Memaparkan catatan dengan label ibadah (akidah). Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ibadah (akidah). Papar semua catatan

Khamis, 12 Ogos 2010

Kumpulan Kebaikan

Hadith :
Daripada Abu Hurairah r.a, daripada Nabi SAW bersabda maksudnya: ”Sesiapa yang melepaskan sesuatu kesusahan seorang mukmin dari kesusahan-kesusahan dunia Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan dari kesusahan hari Akhirat dan sesiapa melapangkan seorang yang berada di dalam kesempitan Allah akan melapangkan untuknya di dunia dan di akhirat dan sesiapa yang menutup keburukan saudaranya maka Allah akan menutup keburukannya di dunia dan akhirat dan Allah pasti menolong hamba-Nya selagi mana hambanya menolong saudaranya. Dan sesiapa mengikuti satu jalan untuk mencari ilmu Allah akan memudahkan untuknya jalan ke syurga. Tidak berkumpul satu kaum di dalam rumah dari rumah-rumah Allah dan saling belajar dan mengajar antara satu sama lain melainkan turunlah ketenangan atas mereka, rahmat meliputi mereka, para malaikat mengerumuni mereka dan Allah akan menyebut (nama-nama) mereka di sisi-Nya. Dan sesiapa yang kurang amalannya maka nasab (keturunannya) tidak akan dapat menyempurnakannya.”

(Muslim)

Huraian
Masyarakat Islam adalah seperti satu jasad yang setiap anggota akan merasai apa yang dirasai oleh orang lain malah mereka juga bersama-sama berkongsi kegembiraan. Maka antara yang menjadi kewajipan penting seorang Muslim ialah agar segera melepaskan kesempitan yang dialami oleh saudaranya. Dengan cara ini masyarakat yang sempurna dan tolong-menolong dapat diwujudkan. Sebaliknya mencari-cari keburukan orang lain dan menyebarkannya pula adalah satu tanda kemunafikan kerana disebabkan perkara tersebut sesuatu kejahatan yang dilakukan itu boleh menjadi pemangkin kepada orang yang sepertinya agar lebih agresif dan liar dengan kejahatan hingga seluruh masyarakat menjadi rosak. Sesungguhnya balasan Allah SWT kepada makhluk-Nya adalah dalam bentuk yang menyerupai amalan yang dilakukan itu.

Rabu, 9 Jun 2010

Majlis zikir

Hadith :
Sabda Rasulullah s.a.w:”Apabila kamu melintasi taman syurga hendaklah kamu berhenti singgah” Para sahabat bertanya:”Apakah itu taman syurga?”Jawab baginda:”Majlis Zikir.”

Riwayat at-Tirmidzi

Huraian
1. Zikrullah bermaksud mengingati Allah. Ia merupakan ibadat yang tidak hanya tertumpu pada lidah sahaja tetapi juga dengan hati dan seluruh anggota badan. Malah apa sahaja perbuatan yang dilakukan dengan tujuan untuk mengingati-Nya adalah termasuk dalam konteks zikirullah.
2. Zikir adalah amalan yang boleh menghidupkan hati, memberikan ketenangan rohani dan mengundang rahmat Allah. Sebaliknya orang yang jiwanya sering lalai daripada mengingati Allah, mata hatinya akan buta dan kehidupannya menjadi sempit dan mudah tertekan.
3. Orang yang selalu berzikir akan mudah terdorong untuk melakukan kebajikan dan tercegah daripada kemungkaran. Ini disebabkan ia merasai bahawa Allah sentiasa bersamanya dalam setiap amalan yang dikerjakan.

Selasa, 8 Jun 2010

Saat-saat Doa Paling Mustajab

Hadith :
Dari Ibnu Abbas r.a katanya:”Rasulullah s.a.w membuka tirai (kamarnya ketika baginda sakit akan meninggal), padahal ketika itu jamaah sedang solat berjamaah diimami Abu Bakar. Lalu baginda bersabda:”Sesungguhnya tidak ada lagi wahyu kenabian yang ketinggalan yang harus aku sampaikan, kecuali mimpi baik seorang muslim. Ketahuilah! Aku dilarang membaca al-Quran dalam rukuk dan sujud. Agungkanlah Allah Azza wa Jalla di dalam rukuk dan perbanyakkanlah doa di dalam sujud pasti doamu diperkenankan Allah S.W.T.”

(Muslim)

Huraian
Postur sujud ialah menungging dengan meletakkan kedua tangan, lutut, hujung kaki, dan dahi pada lantai. Ketika Allah meminta para malaikat bersujud kepada nabi Adam a.s bererti inilah tingkat tertinggi dari sebuah penghormatan. Sujud hanyalah untuk Allah S.W.T. Allah meminta malaikat sujud hormat, bukan sujud penyembahan dan mengajar kita bahawa tingkat paling tinggi dari rasa hormat adalah " Sujudlah pada Ku." Tidak ada penyembahan yang lebih baik daripada sujud. Itulah sebabnya mengapa umat Islam berbeza daripada umat agama lain. Mereka meletakkan dahinya atau kepalanya yang paling mulia ke tanah. Hal ini sekaligus membuang sifat angkuh seseorang dan menggantinya dengan berserah kepada Tuhan-Nya yang paling Agung. Inilah nilai kehambaan yang sebenar yang mengundang rahmat dan keberkatan daripada Allah.

Selasa, 1 Jun 2010

Balasan Membebaskan Hutang

Hadith :
Dari Abdullah bin Abu Qatadah r.a, katanya:”Abu Qatadah mencari seseorang yang berhutang kepadanya dan menghilangkan diri. Kemudian orang itu ditemuinya. Dia berkata kepada Abu Qatadah,:”Aku sedang dalam kesulitan.” Maka berkata Abu Qatadah:“Demi Allah! Demi Allah! Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda,:”Sesiapa yang ingin dibebaskan Allah dari kesulitan pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelapangan bagi orang-orang yang dalam kesulitan atau membebaskannya dari hutang.”

(Muslim)

Huraian
Di zaman sekarang, hampir tidak ada orang yang tidak mempunyai hutang. Apabila seseorang yang berhutang itu meninggal dunia, semua amal akan ditangguhkan oleh Allah hingga hutang orang yang meninggal itu dilunasi. Maka sebagai satu agama yang begitu berkasihan belas dan berperikemanusiaan, Islam menggalakkan orang yang berhutang untuk menghalalkan hutang mereka. Malah, disebutkan dalam ayat 280, Surah al-Baqarah yang bermaksud:”Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak).” Namun begitu dalam hal ini, sebagai orang yang berhutang adalah tidak wajar untuk kita mengharapkan orang yang kita hutangi menghalalkan hutang yang diberi kerana ia berkaitan dengan hak dan kewajipan kita sehingga kegagalan kita menjelaskan hutang memungkinkan timbul kesulitan di pihak yang memberi hutang hingga akhirnya menyebabkan perbalahan. Situasi ini bukan sahaja akan mengeruhkan keadaan bahkan merosakkan imej orang berhutang itu sendiri yang sedikit sebanyak akan menghakis kepercayaan orang terhadapnya dan seterusnya menyukarkan dia mendapatkan bantuan apabila ditimpa kesempitan.

Ganjaran Mempersiapkan Pertahanan (tentera)

Hadith :
Daripada Zaid bin Khalid al-Juhani r.a katanya : “ Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “Sesiapa yang mempersiapkan seorang tentera penyerang di jalan Allah untuk menjaga keluarganya maka sesungguhnya ia juga telah berperang.”

(al-Bukhari, Muslim dan at-Tirmidzi)

Huraian
Keselamatan dan kesejahteraan sesebuah negara adalah merupakan perkara yang menjadi keutamaan dalam aspek bernegara, terutama dalam sesebuah negara yang merdeka dan berdaulat. Islam merupakan agama yang memandang berat terhadap aspek keselamatan dan kesejahteraan umatnya serta alam seluruhnya. Ini sesuai dengan pengertian yang terungkap di dalam istilah "al-Islam" itu sendiri, yang bermaksud : "Selamat" atau "Sejahtera". Islam menganggap tugas berjuang di jalan Allah (berjihad) dan menjaga keamanan dan keselamatan negara sebagai tugas yang amat mulia dan amat besar ganjarannya di sisi Allah SWT. Firman Allah SWT maksudnya : "Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga,(disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah, maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh". (at-Taubat : 111)

Ahad, 17 Januari 2010

Menjauhi Daripada Bisikan Syaitan

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:”Syaitan akan menghantar tentera-tenteranya untuk memfitnah manusia, manusia yang lebih tinggi kedudukan akan mendapat fitnah syaitan yang lebih hebat. Syaitan akan datang kepada seseorang kamu dan berkata:”Siapakah yang telah menjadikan kejadian ini? Siapakah yang telah menjadikan kejadian ini ? Sehingga syaitan akan berkata:” Siapakah yang telah menjadikan Tuhan kamu?” Apabila perkara ini berlaku kepada kamu maka mintalah perlindungan dengan Allah daripada syaitan yang direjam.”

Riwayat Bukhari Dan Muslim

Huraian
1.Lintasan hati tidak akan memudaratkan iman yang ada pada seseorang.
2.Allah bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan. Oleh itu sebarang bisikan yang menafikan segala kesempurnaan Allah wajib disanggah agar seseorang itu bebas daripada kesesatan yang meracuni akal fikirannya.
3.Kemungkaran dan kemaksiatan adalah jalan yang memandu manusia ke arah kesesatan. Ia merupakan perangkap syaitan dan Iblis yang mahukan manusia tergolong sebagai makhluk yang menderhaka seperti mereka.
4.Fitnah syaitan akan mendatangi sesiapa sahaja. Hanya iman yang teguh dan mantap sahaja dapat menangkisnya. Oleh itu sebagai pendindingnya kita hendaklah sentiasa membiasakan diri dengan berzikir dan beristighfar agar hati tidak mudah lalai dan terpesong kepada perkara yang mendatangkan dosa dan maksiat.

Ikhlas Tapi Jauh

Hadith :
Dari Mu’awiyah r.a katanya Rasulullah SAW bersabda: ”Janganlah kamu meminta-minta. Demi Allah! Tidak seorang jua pun yang meminta kepadaku, yang tidak kupenuhi permintaannya. Tetapi seorang yang kuberi dengan hati enggan, maka pemberianku itu tidak berkat baginya.”

(al-Bukhari)

Huraian
1. Sesungguhnya tangan yang di atas adalah lebih baik daripada tangan yang di bawah. Tangan yang di atas adalah yang memberi dan yang di bawah adalah yang meminta
2. Orang yang berhati ikhlas bermakna bahawa ia tidak mempunyai perasaan tamak. Sebaliknya orang yang tidak ikhlas akan membatalkan pahala amalan kebaikan yang dilakukannya termasuk sedekah, sama ada dengan mengungkit atau menyebut-nyebut perkara yang boleh menyakitkan hati orang yang menerima kebajikannya itu.
3. Allah berfirman yang maksudnya:” Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak) dan dia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi)... (al-Baqarah: 264)
4. Menolak permintaan peminta-peminta sedekah dengan perkataan yang baik dan memaafkan kesilapan mereka adalah lebih utama daripada sedekah pemberian yang diiringi dengan perbuatan atau perkataan yang menyakitkan hati.
5. Meminta-minta pada orang lain adalah perbuatan yang tidak digalakkan di dalam Islam. Malah ia boleh menjatuhkan maruah dan memberikan imej yang buruk sedangkan Allah SWT memerintahkan manusia supaya berusaha dan berkerja dengan disediakan berbagai lapangan pencarian rezaki yang halal di muka bumi ini. Setiap manusia berhak ke atasnya asalkan dia berusaha dengan bersungguh-sungguh mengikut kemampuan yang ada padanya tanpa perlu menagih simpati daripada sesiapapun.

Sabtu, 2 Januari 2010

Sedekah Tidak Mengurangkan Harta

Hadith :
Daripada Abu Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “ Sedekah tidak mengurangkan harta. Allah tidak melebihkan seseorang hamba dengan kemaafan-Nya melainkan kemuliaan dan tidak merendahkan diri seseorang melainkan Allah mengangkatnya.”

(Muslim, ad-Darimi dan Ahmad)

Huraian
Dalam amalan bersedekah, kita perlu melakukannya dengan ikhlas kerana Allah, bukan disebabkan balasan nama atau sekadar bersedekah saja. Agar sedekah tidak menjadi sia-sia, Islam mengajarkan umatnya menyumbang dan bersedekah menepati erti ‘sedekah’ iaitu :
1. Sedekahlah dengan barang yang disenangi penerima. Allah melarang bersedekah dengan benda yang tidak baik kerana bersedekah adalah ibadat dan tanda mensyukuri nikmat Allah. Firman Allah yang maksudnya : “Wahai orang yang beriman! Belanjakanlah pada jalan Allah sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik dan sebahagian daripada apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat, padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu kalau diberikan kepada kamu, kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa terpuji.” (al-Baqarah: 267)
2. Sesuatu yang disedekahkan ialah yang halal, bukan haram atau subahat.
3. Sunat bagi pemberi sedekah atau penderma bersedekah dan menderma daripada benda yang disukai dan disayangi, tidak kira sama sedikit atau banyak sebagaimana firman Allah SWT yang maksudnya: “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai hakikat kebajikan dan kebaktian yang sempurna sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi. Dan apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya.” (Ali-Imran:92)
4. Bersedekah dengan disertai keikhlasan, bukan mengungkit, merungut, membidas dan menyakiti hati orang yang menerima sedekah kerana perbuatan ini haram dan merosakkan amalan bersedekah.
5. Sedekah yang diberikan secara sembunyi lebih afdhal, ibarat tangan kanan yang memberi, tangan kiri tidak mengetahuinya.

Sabtu, 7 November 2009

Meminta Pada Yang Berkuasa

Hadith :
Dari Abi Zar r.a, Nabi S.A.W bersabda: (Hadith Qudsi) ”Firman Allah Taala: Wahai hamba-hamba-Ku, Aku telah haramkan ke ats diri-Ku kezaliman dan Aku jadikan kezaliman itu juga haram ke ats kamu semua maka janganlah berlaku zalim sesama sendiri.
Wahai hamba-hamba-Ku, semua kamu adalah seasat kecuali orang-orang yang mendapat petunjuk-Ku, maka mintalah hidayah daripada-Ku, nescaya akan Aku berikan.
Wahai hamba-hamba-Ku semua kamu adalah dalam kelaparan kecuali orang yang mendapat makanan daripada-Ku, maka mintalah daripada-Ku nescaya Aku berikan kepadamu.
Wahai hamba-hamba-Ku semua kamu adalah tidak berpakaian kecuali orang yang Aku berikan kepadanya pakaian, maka mintalah daripada-Ku nescaya akan Aku berikan.
Wahai hamba-hamba-Ku, kamu semua melakukan salah dan silap setiap masa dan Aku adalah pengampun dosa-dosa, maka pohonlah keampunan daripada-Ku nescaya Aku akan ampunkan...”

(Muslim)

Huraian
Status manusia adalah sebagai hamba Allah dan khalifah di muka bumi ini. Untuk itu, manusia dilengkapkan dengan kesedaran moral yang harus selalu dikawal, jika tidak ingin terjatuh ke dalam kedudukan yang rendah. Dengan demikian, dalam kehidupan manusia sebagai ciptaan Allah, terdapat dua pola hubungan iaitu pola yang didasarkan pada kedudukan manusia sebagai khalifah Allah dan sebagai hamba Allah. Kedua pola ini harus dijalani secara seimbang, lurus dan teguh dan tidak hanya mengambil yang satu dan mengabaikan yang lain.

Jumaat, 23 Oktober 2009

Melihat Allah

Hadith :
Dari Abu Dzar r.a katanya:”Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w:”Adakah anda melihat Allah?” Jawab baginda:”Dia Maha Cahaya, bagaimana aku dapat melihatnya?”

(Muslim)

Huraian
Terkadang manusia merasa bahawa matanya dapat melihat segala-galanya dan lupa bahawa mata itu terbatas dan amat peka untuk mengalami kerosakan. Seperti Bani Israil yang pernah meminta syarat untuk beriman kepada Allah dan rasul-Nya.”
Dan ingatlah , ketika kamu berkata :” Hai Musa, kami tidak akan beriman kepada mu sebelum kami melihat Allah dengan terang , kerana itu kamu disambar halilintar, sedang kamu menyaksikannya (al-Baqarah : 55) Nabi Musa pula pernah meminta kepada Allah.”Berkatalah Musa : Wahai Tuhanku, perlihatkanlah kepadaku (Zat-Mu Yang Maha Suci) supaya aku dapat melihatmu” Allah berfirman :” Engkau tidak sekali-kali akan sanggup melihat Ku, tetapi pandanglah ke gunung itu, maka jika ia tetap berada pada tempatnya (seperti sediakala) nescaya engkau akan dapat melihat Ku .” Tatkala Allah (menzahirkan kebesaran-Nya) kepada gunung itu, (maka), “Tajalli-Nya” menjadikan gunung itu hancur lebur dan Musa pun jatuh pengsan. Maka setelah Musa sadar kembali, dia berkata :” Maha Suci Engkau (wahai Tuhanku) aku bertaubat kepada-Mu dan akulah orang yang pertama beriman pada zamanku.” (al- A’raaf :143) Semoga kita dapat menggunakan mata kita ini untuk mengakui Kebesaran dan Kekuasaan Pencipta.

Selasa, 6 Oktober 2009

Kaya Harta Dan Kaya Ilmu

Hadith :
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud r.a katanya: “Nabi Muhammad SAW pernah bersabda :” Janganlah ingin menjadi seperti orang lain kecuali seperti dua orang ini. Pertama, orang yang diberi Allah kekayaan berlimpah ruah dan ia membelanjakannya secara benar (di jalan yang adil dan sesuai dengan perintah Allah). Kedua, orang yang diberi Allah al-hikmah dan ia berperangai sesuai dengannya dan mengajarkannya kepada orang lain.”

(al-Bukhari)

Huraian
Setiap perbuatan ada matlamatnya masing-masing. Tetapi apa yang kita inginkan dalam hidup ini? Ilmu, wang atau selainnya? Perumpamaan orang yang kaya harta dan menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah seperti benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada setiap butir terdapat seratus biji. Hakikatnya, kaya dan miskin akan menguji tahap keimanan seseorang. Tidak semestinya yang kaya kurang imannya dan yang miskin pula kuat imannya atau sebaliknya. Jika direnung manakah yang lebih utama, ilmu atau harta? Tentu sekali ilmu kerana seperti kata sayidina Ali: “Ilmu akan menjaga diri mu, sementara harta adalah sebaliknya, kamu yang harus menjaganya.” Namun alangkah baiknya jika kita kaya kedua-duanya. Kaya harta dan kaya ilmu kerana kedua-dua mampu menaikkan kedudukan kita bukan sahaja di sisi manusia bahkan di sisi Allah SWT iaitu dengan cara memanfaatkan kurniaan Allah itu ke jalan yang diredhai-Nya.

Allah Tidak Pernah Penat

Hadith :
Diriwayatkan daripada Aisyah r.a :” Ketika saya sedang duduk dengan seorang perempuan, datang rasulullah SAW dan bertanya kepada ku :”Siapa dia?” Aku menjawab :” Si fulanah” dan aku ceritakan kepada nabi SAW bahawa dia beribadah dengan berlebihan. Nabi SAW bersabda dengan memperlihatkan tanda tidak bersetujunya. “Perbuatan baik yang dilakukan secara berlebihan tidak akan membuat Allah letih (untuk memberi pahala) namun engkaulah yang akan letih dan ad-din (perbuatan baik-ibadah yang paling dicintai Allah SWT) adalah yang dikerjakan secara tetap.”

(al-Bukhari)

Huraian
Wasatiyyah atau sikap bersederhana merupakan salah satu daripada ajaran yang diterapkan kepada umat Islam seluruhnya yang merangkumi segenap aspek kehidupan. Tidak terlalu melampau dan tidak pula terlalu mengambil mudah akan sesuatu perkara atau urusan. Oleh itu Islam merupakan satu agama yang sederhana dan memerintahkan agar umat Islam juga turut bersederhana dalam kehidupan seharian mereka termasuk hal-hal ibadat. Ini bersesuaian dengan maksud firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah 185 yang berbunyi : “Allah menghendaki untuk kamu kemudahan dan tidak menginginkan kesukaran…“ Melakukan sesuatu ibadah atau perintah Allah dan Rasul-Nya secara melampaui batas akan melahirkan satu ibadah yang boleh memberatkan seseorang individu hingga menjadi satu bid’ah manakala terlalu meringankannya pula akan menjerumuskan kepada meninggalkan terus ibadah tersebut. Yakinlah dengan ganjaran dan janji Allah yang tidak pernah memungkiri janji-Nya.

Rabu, 30 September 2009

Taat

Hadith :
Dari Abu Hurairah Abdul Rahman bin Sakhr r.a katanya:”Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda:”Apa yang aku tegahkan kamu daripadanya maka hendaklah kamu menjauhinya dan apa yang aku perintahkan kamu dengannya maka hendaklah kamu kerjakan daripadanya apa yang kamu mampu. Sesungguhnya telah binasa orang-orang yang sebelum kamu oleh sebab banyaknya pertanyaan mereka dan perselisihan mereka terhadap nabi-nabi mereka.”

(Bukhari & Muslim)

Huraian
1. Segala apa yang dilarang oleh Rasulullah S.A.W adalah semua perkara yang haram dari segala macam bentuk maksiat dan kejahatan sama ada berhubung dengan diri, masyarakat dan lain-lainnya. Ada yang berkait dengan harta benda seperti larangan mencuri, merompak, meragut atau membazirkan wang di mana setiap larangan itu ada hikmah dan faedahnya.
2. Manakala segala bentuk suruhan pula hendaklah dikerjakan menurut kadar yang dapat dilakukan sesuai dengan kekuatan atau kemampuan yang ada. Sesiapa pun tidak harus meninggalkan atau mencuaikannya tetapi mestilah dilaksanakan secara bersungguh-sungguh dengan penuh ketaatan.
3. Punca kebinasaan umat-umat sebelum ini adalah disebabkan perselisihan terhadap nabi-nabi mereka. Mereka suka membantah dan menentang apa-apa yang disampaikan serta banyak mengemukakan pertanyaan yang bukan-bukan sehingga menimbulkan banyak masalah dan akhirnya menyulitkan keadaan.

Selasa, 29 September 2009

Aspek-aspek Ibadat

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Bertafakur sesaat adalah lebih baik daripada beribadat setahun.”

Riwayat ad-Dailani

Huraian
i) Islam menyediakan suatu jalan yang sempurna untuk manusia beribadat.Di mana setiap aspek ibadat bersesuaian dengan kekuatan dan keupayaan yang ada pada seseorang.
ii) Ibadat bukan hanya himpunan amal seperti sembahyang, puasa, haji, doa dan sumpamanya tetapi apa jua perkara yang dilakukan dengan niat atau tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah.
iii) Ibadat terbahagi kepada 4 aspek iaitu:
a) ibadat akal-ia dicapai dengan cara berfikir, merenung, mengkaji sesuatu makhluk Allah serta memerhatikan keindahan dan keagungan ciptaan Allah S.W.T.
b) Ibadat jiwa- ia dilakukan dengan adanya sifat khusyuk, tawakkal, redha terhadap qadha dan qadar, bersyukur, ikhlas, cinta, belas kasihan, al-khauf (takut) dan raja’ (mengharap). Tanpa sifat-sifat ini maka sesuatu ibadat itu dikatakan ibadat yang mati dan tidak diterima oleh Allah S.W.T.
c) Ibadat badan – iaitu segala amalan anggota tubuh termasuklah segala gerak-geri seperti mata, telinga, mulut, hidung, kaki, tangan dan sebagainya. Termasuk juga segala perkataan dan perbuatan.
d) Ibadat harta- iaitu dengan cara mengeluarkan zakat, mengerjakan haji, memberi nafkah dan mengorbankan harta fi sabilillah, bersedekah, dan menyediakan kemudahan untuk orang ramai (wakaf).

Rabu, 16 September 2009

Al-quran Sebagai Pemberi Syafaat Di Hari Akhirat

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Bacalah al- Quran kerana ia akan datang pada Hari Akhirat kelak sebagai pemberi syafaat kepada tuannya.”

Riwayat Muslim

Huraian
Pengajaran Hadis:
i) Al-Quran merupakan kalam Allah dan perlembagaan syariatnya yang kekal abadi. Allah telah menurunkannya kepada manusia sebagai panduan dalam mengharungi kehidupan agar dapat mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.
ii) Membaca al-Quran merupakan satu ibadah yang boleh menghampirkan diri seseorang itu kepada Allah S.W.T. Pahalanya amat besar iaitu sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran, ganjarannya satu kebaikan dan sepuluh ganjaran yang sama dengannya. Selain itu ia juga boleh meberikan syafaat di hari akhirat kelak.
iii) Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim ada menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya :” Perumpamaan Mukmin yang membaca al-Quran adalah seperti limau yang mempunyai bau yang harum dan rasanya sedap. Manakala perumpamaan mukmin yang tidak membaca al-Quran pula adalah seperti tamar yang tidak ada bau tetapi rasanya manis dan sedap.”
iv) Membaca al-Quran hendaklah dilakukan dengan beradab sebagai menghormati kalimah Allah di antaranya ialah seseorang itu hendaklah berada dalam keadaan suci (berwudhu’) dan membacanya di tempat yang bersih, memulakan dengan membaca Ta’auwuz dan Basmallah, membaca dengan teliti dan perlahan, menjaga makhraj (bertajwid) serta memperelokkan suara sekadar termampu.
v) Pembacaan al-Quran yang paling baik ialah apabila difahami apa yang dibaca. Dengan ini barulah seseorang itu akan dapat merasai nikmatnya yang sebenar.

Selasa, 15 September 2009

Kumpulan Kebaikan

Hadith :
Daripada Abu Hurairah r.a, daripada Nabi SAW bersabda maksudnya: ”Sesiapa yang melepaskan sesuatu kesusahan seorang mukmin dari kesusahan-kesusahan dunia Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan dari kesusahan hari Akhirat dan sesiapa melapangkan seorang yang berada di dalam kesempitan Allah akan melapangkan untuknya di dunia dan di akhirat dan sesiapa yang menutup keburukan saudaranya maka Allah akan menutup keburukannya di dunia dan akhirat dan Allah pasti menolong hamba-Nya selagi mana hambanya menolong saudaranya. Dan sesiapa mengikuti satu jalan untuk mencari ilmu Allah akan memudahkan untuknya jalan ke syurga. Tidak berkumpul satu kaum di dalam rumah dari rumah-rumah Allah dan saling belajar dan mengajar antara satu sama lain melainkan turunlah ketenangan atas mereka, rahmat meliputi mereka, para malaikat mengerumuni mereka dan Allah akan menyebut (nama-nama) mereka di sisi-Nya. Dan sesiapa yang kurang amalannya maka nasab (keturunannya) tidak akan dapat menyempurnakannya.”

(Muslim)

Huraian
Masyarakat Islam adalah seperti satu jasad yang setiap anggota akan merasai apa yang dirasai oleh orang lain malah mereka juga bersama-sama berkongsi kegembiraan. Maka antara yang menjadi kewajipan penting seorang Muslim ialah agar segera melepaskan kesempitan yang dialami oleh saudaranya. Dengan cara ini masyarakat yang sempurna dan tolong-menolong dapat diwujudkan. Sebaliknya mencari-cari keburukan orang lain dan menyebarkannya pula adalah satu tanda kemunafikan kerana disebabkan perkara tersebut sesuatu kejahatan yang dilakukan itu boleh menjadi pemangkin kepada orang yang sepertinya agar lebih agresif dan liar dengan kejahatan hingga seluruh masyarakat menjadi rosak. Sesungguhnya balasan Allah SWT kepada makhluk-Nya adalah dalam bentuk yang menyerupai amalan yang dilakukan itu.

Khamis, 3 September 2009

Islam Yang Sebenar

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Apabila salah seorang dari kamu mengerjakan amal-amal yang membuktikan keislamannya dengan sebaik-baiknya (serta dengan ikhlas) maka tiap-tiap kebaikan yang dikerjakannya akan ditulis baginya sepuluh kebajikan yang menyamainya hingga kepada tujuh ratus kali ganda dan tiap-tiap satu kejahatan yang dilakukannya akan ditulis baginya (satu kejahatan) yang menyamainya.”

Riwayat Bukhari

Huraian
Pengajaran Hadis:

i) Islam adalah suatu agama yang mulia dan ia memuliakan penganutnya.
ii) Buktinya Islam memberikan ganjaran yang sangat besar bagi setiap kebaikan yang dilakukan di mana kelebihan atau ganjaran ini tidak akan diperolehi dengan pengakuan mulut sahaja (mengaku Islam sahaja) tetapi hanya akan dicapai dengan mengerjakan amalan-amalan yang baik secara ikhlas dan ihsan kerana Allah S.W.T.
iii) Ihsan bererti mengerjakan sesuatu ibadat dan kebaikan dengan sebaik-baiknya, lengkap dengan segala peraturan serta ikhlas kepada Allah iaitu bersih dari perbuatan syirik dan sifat munafiq serta bersih daripada perasaan riya’, ujub dan sebagainya. Dengan lain perkataan ihsan itu adalah mengerjakan sesuatu ibadat seolah-olah seseorang itu melihat Allah serta meyakini bahawa Allah sedang memerhatikannya.

Rabu, 2 September 2009

Jangan Meremehkan Sedekah Orang

Hadith :
Dari Abu Mas’ud r.a katanya:”kami diperintah rasulullah s.a.w supaya bersedekah sedangkan kami hanya sebagai buruh kasar atau kuli. Namun Abu Uqail bersedekah setengah gantang. Kemudian yang lainnya mengikutinya dengan menyedekahkan apa sahaja namun lebih banyak dari itu. Melihat kenyataan itu, orang-orang munafik berkata:”Sesungguhnya Allah Maha Kaya. Dia tidak memerlukan sedekah itu dan ini. dan mereka melakukan ini semua, hanya kerana riya’ semata-mata.” Kerana ucapan mereka itu maka turunlah ayat :”(orang-orang munafik iaitu) mereka yang mencela orang-orang mukmin yang memberikan sedekah dengan sukarela dan (mencela) orang-orang yang tidak memperoleh (sesuatu untuk disedekahkan) selain hasil jerih payah mereka. Maka orang-orang munafik itu menghina mereka. Allah akan mebalas penghinaan mereka itu dengan siksa yang pedih.”

(at-Taubah:79)


Huraian
Allah SWT Maha Mengetahui siapa diri kita yang sebenarnya. Apa yang nyata keislaman seseorang tidak diukur oleh luasnya ilmu agama yang dimiliki. Tidak juga diukur oleh kekuatan ibadah semata. Tetapi keislaman itu diukur pada orang yang paling ikhlas dalam agamanya termasuk dalam bersedekah kerana sesungguhnya seorang mukmin yang sebenar akan sanggup menawarkan hartanya demi mempertahankan agamanya, sementara orang munafik pula akan sanggup menawarkan agamanya demi mempertahankan hartanya.

Selasa, 1 September 2009

Kesabaran Dalam Mengerjakan Ibadat

Hadith :
Daripada Anas r.a daripada Rasulullah s.a.w sabdanya, tiga perkara yang mengiringi jenazah iaitu keluarganya, hartanya dan amalannya. Maka dua perkara akan kembali semula, yang tinggal hanyalah amalannya.


Riwayat al-Bukhari dan muslim

Huraian
1. Tiga perkara yang menjadi kepentingan utama di atas dunia ini bagi seseorang iaitu keluarganya, kekayaannya dan amal kebajikannya. Maka hendaklah setiap orang itu mendapatkan ketiga-tiga perkara itu sebaiknya.
2. Apabila seseorang itu mati, yang kekal ialah amalannya. Walau bagaimanapun jika keluarga yang ditinggalkan adalah keluarga bertakwa dan harta yang diperolehi adalah halal dan digunakan untuk keredaan Allah, juga akan bermanfaat kepada si mati

Khamis, 27 Ogos 2009

Bulan Hari Raya

Hadith :
Dari Abu Bakrah r.a bahawa Nabi saw. bersabda: “Dua bulan yang terdapat hari raya, harinya tidak berkurang; hari raya Ramadhan dan bulan Zulhijah”.

(Muslim)


Huraian
1. Pada hari raya, orang Islam disunatkan mengenakan pakaian yang paling cantik, paling bersih, dan juga mengenakan wangi-wangian. Sembahyang sunat Hari Raya sebanyak 2 rakaat yang diadakan pada sebelah pagi di mana kita disunatkan juga untuk pergi dan balik daripada mengerjakan sembahyang sunat Aidil Fitri atau Aidil Adha dengan melalui jalan yang berlainan.
2. Berdasarkan sunnah Rasulullah SAW, perayaan Hari raya Aidil Fitri hanya disambut selama 1 hari sahaja, berbanding dengan perayaan hari raya Aidil Adha yang disambut selama tiga hari.

Template by:
Free Blog Templates