Hadith :
Daripada Auf bin Malik r.a bahawa rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “ Imam-imam kamu yang terbaik ialah yang kamu mengasihi mereka dan mereka mengasihi kamu. Mereka berdoa untuk kamu dan kamu berdoa untuk mereka. Dan imam-imam kamu yang paling jahat ialah imam-imam yang kamu membenci mereka dan mereka membenci kamu, kamu mengutuk mereka dan mereka mengutuk kamu. Rasulullah SAW ditanya : “ Ya Rasulullah! Bolehkah kami memecat dan memerangi mereka dengan pedang? Rasulullah SAW bersabda : “ Tidak, selama mereka mendirikan solat di antara kamu. Dan apabila kamu melihat sesuatu yang kamu tidak menyukainya dari penguasa-penguasa kamu, maka hendaklah kamu membenci amalannya dan janganlah kamu menderhaka.”
(Muslim, ad-Darimi dan Ahmad)
Huraian
Islam tidak boleh ditegakkan dengan cara yang zalim, kerana Islam itu bersih dan selamat. Islam hanya boleh ditegakkan dengan cara yang bersih dan aman. Pemerintah yang zalim hanya boleh dijatuhkan oleh Allah sendiri, kerana Dialah yang menaikkan seseorang sebagai pemerintah dan Dia jugalah yang lebih berhak menurunkan seseorang itu dari tampuk pemerintahan. Ingatlah, semakin zalim seseorang itu memerintah dan semakin banyak kezaliman yang dilakukannya, semakin cepat dia dijatuhkan oleh Allah SWT. Sesungguhnya sifat orang mukmin itu ialah yang mentaati perintah pemerintah mereka, selagi perintah itu tidak sampai menyuruh mereka berlaku zalim atau maksiat atau menderhaka kepada Tuhan atau meninggalkan yang fardhu. Malah setiap perintah yang diberi wajib ditaati sama ada suka atau pun tidak, berfaedah atau pun tidak kerana sifat seorang mukmin yang sebenar adalah taat pada setiap perintah yang diterimanya iaitu perintah Allah, Rasulullah dan Ulil Amri.
Lirik lagu Kamu Tak Sendiri - Jemimah Cita
17 jam yang lalu