Memaparkan catatan dengan label ibadah (solat). Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ibadah (solat). Papar semua catatan

Rabu, 9 Jun 2010

Imam Menghadap Makmum Setelah Selesai Solat

Hadith :
Musa bin Ismail menyampaikan kepada kami, daripada Jarir bin Hazam, daripada Abu Raja’, daripada Samurah bin Jundab katanya:’Apabila nabi s.a.w selesai menunaikan solat, baginda menghadap mukakanya kepada kami."


(Bukhari)

Huraian
Imam bertanggungjawab ke atas makmumnya, dengan itu seorang imam harus benar-benar tahu akan kedudukannya. Orang yang bagus bacaan al-Qurannya dan orang yang lebih disukai makmum adalah lebih diutamakan untuk menjadi imam kerana imam itu dipilih untuk diikuti. Makmum yang tepat berada di belakang imam, hendaklah seorang yang amat tahu dalam masalah ibadah yang sedang dilakukan. Mereka harus bertindak tepat pada saat imam batal, salah, lupa dan sebagainya. Bila perlu ia berhak menggantikan imam. Apabila selesai solat, imam hendaklah duduk mengarah ke jamaah. Sebaiknya imam berzikir secara perlahan dan khusyu’, dan jamaah juga berzikir atau berdoa sesuai dengan bacaan imam. Bila imam berdoa, diaminkan atau tidak diaminkan, doa imam sudah membawa kepentingan jamaahnya.

Khamis, 20 Mei 2010

Tiga Buah Masjid

Hadith :
“Dari Abu Hurairah, r.a. dari Nabi s.a.w. sabdanya: “Tidak sepatutnya (bersusah payah) keluar belayar (untuk menziarahi mana-mana masjid kecuali (untuk pergi) ketiga-tiga masjid (yang berikut): Masjidil Haram (di Mekah), dan masjid Rasulullah s.a.w. (di Madinah) serta Masjid al-Aqsa (di Palestin)”

(Bukhari)

Huraian
1. Umat Islam yang ingin berziarah keluar (negara) untuk beribadat kepada Allah tidak perlu bersusah payah ketempat lain, selain dari berziarah ke tanah suci, terutama untuk mengerjakan ibadat haji dan umrah.
2. Tiga buah masjid yang mempunyai fadilat yang besar, apabila mengerjakan ibadat sembahyang di dalamnya ialah:
i. Masjidil Haram di Mekah
ii. Masjid Nabi di Madinah
iii Masjidil al-Aqsa di Palestin.
3 Diantara fadhilat-fadhilatnya ialah:
i) Kelebihan Masjidil haram ialah mereka yang bersembahyang di dalamnya akan mendapat seratus ribu (lebih afdhal dari) sembahyang di tempat lain dan di dalamnya terletak Kaabah yang menjadi kiblat umat Islam.
ii) Kelebihan Masjid Nabawi pula ialah mereka yang bersembahyang di dalamnya akan mendapat seribu (lebih afdhal dari) sembahyang di tempat lain, dan didalamnya ada makam Nabi s.a.w. Dan sebagai sebuah taman dari taman-taman syurga.
iii) Kelebihan Masjid al-Aqsa pula ialah mereka yang bersembahyang di dalamnya akan mendapat lima Ratus (lebih afdhal dari) sembahyang di tempat lain, dan keistimewaannya ialah ia adalah merupakan masjid para Nabi yang terdahulu dan tempat Israk dan Mikrajnya Nabi s.a.w.

Khamis, 31 Disember 2009

Peraturan Solat Berjamaah

Hadith :
Dari Anas bin Malik katanya:”Aku dan seorang anak yatim solat bersama-sama di rumah kami, di belakang nabi s.a.w. Sedangkan ibuku, ummu Sulaim di belakang kami.”

(al-Bukhari)

Huraian
Rasulullah s.a.w adalah seorang model dan ikutan sebenar yang telah memberi panduan kepada seluruh umat manusia dalam seluruh aspek kehidupan termasuklah aspek peribadatan. Melalui amalan solat berjamaah contohnya, setiap muslim wajib mematuhi beberapa disiplin yang tertentu yang terkandung dalam solat seperti imam adalah dianggap sebagai ketua solat yang memimpin, sementara makmum akan mengikut segala pergerakan imam. Kedudukan imam dan makmum juga jelas ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w iaitu dari segi aturan saf dan pembahagian antara kedudukan lelaki dan wanita. Ini merupakan perkara yang telah disepakatkan oleh syarak wajib diikuti dan tidak ada sesiapapun yang boleh melanggarnya atau menagadakan peraturan baru sebagaimana yang dilakukan oleh Amina Wadud yang telah menimbulkan kontroversi umat Islam sedunia baru-baru ini.

Rabu, 18 November 2009

Solat Dalam Kenderaan

Hadith :
Diriwayatkan daripada Jabir r.a: “ Nabi Muhammad SAW pernah mengerjakan solat (sunat) sambil menunggang haiwan tunggangannya (rahilah) ke mana pun baginda menghadap dan ketika Nabi SAW hendak mengerjakan solat wajib Nabi SAW turun dari tunggangannya dan solat menghadap kiblat (Kaabah di Mekah).”

(Al-Bukhari)

Huraian
Islam mewajibkan kita melakukan solat malah haram ke atas kita meninggalkannya tanpa sebarang keuzuran yang dibenarkan syarak. Sekiranya kita berada dalam musafir sekalipun kita juga diwajibkan solat. Terdapat berbagai-bagai kaedah dan pilihan yang telah digariskan termasuklah tata cara solat di dalam kenderaan sama ada kereta, perahu, kapal selam, kapal terbang mahupun dalam kapal angkasa. Dalil yang membolehkannya selain daripada hadis di atas ialah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah ibnu Umar r.a. Seorang sahabat telah bertanya kepada Nabi SAW :”Bagaimanakah cara untuk saya bersolat dalam perahu ? Nabi SAW menjawab: Solatlah di dalamnya dengan berdiri kecuali jika engkau takut tenggelam. Hadith di atas adalah sebagai dalil keharusan bersolat di atas kenderaan tanpa mengira apa jua jenis tersebut kerana ia bukanlah berkenaan hukum perahu tetapi ialah keharusan melaksanakan solat di atas kenderaan seperti mana Nabi SAW dan para sahabat yang pernah bersolat secara duduk di atas binatang tunggangan mereka. Baginda memberi isyarat yang sujud lebih rendah daripada rukuk. Solat sebegini adalah sah jikalau benar-benar menghadapi kesukaran.

Isnin, 16 November 2009

Kedudukan Tangan Ketika Sujud

Hadith :
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Malik bin Buhaina r.a, ketika nabi Muhammad SAW mengerjakan solat, nabi memisahkan (merenggangkan) tangannya dari tubuhnya (dengan lebar) hingga ternampak ketiaknya yang putih.”

(al-Bukhari)

Huraian
Sujud dari segi istilah ialah "penyerahan diri yang tertinggi". Tertib sujud ialah dengan meletakkan kedua-dua lutut ke lantai, baru diikuti tapak tangan dan seterusnya dahi. Kedua-dua tangan dirapatkan di bahagian bawah sedikit dari ibu jari, iaitu ada sedikit ruang terbuka di antara kedua-dua tangan dan di situlah dahi diletakkan. Jangan sujud terlalu jauh ke hadapan kerana dikhuatiri akan melebihi lebih dari anggota sujud yang 7 iaitu dahi, kedua tapak tangan, kedua lutut dan kedua belah kaki (setakat jari sahaja). Ibu jari kaki dilenturkan sedikit agar menghala ke kiblat. Rasulullah SAW ketika hendak sujud, baginda meletakkan kedua lututnya terlebih dahulu sebelum kedua tangannya. Setelah meletakkan kedua lutut, baginda kemudian meletakkan kedua tangan, lalu kening, lalu hidung. Ketika bangkit dari sujud, baginda mengangkat kepala terlebih dulu, lalu kedua tangannya, dan setelah itu baru kedua lututnya.

Rasulullah Bersiwak

Hadith :
Diriwayatkan dari Abu Musa r.a :” Aku menemui Nabi Muhammad SAW dan aku melihat Nabi SAW membawa siwak dalam genggaman tangannya kemudian menyikat giginya dan terdengar suara “Uh!Uh!” seakan Nabi SAW hendak muntah ketika siwak itu masih berada di dalam mulutnya.”

(al-Bukhari)

Huraian
Rasulullah SAW bersiwak setiap kali waktu solat, tetapi tidak memerintahkan sahabat untuk ikut bersiwak setiap kali hendak solat melainkan disuruh supaya berkumur-kumur ketika mengambil wudhu’. Bersugi atau bersiwak adalah suatu perbuatan bagi membersihkan mulut dan gigi. Hukumnya adalah sunat tetapi masa yang paling dituntut ialah setelah bangun dari tidur, ketika hendak mendirikan sembahyang , ketika hendak membaca al-Quran dan ketika berubah bau mulut. Alat untuk bersugi ialah tiap-tiap sesuatu yang suci dan kesat seperti berus gigi , kayu sugi dan lain-lain. Dari Aisyah r.a. Nabi SAW telah bersabda yang maksudnya:”Bersugi itu membersihkan mulut dan mendapat redha dari Tuhannya “.(al-Baihaqi )

Ahad, 15 November 2009

Solat Dalam Keadaan Mengantuk

Hadith :
Diriwayatkan dari Anas r.a :” Nabi Muhammad SAW pernah bersabda :” Apabila seseorang mengantuk ketika sedang mengerjakan solat hendaklah ia tidur terlebih dahulu hingga ia mengerti apa yang ia katakan (atau ia bacakan)”.

(al-Bukhari)

Huraian
Jika kita merasa sangat mengantuk dan letih eloklah sekiranya kita baring seketika. Selepas itu bangun dan ambillah wudhu’ dan tunaikan solat. Ingat! Jangan terus tertidur. Sebenarnya seseorang itu hendaklah bersembahyang dengan kekuatan yang ada pada dirinya. Tidak secara terpaksa hingga tidak sedar tentang bacaan dalam solat mahupun bilangan rakaat yang telah dikerjakan. Solat seperti ini boleh membawa kepada batal. Malah adalah lebih baik sekiranya setiap kali merasa mengantuk kita memperbaharui wudhu’ semula kerana dengan cara membasuh muka dan mengenakan air kepada anggota tubuh itu akan dapat menyegarkan semula badan kita dan kita menjadi bersemangat untuk mengerjakan solat.

Berkumur Sebelum Solat

Hadith :
Diriwayatkan daripada Suwaid bin al-Nu’man r.a:” Pada tahun terjadinya perang Khaibar aku pergi bersama Rasulullah SAW hingga kami tiba di Shahba, sebuah tempat dekat Khaibar, tempat Rasulullah SAW mengerjakan solat Asar dan meminta makanan. Tidak ada makanan lain kecuali sawiq. Nabi SAW menyuruh mencucinya terlebih dahulu. Kami semua memakannya dan tidak lama kemudian Nabi SAW berdiri untuk solat Maghrib, berkumur-kumur dan kami mengerjakan hal yang sama lalu mengerjakan solat dengan tidak mengulang wudhu’.”

(al-Bukhari)

Huraian
Makan dan minum bukanlah perkara yang membatalkan wudhu’ tetapi ia adalah perkara yang membatalkan sembahyang jika berlaku dalam sembahyang. Justeru bagi sesiapa yang mengambil makanan dan ingin mengerjakan solat dengan wudhu’ yang sedia ada digalakkan untuk berkumur terlebih dahulu sebagai langkah pembersihan mulut iaitu jika tidak berkesempatan memberus gigi kerana memberus gigi adalah cara yang terbaik untuk membuang sisa-sisa makanan yang melekat di celah-celah gigi. Rasulullah SAW dalam hal ini pernah bersabda yang maksudnya “Sekiranya tidak memberatkan umat ku, nescaya aku akan memerintahkan mereka bersiwak (memberus gigi) setiap kali ingin bersolat.” (Bukhari) Manakala ada dari riwayat yang lain mengatakan, “... Setiap kali hendak berwudhu’” (Bukhari)

Isnin, 5 Oktober 2009

Wudhuk

Hadith :
Dari Umar bin al-Khattab r.a katanya:” Ada seorang lelaki berwudhuk tetapi ada kakinya yang tidak terkena air selebar kuku. Dan hal itu dilihat oleh Nabi s.a.w. Disebabkannya baginda bersabda:”Ulang kembali wudhukmu dengan sempurna dan sebagus-bagusnya!” Orang itu pun berwudhuk kembali dan sesudah itu dia solat.”

(Muslim)

Huraian
Wudhuk mempunyai enam rukun dan syarat sah wudhuk bergantung kepada enam rukun tersebut. Jika tertinggal atau sengaja meninggalkan salah satu daripada rukun itu, maka wudhuk dikira tidak sah. Rukun-rukun wudhuk ialah:-

1. NIAT, iaitu diniatkan di dalam hati untuk mengambil wudhuk yang ertinya "Sahaja aku mengangkat hadath kecil kerana Allah Ta'ala".

2. MEMBASUH MUKA, mengalirkan air serta meratakannya keseluruh muka yang dibasuh, dari dahi sampai ke dagu (jika ada janggut hendaklah diratakan seluruhnya) dan dari telinga kanan hingga ke telinga kiri- disunatkan sebanyak 3 kali.

3. MEMBASUH KEDUA TANGAN HINGGA KE SIKU, mengalir dan meratakan air dari bahagian siku hingga ke hujung jari. Mulakan dari tangan kanan dahulu diikuti tangan kiri, juga dilakukan sebanyak - 3 kali.

4. MENYAPU AIR DI KEPALA iaitu menyapu kepala dengan air sekurang-kurangnya tiga helai rambut dan yang lebih baik ialah menyapu seluruh kepala. - 3 kali.

5. MEMBASUH KEDUA KAKI, mengalir dan meratakan air kepada dua kaki serta celah-celah jari kaki tumit hingga buku lali, mulakan sebelah kanan dahulu. - 3 kali.

6. TERTIB iaitu mengikut turutan, yang dahulu didahulukan dan yang kemudian dikemudiankan.

Khamis, 1 Oktober 2009

Balasan Meninggalkan Solat Asar

Hadith :
Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a beliau mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda:”Orang yang luput solat Asarnya samalah ertinya dia telah kehilangan keluarga dan harta kekayaannya.”

(al-Bukhari)

Huraian
Solat adalah perkara yang diwajibkan dalam Islam malah ia termasuk dalam salah satu daripada rukun Islam yang lima. Dari sudut pelaksanaan solat, seseorang itu tidak boleh sewenang-wenangnya meninggalkan solat kecuali mereka yang menghadapi suasana darurat yang membolehkan ia berbuat demikian sebagaimana yang dilakukan Nabi s.a.w dan umat Islam Madinah ketika berlaku peperangan Khandak yang sungguh sengit di mana pihak musuh telah mengepung Kota Madinah. Demi menjaga keselamatan mereka terpaksa menunda solat Asar hingga ke waktu Maghrib.

Rabu, 9 September 2009

Penghormatan Kepada Masjid

Hadith :
Dari Abi Qatadah as-Salmi r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda “Apabila seseorang daripada kamu masuk ke masjid, hendaklah ia mengerjakan sembahyang (tahyatul masjid) dua rakaat sebelum ia duduk.”

(Bukhari)

Huraian
1. Masjid dan surau adalah tempat yang suci dan mulia yang diberi penghormatan dengan menamakannya “Baitullah” (rumah Allah).
2. Baitullah yang paling besar dan agung adalah Baitullah al-Haram yang terletak di Makkah al-Mukarramah. Ia merupakan kiblat umat Islam di seluruh dunia.
3. Apabila kita memasuki mana-mana masjid hendaklah kita menunaikan hak masjid terlebih dahulu iaitu dengan mengerjakan sembahyang dua rakaat sebelum duduk.
4. Sembahyang tersebut dinamakan sembahyang “Tahyatul masjid”. ‘Tahyat’ di sini bererti penghormatan iaitu sembahyang yang dikerjakan secara khusus semasa tiba di masjid. Hukumnya adalah sunat.

Khamis, 3 September 2009

Waktu Asar, Isyak Dan Subuh

Hadith :
"Daripada Abu Barzah al-Islami r.a. katanya, "Rasulullah s.a.w telah bersembahyang Asar. Kemudian salah seorang daripada kami telah kembali ke tempat kediamannya dipinggir bandar ketika matahari masih cerah. Baginda Rasulullah suka mentakhirkan sembahyang isyak, dan baginda tidak suka tidur sebelumnya serta bercakap-cakap selepasnya, Baginda selesai menunaikan sembahyang subuh ketika seorang itu boleh mengenali orang yang duduk disebelahnya dan Baginda membaca 60 ayat sehingga 100 ayat al-Quran".

(al-Bukhari dan Muslim)

Huraian
1. Seseorang hendaklah menyegerakan sembahyang Asar diawal waktunya
2. Sunat mentakhirkan sembahyang Isyak kepada 1/3 dari malam sekiranya tidak memberatkan sembahyang secara berseorangan atau berjamaah.
3. Makruh bagi seseorang tidur sebelum sembahyang isyak kerana takut terlupa atau terlewat daripada waktu.
4. Seseorang hendaklah segera menunaikan sembahyang subuh dan keluar dari masjid setelah terang.
5. Setelah selesai sembahyang subuh Rasulullah s.a.w membaca 60 ayat sehingga 100 ayat al-Quran.

Khamis, 27 Ogos 2009

Solat Dalam Keadaan Tenang

Hadith :
Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:”Apabila dibacakan iqamat sembahyang, janganlah kamu semua tergesa-gesa pergi untuk menunaikan sembahyang, tetapi hendaklah berjalan dengan baik dan tertib, hendaklah kamu semua bersifat tenang. Tunaikanlah sembahyang mengikut rakaat yang kamu sempat mengikuti imam dan apabila imam memberi salam, maka hendaklah kamu menyempurnakan mana-mana rakaat yang tertinggal.”

al-Bukhari & Muslim

Huraian
1. Apabila iqamat sembahyang dibacakan, janganlah kita tergesa-gesa (berlari-lari anak) ke masjid, tetapi hendaklah berjalan dengan tenang dan sopan.
2. Jika terlambat sedikit, ikutilah sembahyang berjamaah bersama imam dengan mengikut rakaat yang sempat.
3. Hikmah bersifat tenang dan tidak tergopoh-gapah adalah untuk memberi keselesaan semasa sembahyang iaitu agar sembahyang yang dikerjakan tidak dalam keadaan tercungap-cungap sehingga bacaan menjadi tidak sempurna.
4. Semasa mengerjakan sembahyang, kita bukan sahaja dikehendaki mementingkan suasana yang tenang tetapi jiwa dan fizikal juga mesti tenang agar sembahyang dapat dilakukan dengan penuh khusyuk dan tawaddhuk.

Bacaan Wajib Dalam Solat

Hadith :
Dari ‘Ata’ r.a katanya:”Abu Hurairah berkata:”Dalam setiap solat, Rasulullah s.a.w selalu membaca bacaan (ayat). Oleh sebab itu bacaan yang dinyaringkan kepada kami, kami nyaringkan pula, dan bacaan yang perlahan-lahan dibacanya, kami perlahankan pula kepadamu.” Lalu seorang lelaki bertanya:”Bagaimana jika tidak kutambah lagi bacaanku selain membaca al-Fatihah?” Jawabnya:” Jika kamu menambah itu lebih baik, jika tidak, maka al-Fatihah pun sudah cukup.”

(Muslim)

Huraian
Al-Fatihah merupakan surah pertama yang diturunkan dengan lengkap. Ia dinamakan 'Ummul Quran” atau "Ummul Kitab" kerana ia merupakan induk atau ibu bagi semua isi Al-Quran, serta menjadi intisari dari kandungan Al-Quran, dan kerana itu diwajibkan membacanya setiap kali menunaikan solat. Oleh itu bacaan al-Fatihah mestilah baik (mengikut hukum tajwidnya) kerana apabila cacat bacaan al-Fatihah maka akan rosaklah solat dan jika ia disertai dengan penghayatan maksudnya maka itu adalah lebih baik kerana akan mendatangkan kekhusyukan yang lebih sewaktu mengerjakan solat.

Dua Waktu Yang Perlu Diawasi

Hadith :
Dari Jabir r.a , katanya: Rasul s.a.w bersabda: “anak kunci syurga ialah sembahyang….”

Riwayat Imam Ahmad

Huraian
1. Syurga adalah destinasi terakhir perjalanan hidup seseorang
2. Solat 5 waktu selain solat sunat adalah amal soleh yang melayakkan memasuki syurga selain mengucap 2 kalimah syahadah
3. Jadi, jagalah solat sebaik mungkin dan nasihatlah kepada keluarga agar tidak lalai daripada mengerjakannya walau sesibuk mana kerja kita di dunia ini.

Isnin, 24 Ogos 2009

keutamaan saf utama

Nabi s.a.w bersabda: "Sesungguhnya Allah memberi rahmat dan Malaikat-Nya pula mendoakan bagi orang-orang yang sembahyang pada saf yang pertama."

al-Bara' bin 'Aazib r.a

Huraian
Pengajaran Hadith: i) Umat Islam digesa agar bersegera mengerjakan solat termasuklah solat berjamaah.
ii) Allah S.W.T. menjanjikan bahawa sesiapa yang bersolat di saf yang pertama akan mendapat ganjaran yang lebih daripada orang yang berada di saf yang selainnya.

Jumaat, 21 Ogos 2009

Curian Syaitan

Hadith :
Dari Aisyah r.a katanya:” Aku bertanya kepada Rasulullah SAW perihal menoleh atau berpaling di dalam solat.” Jawab baginda:”Hal itu adalah suatu kecurian yang dilakukan oleh syaitan terhadap solat seseorang.”

(Bukhari)

Huraian
Tidak khusyuk dan banyak gerakan dalam solat seperti memandang ke langit (atas) atau menoleh ke kiri dan ke kanan ketika solat adalah mempamerkan sifat tidak berdisiplin seseorang itu ketika bersolat. Hal ini amat ditegah kerana Rasulullah SAW pernah memperkatakannya dalam sabda baginda yang bermaksud: Ertinya : "Apabila kamu solat, janganlah kamu menoleh (ke sana sini iaitu tidak memfokuskan pandangan), kerana Allah SWT mengarahkan wajah-Nya ke wajah hamba-Nya yang sedang bersolat selagi mana hamba-Nya tidak menoleh ke arah lain" (al-Bukhari dan Abu Daud ; fath al-Bari, 2/304 ) Juga sebuah hadith lain ada menyebut yang maksudnya: "Dan jauhilah orang yang menoleh dalam solat kerana sesungguhnya ia adalah suatu kebinasaan." (at-Tirmidzi) Justeru, difahami dari tegahan ini bahawa kita disuruh agar menumpukan hati dan minda kepada Allah SWT semasa solat dan tidak lalai atau dilalaikan oleh sesuatu yang lain kerana itu adalah satu helah syaitan (curian syaitan) untuk menyesatkan manusia daripada mengingati Allah SWT.

Khamis, 20 Ogos 2009

Situasi Berbeza; Rakaat Berbeza

Hadith :
Dari Ibnu Abbas r.a katanya:”Allah mewajibkan solat melalui lidah nabi s.a.w, empat rakaat ketika muqim (menetap), dua rakaat ketika musafir dan satu rakaat ketika takut.”

(Muslim)

Batasan Tegas Antara Iman Dan Kufur

Hadith :
Daripada Jabir r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “ Di antara hamba Allah dan di antara kufur ialah meninggalkan solat.”

(Muslim dan at-Tirmidzi)


Huraian
Ulama’ berbeza pendapat mengenai hukum mereka yang meninggalkan solat secara sengaja.
1) Golongan pertama berpendapat bahawa orang yang meninggalkan solat secara sengaja kerana malas atau lalai tanpa mengingkari akan kewajipannya, mereka tergolong dalam golongan yang fasik (melakukan dosa besar) tetapi tidak kafir. Manakala mereka yang meninggalkan solat secara sengaja dan menolak akan kewajipannya, maka mereka adalah kafir. Golongan ini juga berpendapat semua bentuk kesalahan di atas muka bumi ini masih boleh diampunkan oleh Allah kecuali dosa syirik.
2) Golongan kedua berpendapat mereka yang meninggalkan solat secara sengaja kerana malas atau lalai, sama ada mengakui kewajipan solat atau tidak, semua mereka ini termasuk dalam golongan kafir dan terkeluar daripada Islam. Mereka ini hendaklah bertaubat serta mengucapkan dua kalimah syahadah semula. Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW secara jelas menunjukkan bahawa ibadat solat adalah penentu keimanan seseorang. Meninggalkan solat dengan sengaja boleh menyebabkan pelaku gugur keimanannya.
3) Menurut Imam al-Syafie pula bahawa sesiapa yang meninggalkan solat sedangkan dia seorang Muslim, maka dia harus ditanya: “Mengapa kamu tidak bersolat? Jika dia menjawab: Saya terlupa. Maka katakanlah: Solatlah engkau ketika sudah ingat. Jika dia menjawab: Kerana saya sakit. Maka katakanlah kepadanya: Solatlah semampu mu; berdiri, duduk atau berbaring atau dengan isyarat. Apabila dia menjawab: Saya mampu untuk bersolat, tetapi saya tidak solat dan saya akui solat itu wajib hukumnya. Maka katakanlah kepadanya: Solat itu adalah amal yang tidak boleh diwakilkan kepada yang lain. Ia wajib dikerjakan oleh kamu oleh itu bertaubatlah. Jika tidak kami akan membunuh mu.(Manhaj Aqidah Imam Asy-Syafie karya Dr Muhammad A W al-Aqil).
Demikianlah seriusnya hukuman terhadap mereka yang meninggalkan solat secara sengaja.

Luruskan Saf!

Hadith :
Dari Anas r.a, dari nabi s.a.w sabdanya:”Luruskan saf! Aku dapat melihatmu di belakangku. Di antara kami ada yang bertemu bahu dengan bahu kawannya dan tumit dengan tumit.”

(al-Bukhari)

Template by:
Free Blog Templates