Memaparkan catatan dengan label akidah (akhlak). Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label akidah (akhlak). Papar semua catatan

Jumaat, 13 Ogos 2010

Sifat Malu Mendatangkan Kebaikan

Hadith :
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Sifat malu itu akan menghasilkan kebaikan”.

Riwayat Al-Bukhari dan Muslim

Huraian
1. Sifat malu adalah suatu sifat yang terpuji. Sesiapa yang memilikinya akan terlepas daripada segala kejahatan kerana dengan adanya sifat malu kita tidak akan melakukan segala keburukan.
2. Sifat malu juga akan meninggikan darjat keimanan orang yang memilikinya.

Khamis, 12 Ogos 2010

Mementingkan Kemaslahatan Bersama

Hadith :
Seorang lelaki telah datang menemui Rasulullah s.a.w lalu berkata,”Sesungguhnya aku melambat-lambatkan dari sembahyang subuh disebabkan imam itu memanjangkan bacaannya ketika bersembahyang bersama kami.” (Abu Mas’ud berkata) aku tidak pernah melihat Nabi s.a.w marah ketika memberikan nasihatnya lebih dari marahnya pada hari ini. Sabdanya, “Wahai sekelian manusia, sesungguhnya antara kamu semua ada (melakukan sesuatu) menyebabkan orang lain lari, sesiapa antara kamu yang menjadi imam kepada orang ramai hendaklah ia memendekkan bacaannya kerana sesungguhnya makmum dibelakangnya terdiri daripada orang tua, kanak-kanak kecil dan orang yang hendak menguruskan keperluannya dengan segera”.

Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Huraian
1.Setiap orang yang hendak melakukan sesuatu perkara hendaklah memikirkan kemuslihatan orang di sekelilingnya terlebih dahulu.
2.Contohnya, orang yang menjadi imam di dalam sembahyang tidak digalakkan membaca surah-surah yang panjang kerana dibimbangi akan menyusahkan makmum.
3.Kita hendaklah peka terhadap sesuatu perkara atau masalah yang berlaku terutama yang berkaitan dengan agama dan masyarakat Islam seluruhnya.
4.Islam adalah agama yang mudah dan memudahkan. Oleh itu janganlah hendaknya seorang imam atau pemimpin itu bertindak melakukan sesuatu urusan yang boleh mendatangkan kerumitan kepada orang lain yang akhirnya menyusahkan mereka kerana hal ini akan menjauhkan seseorang daripada kebaikan yang sepatutnya diperolehi oleh mereka.

Sedekah

Hadith :
Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:
“Hendaklah setiap orang Islam itu bersedekah , jika ia tidak dapat berbuat demikian , maka hendaklah ia berusaha sendiri yang dapat memberi faedah kepada dirinya sendiri dan dengan yang demikian ia dapat bersedekah, jika ia tidak sanggup, maka hendaklah ia menolong orang yang susah yang memerlukan bantuan, jika sekiranya ia dapat berbuat demikian, maka hendakah ia menyuruh orang lain mengerjakan kebaikan, jika ia tidak dapat berbuat demikian juga, maka hendaklah menahan dirinya daripada melakukan kejahatan, kerana yang demikian itu adalah dianggap sedekah.”

Riwayat Ahmad

Huraian
Pengajaran Hadith:
i) Membantu orang yang tidak berada dan berkongsi menggunakan suatu kemudahan adalah salah satu daripada sifat yang amat dituntut di dalam Islam.
Ii) Setiap umat Islam hendaklah berusaha sedaya upaya untuk melakukan kebaikan dan kebajikan di dalam hidupnya sama ada dengan memberikan bantuan tenaga, buah fikiran atau memberikan nasihat yang berguna kepada orang lain di mana semua ini dinilai sebagai sedekah.
Iii) Kategori sedekah yang paling minimum adalah dengan menjauhkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang jahat (buruk) di mana dengan cara itu seseorang telah dianggap menyelamatkan masyarakat sekitarnya daripada keburukan dirinya yang boleh membahayakan orang lain.
iv) Bersedekah hendaklah dilakukan dengan hati yang ikhlas dan bukan diiringi dengan perasaan ingin menunjuk-nunjuk (riya’) kerana ini akan menghilangkan pahala bersedekah.

Orang Yang Berbudi Mulia

Hadith :
Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:
“Bukanlah (golongan ini) daripada orang beriman yang sempurna imannya : orang yang suka mengecam, suka melaknat yang suka bercakap kufur dan yang suka mencarut”

Riwayat Ahmad

Huraian
Pengajaran Hadith:
i) Orang yang berbudi mulia akan sentiasa berusaha menjauhkan dirinya daripada terlibat dalam pertelingkahan yang selalunya tidak berlandaskan pemikiran yang rasional kerana hal ini merupakan satu tindakan yang tidak produktif dan tidak berfaedah malah hanya akan berakhir dengan perpecahan dengan hidup saling bermasam muka di antara satu sama lain.
Ii) Islam menyuruh kita agar hidup bersatu padu, bersikap merendah diri dan tidak berlagak sombong. Ini akan memudahkan perhubungan dan kasih sayang sesama umat Islam di mana pemimpin masyarakat dan organisasi yang sebegini juga akan disenangi oleh para pengikut dan kakitangannya malah akan mudah mendapat kerjasama daripada mereka.
iii) Demikian juga kita dilarang menceritakan keburukan orang lain dengan melaknat, mengecam mencemuh, mencarut dan sebagainya kerana ini akan menyebabkan pergaduhan dan hilang rasa hormat antara sesama anggota masyarakat. Maka berlakulah ketegangan yang sebenarnya merugikan keseluruhan umat Islam itu sendiri.

Khamis, 24 Jun 2010

Sabar Mencerminkan Keimanan

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Allah berfirman dalam hadis qudsi yang bermaksud,” Tiada balasan bagi seseorang hamba-Ku yang telah Aku ambil kembali kekasihnya, kemudian orang itu mengharapkan pahala daripada-Ku melainkan orang itu akan mendapat balasan syurga.”

Riwayat Bukhari

Huraian
Pengajaran hadis:
i) Sabar ialah mengawal diri daripada kegelisahan dan menerima segala dugaan, rintangan dan segala suruhan Allah dengan hati yang tenang iaitu tidak merasa jemu dan berputus asa dalam menghadapi kesulitan hidup.
ii) Kita hendaklah bersabar ketika menghadapi kematian suami, isteri, anak atau ibu bapa kerana semua makhluk adalah menjadi milik Allah. Malah kita dinasihatkan untuk berkata:” Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” (Maksud al-Baqarah :156)
iii) Sabar perlu dilakukan sejak mula-mula menghadapi bala kesusahan kerana seseorang yang menghadapi kesusahan dengan penuh kesabaran akan dihapuskan dosanya dan dimasukkan ke dalam syurga.
iv) Sesungguhnya setiap mukmin yang beriman kepada Allah, imannya belum dapat diperakui sebelum diuji keimanannya itu dan berjaya pula menghadapi dugaan tersebut di mana tiada balasan yang lebih besar di dunia dan akhirat daripada balasan bagi seseorang yang bersifat sabar dalam menghadapi bala ketika di dunia.
v) Setiap ujian yang diturunkan oleh Allah mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Oleh itu untuk menjadi hamba Allah yang dikasihi, hendaklah kita bersedia menghadapi setiap ujian yang menimpa dengan penuh kesabaran, sebaliknya bagi seseorang yang tidak redha menerima ujian Allah, maka ia akan menjadi hamba yang dibenci serta jauh daripada rahmat Allah.

Islam Menggalakkan Kesederhanaan

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Allah memberikan rahmat kepada seseorang yang berusaha mencari harta dengan jalan yang halal dan membelanjakannya dengan cara sederhana dan berhemat dan menabung kelebihannya untuk hari susah dan hajatnya. ”


Riwayat al-Ibn an-Najjar

Huraian
i) Pengawalan terhadap keinginan dan desakan hati adalah amat perlu sebagai satu cara untuk mengawal nafsu boros.
ii) Rezeki dan kemewahan hidup semuanya datang dari Allah S.W.T. Oleh itu sikap berlumba-lumba mengumpul harta dan kemewahan harus dielakkan kerana ia menunjukkan sikap rakus dan boleh memberikan risiko yang tidak baik dalam perhubungan sehingga menyebabkan berlakunya permusuhan sesama sendiri.
iii) Cara membelanjakan harta menentukan hidup seseorang itu berkat atau tidak di mana kehidupan tidak akan menjadi tenang jika harta disalurkan atau digunakan pada perkara-perkara yang haram dan tidak halal.
iv) Bersederhana dalam berbelanja bermaksud bahawa seseorang itu apabila berbelanja dia tidak berlebih-lebihan dan tidak pula kedekut tetapi berada di tengah-tengah antara dua keadaan tersebut ( rujuk surah al-Furqan:67)

Mencari Keberkatan Rezeki

Hadith :
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Seseorang yang terbiasa dengan meminta-minta, dia akan datang pada hari kiamat tanpa secebis daging pun di wajahnya.”

Riwayat Bukhari dan Muslim

Huraian
1. Islam menuntut umatnya supaya bekerja dan berusaha sehingga bebas daripada belenggu kemiskinan.
2. Kemiskinan boleh menggelincirkan iman kerana seseorang yang lemah imannya akan sanggup menggadaikan aqidahnya dengan melakukan pekerjaan yang terlarang serta menuturkan kata-kata yang menolak kebesaran Allah seperti menafikan keadilan Allah dan sebagainya.
3. Setiap pekerjaan yang dilakukan oleh manusia untuk meneruskan kelangsungan hidup di dunia merupakan ibadat iaitu selagi ia dilakukan dengan niat yang baik dan tidak melanggar hukum-Nya.
4. Rezeki yang berkat adalah rezeki yang dicari dengan titik peluh sendiri, bukan dengan cara menunggu pemberian daripada orang lain seperti meminta sedekah, derma dan sebagainya padahal tubuh badan masih lagi kuat dan sihat. Hal ini amat dilarang keras oleh Islam kerana ia merupakan perbuatan yang memalukan dan menghinakan.

Nasihat Untuk Pendakwah

Hadith :
Dari Usamah bin Zaid r.a bahawa ia pernah mendengar Nabi SAW bersabda “Pada hari kiamat kelak seseorang itu akan dicampakkan ke dalam neraka, maka keluarlah ususnya dan dia berputar-putar seperti seekor keldai mengelilingi batu kisaran. Para penghuni neraka lainnya pun menghampirinya dan bertanya:”Wahai saudara, mengapa ini semua terjadi? Bukankah saudara adalah orang yang pernah menyuruh kepada-perkara makruf (kebaikan) dan mencegah perkara-perkara yang mungkar (kejahatan)?” Maka ia menjawab:”Benar, akulah yang pernah menyuruh kamu berbuat makruf dan melarang kamu berbuat kemungkaran, tetapi aku sendiri yang melanggarnya.”

(Bukhari & Muslim)

Huraian
1. Dalam usaha membina individu dan mendidik masyarakat, Islam amat mementingkan ketinggian akhlak seperti benar dalam percakapan dan tindakan, penuh rasa tanggungjawab (amanah), menepati janji, toleransi, pemaaf, penyantun dan sebagainya.
2. Seorang pendakwah itu hendaklah mendahulukan contoh perbuatannya daripada ucapannya kerana dakwah melalui perangai atau akhlak yang baik (qudwah hasanah) merupakan media yang paling efektif kepada masyarakat yang akan menjadikannya sebagai contoh (idola) untuk diikuti.
3. Sesungguhnya orang yang pernah menyuruh orang lain berbuat baik sementara dirinya sendiri melanggarnya adalah orang yang bakal menempuh siksaan yang amat berat di hari akhirat kelak. Keadaanya samalah seperti ‘ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus ‘. Oleh itu hiasilah diri dengan akhlak yang terpuji, penampilan yang baik, etika pergaulan yang bersopan dan sifat-sifat mulia yang lain supaya tidak tergolong di kalangan orang-orang yang ‘cakap tak serupa bikin’!.

Selasa, 22 Jun 2010

Sikap Yang Baik

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
“Manusia yang paling dikasihi Allah ialah orang yang memberi manfaat kepada orang lain dan amalan yang paling disukai oleh Allah ialah menggembirakan hati orang-orang Islam atau menghilangkan kesusahan daripadanya atau menunaikan keperluan hidupnya di dunia atau memberi makan orang yang lapar. Perjalananku bersama saudaraku yang muslim untuk menunaikan hajatnya, adalah lebih aku sukai daripada aku beriktikaf di dalam masjid ini selama sebulan, dan sesiapa yang menahan kemarahannya sekalipun ia mampu untuk membalasnya nescaya Allah akan memenuhi keredhaannya di dalam hatinya pada hari Qiamat, dan sesiapa yang berjalan bersama-sama saudaranya yang Islam untuk menunaikan hajat saudaranya itu hinggalah selesai hajatnya nescaya Allah akan tetapkan kakinya(ketika melalui pada hari Qiamat) dan sesungguhnya akhlak yang buruk akan merosakkan amalan seperti cuka merosakkan madu.”

Riwayat Ibnu Abi Dunya

Huraian
i) Berbuat baik dan memberi keselesaan kepada orang lain akan diganjari Allah dengan balasan yang berlipat ganda sama ada berupa pahala, kebaikan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.
ii) Semua ini akan dapat dilakukan sekiranya seseorang itu mempunyai keimanan dan keikhlasan di hatinya sehingga segala tindakan-tindakan yang dilakukannya sentiasa melahirkan kebaikan pada dirinya dan dalam hubungannya dengan orang lain serta masyarakat di sekelilingnya.
iii) Demikian juga kita dilarang agar jangan membalas kejahatan orang lain dengan kejahatan juga tetapi hendaklah membalasnya dengan kebaikan seperti api yang menyala dan membakar nescaya akan terpadam apabila disirami air. Maka begitulah dengan kebaikan, lambat laun akan melembutkan hati yang keras dan menghapuskan kejahatan yang melanda.
iv) Sebaliknya jika kecenderungan berbuat perkara-perkara yang jahat terus dibiarkan menguasai diri maka akan rosaklah segala kebaikan yang pernah dilakukan kerana lazimnya kejahatan itu biarpun hanya sekali dilakukan ia mudah dilihat (diketahui) berbanding dengan banyaknya kebaikan yang pernah dilakukan oleh seseorang itu. Bak kata pepatah Melayu “ Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali”.
v) Sesungguhnya keimanan itu sentiasa terbuka untuk ditingkatkan sebaliknya iman akan merosot sekiranya kita melakukan perbuatan maksiat.

Kemuliaan Rasulullah S.a.w

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Apabila seorang lelaki itu membangunkan isterinya pada waktu malam, lalu kedua-duanya sembahyang atau sembahyang dua rakaat bersama-sama, nescaya dituliskan bagi mereka dalam kalangan yang mengingati Allah.”

Riwayat Abu Daud

Huraian
i) Qiamullail dilakukan pada waktu malam, sama ada pada permulaan, pertengahan ataupun pada hujung malam iaitu selepas mengerjakan solat Isyak bahkan adalah lebih baik jika ia dilakukan selepas waktu tengah malam. Cara yang paling baik untuk qiamullail adalah tidur terlebih dahulu di mana sebelum tidur hendaklah berwudhuk dan berdoa supaya Allah membangunkan untuk mengerjakan ibadat di malam tersebut
ii) Berjaga pada waktu malam untuk beramal ibadah selepas tidur malam amat besar manfaatnya dan tinggi ganjaran pahalanya di sisi Allah S.W.T.
iii) Bersolat pada waktu malam boleh melahirkan rasa kekuatan jiwa yang mendalam selain satu cara menyucikan hati dan menguatkan iman serta menimbulkan rasa taqarrub yang lebih kepada Allah S.W.T.
iv) Kita hendaklah istiqamah dalam melakukan amal ibadah kerana amalan yang berterusan walaupun sedikit adalah lebih baik daripada amalan yang banyak tetapi hanya dilakukan sekali-sekala sahaja. Sesungguhnya orang yang suka melakukan amal ibadah adalah orang yang memiliki ciri-ciri hamba yang bersyukur.

Sejahat-jahat Makhluk

Hadith :
Dari Aisyah r.a. katanya,:”Sesungguhnya ummu Habibah dan Ummu Salamah ada menyebutkan kepada nabi gereja yang dilihatnya di negeri Habsyah, bahawa di dalam gereja itu ada sejumlah patung. Sabda nabi s.a.w,:”Sesungguhnya orang-orang itu jika yang meninggal di antara mereka orang soleh, mereka membuatkannya masjid di atas kuburannya dan mereka buatkan patungnya. Mereka itulah sejahat-jahat makhluk di sisi Allah pada hari kiamat.”

(al-Bukhari)

Huraian
Islam tidak meredhai umatnya menyimpan patung di dalam rumah kerana ia mirip kepada sembahan-sembahan yang biasa dipertuhankan oleh orang-orang kafir. Sekalipun seseorang itu tidak menganggap patung tersebut sebagai tuhan dan tidak menyembahnya, ia tetap ditegah kerana Islam bukan sekadar melarang seseorang dari melakukan syirik tetapi ia juga menghalang dan menutup segala jalan-jalan yang mengarah, menyerupai dan memiliki unsur syirik. Lebih dari itu malaikat juga enggan memasuki rumah yang mempunyai patung di dalamnya dan ketiadaan para malaikat ini akan menjauhkan rahmat dan keredhaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala daripada penghuni rumah tersebut. Akan tetapi Islam sedia memberi kelonggaran dan kemudahan hukum kepada anak-anak kecil yang memiliki patung sebagai alat mainan kerana bagi anak-anak, patung-patung tersebut tidaklah memiliki sebarang nilai sembahan kecuali sekadar alat mainan sahaja. Namun begitu di zaman kini agak sukar dibezakan antara patung (al-Tamathil) yang dibenarkan atau dilarang kerana ia kini diperbuat dari pelbagai bahan-bahan yang berbeza dengan zaman Nabi s.a.w. Ada patung dari aloi logam, bahan gentian plastik, kaca dan sebagainya. Maka langkah terbaik dan selamat ialah tidak menyimpan patung-patung tersebut sama ada di dalam rumah, pejabat, kereta atau di mana-mana sekalipun kerana ditakuti ia menjebakkan kita di dalam perbuatan syirik tanpa sedar.

Rabu, 9 Jun 2010

Perlantikan Telah Ditakdirkan

Hadith :
Rasulullah saw. Bersabda bermaksud:
“Allah tidak mengutuskan seseorang Nabi melainkan ia pernah menternak kambing,” lalu para sahabat bertanya, (adakah termasuk) Baginda? Jawab Baginda, ia aku juga seorang yang pernah menternak kambing, dengan upahnya yang sedikit daripada penduduk Mekah”.

Riwayat al-Bukhari

Huraian
1. Semua Nabi yang dilantik oleh Allah S.W.T. terlibat secara langsung dalam bidang ternakan dan perekonomian.
2. Pemimpin adalah orang yang bertanggungjawab dalam semua perkara termasuk memajukan ekonomi rakyat dan Negara.
3. Umat Islam dilarang daripada bersifat segan atau malu dari melakukan perkara-perkara yang memberi faedah kepada dirinya, keluarga masyarakat dan Negara.
4. Pemilihan dan perlantikan seseorang itu hendaklah dilihat berdasarkan ilmunya, ketokohannya, kebolehannya demi pembangunan Ummah serta ia mempunyai sifat-sifat bertanggungjawab dan beramanah.

Selasa, 8 Jun 2010

Hebatnya Penghuni Syurga

Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a:”Rasulullah SAW bersabda:”Golongan yang pertama sekali masuk syurga wajahnya adalah seperti bulan purnama. Dan orang yang masuk sesudah itu seperti bintang yang sangat terang cahayanya. Hati mereka sebagai hati satu orang (bersatu) tidak pernah berselisih dan benci-membenci antara sesama mereka. Tiap-tiap seorang di antara mereka mempunyai dua orang isteri. Masing-masing di antara kedua isteri itu tampak sumsum betisnya dari belakang dagingnya kerana sangat indahnya.”

(Bukhari)

Huraian
Kita sekarang dihidupkan oleh Allah di muka bumi dan selepas itu kita akan dikembalikan ke salah satu daripada dua negeri yang kekal abadi iaitu syurga atau neraka. Allah sudah menyatakan di dalam Al-Quran, tentang betapa nikmatnya kehidupan dan pengalaman manis di syurga. Begitu juga dijelaskan betapa azabnya kehidupan dan pengalaman ngeri di neraka. Sebagai makhluk yang diberikan kesempurnaan akal fikiran, manusia boleh berfikir kesan dan risiko yang bakal diterima akibat dari sesuatu tindakannya kerana setiap sesuatu itu ada sebab-musababnya. Allah masukkan seseorang ke syurga kerana dalam hidupnya di dunia ini, dia memilih jalan ke syurga. Begitu juga Allah masukkan seseorang itu ke neraka kerana dalam hidupnya dia sengaja memilih jalan ke neraka. Maka terpulang kepada kita hendak mengikuti jejak ke syurga atau jejak ke neraka ...

Golongan Yang Tidak Dipedulikan Allah Di Akhirat Kelak

Hadith :
Daripada Ibnu Hibban, al-Hakim, Ibnu Abi ‘Ashim, Ahmad dan Ibnu Asakir meriwayatkan daripada Fudhalah bin ‘Ubaid r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiga orang yang tidak ditanya mengenai mereka : Seorang lelaki yang meninggalkan jemaah, menderhakai imamnya dan mati sebagai penderhaka. Seorang hamba lelaki atau wanita yang lari lalu mati. Seorang wanita yang ketiadaan suaminya di rumah padahal suaminya telah mencukupkan kepadanya belanja dunia lalu ia berhias selepas ketiadaan suaminya di rumah. Maka mereka tidak ditanya. Dan tiga orang yang tidak ditanya mengenai mereka iaitu: Seorang lelaki yang merebut pakaian Allah kerana pakaian Allah ialah kesombongan dan kainnya ialah kemuliaan. Dan seorang lelaki yang ragu mengenai urusan Allah dan putus asa dari rahmat Allah.”

(al-Bukhari, Ibnu Hibban, al-Hakim, Ibnu Abi ‘Ashim dan Ibnu Asakir)

Huraian
Allah SWT amat benci kepada orang yang melakukan perkara-perkara dosa dan maksiat. Antara ancaman dan kutukan itu ialah Allah melaknat perbuatan tersebut, menjanjikan pelakunya dengan azab seksa yang pedih, memasukkannya ke dalam neraka, Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada Hari Kiamat, tidak membersihkan dosa-dosa mereka dan tidak memandang mereka. Perkara-perkara maksiat yang dikutuk dan diancam itu menunjukkan bahawa Allah SWT sangat murka kepada mereka yang melakukannya. Apa yang dimaksudkan dengan “Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada Hari Kiamat” ialah Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka sebagaimana kata-kata orang-orang yang baik dan tidak menyatakan keredaan-Nya, malah Allah akan berkata-kata kepada mereka sebagaimana kata-kata orang-orang yang murka. Menurut jumhur ahli tafsir, ia bermaksud bahawa Allah tidak akan berkata-kata dengan perkataan yang memberi manfaat dan menggembirakan mereka. Ada juga yang berpendapat bahawa Allah tidak akan mengutus malaikat kepada mereka untuk memberi penghormatan kepada mereka. Sementara maksud “Allah tidak akan memandang mereka” ialah Allah Ta‘ala akan memalingkan pandangan-Nya dari mereka. Manakala maksud pandangan Allah kepada hamba-hamba-Nya ialah rahmat dan taufik serta perlindungan-Nya terhadap mereka.

Selasa, 1 Jun 2010

Amanah Itu Berat

Hadith :
Dari Abdur Rahman bin Samurah r.a katanya:”Rasulullah s.a.w bersabda kepadaku:”Hai Abdur Rahman! Janganlah engkau meminta-minta hendak jadi pembesar negara kerana jika engkau jadi pembesar kerana permintaan, tanggungjawabmu akan besar sekali. Dan jika engkau diangkat tanpa permintaan, engkau akan dibantu orang dalam tugasmu.”

(Muslim)

Huraian
Tanggungjawab jika dilaksanakan secara kolektif dan penuh keikhlasan akan menerbitkan semangat untuk berkhidmat dengan lebih baik. Oleh itu tidak dinafikan bahawa tugas dan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin. bukannya mudah. Akan ada kawan dan lawan. Sebagai rakyat pula, kita tentulah berharap agar setiap pemimpin itu akan sentiasa memberikan yang terbaik, bukan membelakangkan kepentingan rakyat. Demikian juga sebagai pemimpin, tidak sepatutnya mereka mementingkan populariti, menceburkan diri dalam arena politik semata-mata untuk menambah harta dan kekayaan peribadi, menggunakan wang dan menyalahgunakan kedudukan politik untuk menarik sokongan. Kuasa yang ada sebenarnya adalah amanah dan hendaklah digunakan untuk menjamin kesejahteraan rakyat Namun apa yang berlaku ialah tidak semua pemimpin mempunyai keikhlasan dalam memikul tanggungjawab mereka bahkan tidak menyedari tentang beratnya tanggungjawab dan amanah yang dipikul. Mereka menjadikan jawatan sebagai batu loncatan untuk menjadi jutawan. Oleh sebab itu janganlah kita merasa hairan apabila ramai yang berani menampilkan diri untuk menjadi pemimpin malah berlumba-lumba untuk menjadi pemimpin padahal dalam hati mereka sendiri tidak ada keikhlasan. Maka di sinilah pentingnya peranan rakyat dalam memilih bakal pemimpin mereka. Adakah dia benar-benar layak atau sebaliknya kerana jika kita tersilap dalam memilih, padahnya adalah kepada kita sendir sebagai rakyat dan negara juga akan ditimpa mudharat.

Galakkan Mencari Rezeki Yang Halal

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “ Sesungguhnya roh al-Qudus telah datang kepada aku memberitahu bahawa seseorang itu tidak akan mati selagi tidak sempurna rezeki Allah S.W.T. kepadanya. Maka takutlah kepada Allah S.W.T. dan berusahalah dengan baik; dan lambatnya datang sesuatu rezeki itu janganlah menjadi pendorong kepada kamu untuk melakukan usaha mencari rezeki berbentuk maksiat kerana sesungguhnya rezeki Allah S.W.T. tidak akan dapat diperolehi melainkan dengan cara ketaatan.”

Riwayat Ibn Majah dan al- Tabrani

Huraian
Pengajaran Hadis:
i) Islam amat menitikberatkan masalah pencarian rezeki oleh manusia di mana setiap makhluk Allah itu telah ditentukan rezekinya masing-masing sejak ia berada di dalam perut ibunya lagi.
ii) Antara bahaya kemiskinan itu ia boleh membuatkan seseorang itu melakukan apa sahaja. Contohnya seorang perempuan akan sanggup menggadaikan sesuatu yang amat berharga yang ada pada dirinya kerana inginkan sedikit perbelajaan untuk keperluan harian, walaupun secara terpaksa dan sedar yang perbuatan itu adalah terkutuk, tetapi keadaan yang tertekan memaksa ia melakukannya.
iii) Mencari rezeki yang halal adalah kewajipan setiap mukmin. Oleh itu Islam amat menuntut supaya umatnya banyak bersabar dan jangan mudah berputus asa dalam mencari rezeki tetapi hendaklah berusaha bersungguh-sungguh, berdoa dan bertawakkal kepada Allah kerana rahmat Allah S.W.T adalah sangat luas dan Dia tidak akan mensia-siakan doa dan usaha hamba-Nya.
iv) Sesungguhnya kemiskinan dan kesempitan hidup adalah satu ujian daripada Allah S.W.T namun begitu perlu direnungkan juga bahawa pendapatan (rezeki) yang sedikit serta mencukupi keperluan hidup di dunia itu sebenarnya adalah lebih baik daripada pendapatan (rezeki) yang banyak tetapi melalaikan. Di sinilah pentingnya keberkatan rezeki yang bakal menentukan kebahagian hidup manusia di dunia dan akhirat.

Hilangnya Sifat Amanah Sedikit Demi Sedikit

Hadith :
Huzaifah Ibnu Yaman r.a berkata : “Rasulullah SAW menceritakan kepada kami dua buah hadis, aku telah melihat salah satunya dan aku menunggu yang satu lagi. Nabi menceritakan kepada kami bahawasanya amanah itu turun ke dalam pangkal (akar) jiwa (hati) manusia, kemudian mereka pun mengetahui sebahagian al-Quran, sesudah itu mereka mengetahui sebahagian sunah. Dan nabi menceritakan kepada kami tentang pencabutan amanah. Sabdanya yang bermaksud : “Seorang lelaki tidur lalu dalam keadaan tidur, dicabut amanah dalam hatinya, maka tinggal bekas amanah seperti kesan sesuatu warna yang menyalahi warna asal, warna yang agak hitam. Kemudian ia tidur lagi lalu dicabut lagi amanah, maka tinggallah bekasannya yang merupakan kembung-kembung di tangan lantaran banyak bekerja dengan menggunakan kapak seperti bara api yang engkau guling-gulingkan di atas kaki mu lalu kembunglah kaki itu dan engkau pun melihatnya sudah bengkak dan penuh dengan air, padahal tidak ada apa-apa di dalamnya. Kerana manusia berjual beli tetapi hampir-hampir tidak ada seorang pun yang amanah lalu seseorang pun berkata” Sesungguhnya dalam golongan bani fulan ada seorang yang boleh dipercayai dan dikatakan kepada orang itu : “Alangkah tinggi akalnya, alangkah bijak bestarinya dan alangkah hebat ketabahannya. Padahal tidak ada di dalam hatinya sedikit pun keimanan walaupun seberat biji sawi. Dan sesungguhnya telah datang kepada ku suatu masa (telah berlalu suatu masa). Aku yang pada masa itu tidak peduli siapakah di antara kamu aku berjual beli dengannya. Demi Allah sungguh jika ia Muslim, nescaya keislamannya akan menolaknya kepada ku dan jika ia Nasrani, nescaya pengurus urusannya akan kembalikan kepadanya. Sedangkan pada hari ini aku tidak lagi berjual beli melainkan dengan si anu dan si anu.”

al-Bukhari ; Muslim

Huraian
Amanah hilang dari hati manusia sedikit demi sedikit. Pada awalnya ia hanya meninggalkan titik hitam dan semakin lama titik hitam tersebut menjadi semakin jelas hingga menggelapkan hati sekali gus menghilangkan sirnanya. Malah dikatakan amanah itu adalah nilai keimanan itu sendiri. Dahulu, jika dalam melakukan urusan jual beli seseorang yang Muslim bersifat amanah kerana agamanya yang menuntut ia bersifat demikian. Seorang Nasrani pula bersifat amanah kerana pengurusnya menyuruh ia bersifat demikian. Namun pada masa kini, amanah seakan hilang. Tidak ada sesiapapun yang layak diberi kepercayaan penuh sama ada Muslim mahupun kafir. Semua ini disebabkan keimanan manusia yang semakin rapuh dan luntur, mudah digoda dan tergoda oleh habuan dunia. Hilang amanah hingga sanggup menerima rasuah, menipu dan menyelewengkan harta. Justeru sebagai manusia yang beriman hendaklah kita sentiasa memohon kepada Allah SWT agar dikekalkan dengan sifat amanah dan mempunyai keimanan yang teguh dan mantap.

Khamis, 20 Mei 2010

Mewarnakan Rambut

Hadith :
Dari Ibnu Sirin r. A katanya:.”Aku bertanya kepada Anas bin Malik r.a:”Adakah Rasulullah s.a.w mencelup rambut baginda?” jawab Anas:”Baginda tidak kelihatan beruban, kecuali di janggutnya nampak beberapa helai rambut putih.” Kata Ibnu Sirin:”Aku betanya pula kepadanya, adakah Abu Bakar mencelup rambutnya?” Jawab Anas:”Ada. Dengan inai.”

(Muslim)


Huraian
Sebahagian daripada perkara yang tergolong di dalam masalah perhiasan ialah mewarnakan rambut atau janggut yang telah beruban. Tetapi dengan warna apa dibenarkan mewarna rambut? Apakah dengan warna hitam atau warna-warna lain? Atau mesti mengelakkan dengan warna hitam? Orang yang telah tua, ubannya telah merata sama ada di kepala ataupun di janggut, tidak selayaknya mewarnakannya dengan warna hitam. Oleh itu, ketika Abu Bakar membawa bapanya Abu Qufahah ke hadapan Nabi s.a.w. pada hari penaklukan Mekah, Nabi melihat rambutnya seperti pokok Thughamah yang terlalu putih buah dan bunganya. Nabi bersabda: "Ubahlah ini (uban) tetapi jauhilah warna hitam." (HR Muslim). Manakala mereka yang tidak sebaya dengan Abu Qufahah, tidaklah berdosa apabila mewarna rambutnya dengan warna hitam. Dalam masalah ini al-Zuhri telah berkata: "Kami mewarna rambut dengan warna hitam apabila wajah masih kelihatan muda, tetapi apabila wajah sudah berkedut dan gigi sudah goyang, kami tinggalkan warna hitam." (Fathul Bari) Dan di dalam sebuah hadis riwayat Abu Zar mengatakan: Sebaik-baik bahan yang digunakan untuk mewarna uban ialah pokok inai dan katam." (HR Tarmizi dan ash-habusunan) Katam adalah sejenis pokok yang tumbuh di Yaman yang mengeluarkan pewarna berwarna hitam kemerah-merahan. Dan Inai sejenis pokok berdaun yang mengeluarkan warna merah. Anas bin Malik meriwayatkan, bahawa Abu Bakar mewarna rambutnya dengan inai dan katam, manakala Umar hanya dengan inai sahaja.

Khamis, 14 Januari 2010

Doa Adalah Intipati Kepada Segala Ibadah

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Tiadalah di atas dunia ini seorang Muslim yang berdoa melainkan akan diperkenankan Tuhan atau dipalingkan daripadanya kejahatan selama dia tidak berdoa perkara-perkara yang berdosa atau membuat perkara yang memutuskan tali persaudaraan. Lantas seorang lelaki berkata: “Kalau begitu kita perbanyakkan doa? Jawab baginda: “ Di sisi Allah (penerimaan) lebih banyak.”

Riwayat at-Tirmizi

Huraian
Pengajaran hadith:
i) Setiap umat Islam dituntut supaya berdoa kerana doa adalah inti pati kepada segala ibadah. Orang yang enggan berdoa dianggap sebagai orang yang sombong, takbur dan bongkak.
ii) Ketika berdoa, kita hendaklah peka kepada apa yang didoakan (dipohon), janganlah berdoa dengan mulut sahaja sedangkan hati kita lalai. Sebaliknya hadirkan hati serta hayati apa yang dipohonkan itu serta yakin bahawa Allah akan menerima doa tersebut kerana sesungguhnya Allah S.W.T tidak akan memperkenankan doa orang yang hatinya lalai dan alpa.
iii) Supaya doa dimakbulkan, hendaklah kita mematuhi adab-adab berdoa serta memilih masa dan tempat yang sesuai kerana Allah dengan sifat-Nya yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang tidak akan mensia-siakan doa hamba-Nya selama mana apa yang diminta itu merupakan perkara-perkara yang baik. Begitu juga Allah yang sifat-Nya yang Maha Pengampun tidak akan menolak doa hambanya yang beristighfar dan berdoa memohon keampunan dari segala dosa yang telah dilakukan.

Sabtu, 2 Januari 2010

Islam Melarang Umatnya Memohon Untuk Mati

Hadith :
Rasulullah saw. Bersabda bermaksud: “Janganlah ada diantara kamu yang bercita-cita hendak mati. Sekiranya ia seorang yang baik mudah mudahan ia dapat menambahkan lagi kebaikan, dan sekiranya ia seorang yang jahat mudah mudahan ia dapat bertaubat kepada Allah”

Riwayat Hadith Al-Bukhari dan Muslim

Huraian
1. Haram hukumnya bagi seseorang muslim bercita cita dan berdoa untuk mati apabila hidup didalam kesengsaraan dan menderita.
2. Setiap mukmin yang panjang umurnya mempunyai banyak peluang untuk ia beramal ibadat kepada Allah sebagai bekalan di akhirat nanti.
3. Islam tidak membenarkan umatnya bercita cita untuk mati, tetapi menggalakkan umatnya supaya bercita cita untuk menambahkan ilmu pengetahuan demi kemajuan ummah.

Template by:
Free Blog Templates