memimpinnya ke jalan yang benar dan memberinya kesedaran untuk memilih antara yang baik dan yang buruk.
iii) Manakala mereka yang tidak termasuk dalam golongan tersebut atau yang dipanggil masyarakat sebagai ‘bodoh sombong’ maka mereka adalah golongan yang bakal mendapat kebinasaan kerana mereka tidak ada pimpinan yang dengannya dapat memandu kepada kebaikan melainkan hidup terumbang ambing dan tenggelam dalam kesesatan.

Orang Yang Berbudi Mulia

Hadith :
Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:
“Bukanlah (golongan ini) daripada orang beriman yang sempurna imannya : orang yang suka mengecam, suka melaknat yang suka bercakap kufur dan yang suka mencarut”

Riwayat Ahmad

Huraian
Pengajaran Hadith:
i) Orang yang berbudi mulia akan sentiasa berusaha menjauhkan dirinya daripada terlibat dalam pertelingkahan yang selalunya tidak berlandaskan pemikiran yang rasional kerana hal ini merupakan satu tindakan yang tidak produktif dan tidak berfaedah malah hanya akan berakhir dengan perpecahan dengan hidup saling bermasam muka di antara satu sama lain.
Ii) Islam menyuruh kita agar hidup bersatu padu, bersikap merendah diri dan tidak berlagak sombong. Ini akan memudahkan perhubungan dan kasih sayang sesama umat Islam di mana pemimpin masyarakat dan organisasi yang sebegini juga akan disenangi oleh para pengikut dan kakitangannya malah akan mudah mendapat kerjasama daripada mereka.
iii) Demikian juga kita dilarang menceritakan keburukan orang lain dengan melaknat, mengecam mencemuh, mencarut dan sebagainya kerana ini akan menyebabkan pergaduhan dan hilang rasa hormat antara sesama anggota masyarakat. Maka berlakulah ketegangan yang sebenarnya merugikan keseluruhan umat Islam itu sendiri.

Template by:
Free Blog Templates