Rabu, 2 September 2009

Mensyukuri Rezeki Menambahkan Berkat

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:”Makanan untuk seorang mencukupi untuk dua orang dan makanan untuk dua orang mencukupi untuk empat orang dan makanan untuk empat orang mencukupi untuk lapan orang.”

Riwayat Bukhari dan Muslim


Huraian
i) Setiap Muslim hendaklah mempunyai sifat qanaah iaitu redha dan menerima apa yang ada tanpa banyak menuntut perkara yang bukan keperluannya.
ii) Lawan bagi sifat qanaah ialah tamak yang menjadikan seseorang itu sentiasa cemburu dan dengki dengan rezeki yang diperolehi oleh orang lain.
iii) Kekayaan yang sejati adalah kekayaan iman yang tercermin dari kesederhanaan hidupnya dan kesederhanaan itu tercermin dari sifatnya yang qanaah.
iv) Salah satu cara untuk menanamkan sifat qanaah kepada diri dan keluarga ialah dengan sentiasa mengucapkan "alhamdulillah" di atas setiap perbuatan atau perkara baik yang diterima.
v) Rezeki adalah ketentuan Allah S.W.T. Untuk menambah keberkatannya hendaklah membiasakan diri dengan sifat pemurah dan tidak bakhil untuk bersedekah kepada orang lain kerana hal ini akan memberikan ketenangan kepada diri malah akan lebih disayangi oleh masyarakat kerana sesungguhnya, harta yang kita miliki terdapat hak-hak orang lain di dalamnya yang wajib kita tunaikan.

Tiada Tertanding Dan Tidak Sebanding

Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a dari Nabi s.a.w, baginda bersabda:”Allah berfirman:”Aku telah menyediakan untuk hamba-Ku yang soleh, apa yang belum pernah mata melihat, belum pernh telinga mendengar dan belum pernah teringat (terlintas) dalam hati manusia.”

(Bukhari)


Huraian
Hidup adalah satu perjuangan yang ada pahit dan getirnya. Ini berpadananlah dengan balasan syurga yang teramat indah bagi mereka yang telah berjaya menghadapi segala ujian Allah itu. Ingatlah...Tiada permaidani merah untuk hamba-hamba Allah yang benar-benar beriman di mana dengan cabaran dan ujian getir yang diberikan itu akan menjadikan keimanan seseorang semakin bertambah kerana nilaian Allah amat tinggi buat hamba-NYA iaitu mereka yang sanggup berkorban nyawa, harta dan tenaga demi agama-NYA

Selasa, 1 September 2009

Al-quran; Ingat-ingat Lupa?

Hadith :
Daripada Abdullah bin Mas’ud r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “Sangat jeleklah seseorang yang berkata: “Aku telah lupa ayat begitu begini, bahkan ia dilupakan dan hendaklah kamu mengingati al-Quran (dengan selalu membacanya) kerana sesungguhnya dia sangat mudah terlepas daripada lelaki daripada haiwan ternakan (terlepas tali).”

(al-Bukhari dan Muslim)

Huraian
Jika kita perhatikan di sekeliling kita, sama ada diri kita sendiri, teman-teman atau sanak saudara, berapa peratuskah yang menghafal Al Quran? Membaca al-Quran sebenarnya adalah langkah awal berinteraksi dengan al-Quran. Bahkan tidak cukup sekadar dibaca tetapi juga mesti dihafal dan difahami isi kandungannya. Menghafal al-Quran menjadi makanan hati dan inilah yang diperlukan untuk memerangi bisikan syaitan yang sentiasa memujuk kita untuk melakukan maksiat dan kemungkaran. Tetapi itulah hakikatnya bahawa hanya segelintir sahaja orang yang menghafal dan memahami al-Quran. Maka bagaimana al-Quran dapat menjadi pedoman hidup seorang Muslim jika amalan membaca dan memahaminya belum lagi dilakukan? Justeru ramai di kalangan kaum Muslimin yang buta al-Quran. Semoga Allah memberikan taufik dan hidayah-Nya kepada kita semua sehingga kita menjadi orang-orang yang mencintai al-Quran, membacanya, menghafalnya, memahaminya dan mengamalkan isi kandungannya.

Mengapa Mesti Kembali Kepada Jahiliah?

Hadith :
Daripada ‘Amru bin al-‘Ash r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda kepadanya yang bermaksud : “ Tidakkah engkau ketahui bahawa Islam itu meruntuhkan apa yang ada sebelumnya, hijrah menghapuskan apa yang ada sebelumnya dan sesungguhnya haji itu menghapuskan apa yang ada sebelumnya?”

(Muslim)

Huraian
Pembaharuan yang dimaksudkan di sini bukan sahaja terbatas dalam bidang agama, tetapi mencakupi semua aliran pemikiran yang pernah diguna pakai oleh umat Muslimin untuk membangun dan memajukan ummah. Dalam era baru zaman kini umat Islam daripada semua lapisan dan peringkat umur wajib mengembalikan diri masing-masing kepada cara hidup yang menjanjikan kekuatan. Segala-galanya bertujuan menebus kembali maruah dan martabat diri. Kekuatan yang wajib dikembalikan ialah kekuatan iman yang akan melahirkan usaha dan amalan produktif, kemajuan dan pembangunan yang kukuh. Segala-galanya bertunjangkan kepada nilai akhlak tinggi berdasarkan al-Quran dan al-sunah yang didatangkan bukan untuk membawa keruntuhan tetapi meninggikan pencapaian akhlak dan pengertiannya. Malangnya masih wujud sebilangan besar masyarakat yang mengambil unsur negatif dari kehidupan zaman jahiliah yang bertentangan dengan agama dan kemanusiaan sebagai jalan pintas menjalani kehidupan yang diinginkannya. Inilah antara penyakit yang sedang menjalar dan menular pantas dalam nadi masyarakat Islam hari ini menyebabkan keruntuhan Islam. Oleh itu pembaharuan sikap dan pemikiran amat perlu bagi membolehkan umat Islam mencapai kemajuan serta kecemerlangan dalam membina kehidupan yang lebih baik seterusnya mendapat keredaan Allah SWT.

Kesabaran Dalam Mengerjakan Ibadat

Hadith :
Daripada Anas r.a daripada Rasulullah s.a.w sabdanya, tiga perkara yang mengiringi jenazah iaitu keluarganya, hartanya dan amalannya. Maka dua perkara akan kembali semula, yang tinggal hanyalah amalannya.


Riwayat al-Bukhari dan muslim

Huraian
1. Tiga perkara yang menjadi kepentingan utama di atas dunia ini bagi seseorang iaitu keluarganya, kekayaannya dan amal kebajikannya. Maka hendaklah setiap orang itu mendapatkan ketiga-tiga perkara itu sebaiknya.
2. Apabila seseorang itu mati, yang kekal ialah amalannya. Walau bagaimanapun jika keluarga yang ditinggalkan adalah keluarga bertakwa dan harta yang diperolehi adalah halal dan digunakan untuk keredaan Allah, juga akan bermanfaat kepada si mati

Empat kunci kebahagiaan

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:”:Empat perkara yang membawa kebahagiaan iaitu wanita yang solehah, rumah yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa.!”


Riwayat Ibnu Hibban

Huraian
i) Kehidupan yang selesa adalah suatu bentuk kehidupan yang dialu-alukan oleh Islam di mana kehidupan yang sempurna memerlukan empat elemen asas yang penting iaitu:
a) Wanita yang solehah- iaitu isteri yang baik yang dapat menguruskan keluarga dan rumahtangga dengan sempurna.
b) Rumah yang luas yang boleh memberikan keselesaan untuk bermesra dengan keluarga dan anak-anak di samping dapat melapangkan fikiran dengan baik dan tenang.
c) Jiran yang baik kerana jiran merupakan orang yang paling rapat selepas sanak saudara dan keluarga. Jiran yang baik dapat menjamin keharmonian hidup bermasyarakat sehinggakan ikatan kejiranan itu boleh bertukar seakan-akan sebuah kelurga yang kasih-mengasihi dan saling mengambil berat di antara satu sama lain.
d) Kenderaan yang selesa kerana ia memberikan kemudahan dalam segala urusan.
ii) Antara tabiat buruk yang mengancam kebahagiaan hidup ialah berfoya-foya dengan kehidupan mewah, boros harta dan membazir ketika berbelanja. Tabiat ini sering disebut dalam al-Quran sebagai punca kehancuran beberapa umat yang terdahulu.
iii) Kemewahan hidup berbeza antara satu zaman dengan zaman yang lain, mungkin mewah pada suatu ketika dahulu, tidak dianggap mewah pada hari ini, kerana perbezaan masa, suasana dan pendapatan menjadikan ukuran kemewahan turut berbeza.

TARGET RAMADHAN

Taqwa adalah tujuan dasar pensyariatan ibadah puasa. Bagaimanakah
caranya untuk kita mencapai taqwa?


♦ Solat Tarawih
Solat sunat ini adalah cukup istimewa kerana hanya dilaksanakan dalam bulan Ramadhan. Ianya boleh dilakukan
secara berjemaah atau berseorangan. Maka lengkapkanlah solat tarawih anda pada Ramadhan kali ini!

♦ Tilawatul-Quran
Perbanyakkan bacaan Al-Quran sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi dan para sahabat baginda. Al-Quran
diturunkan dalam bulan Ramadhan sebagai petunjuk. Ketika seorang beriman membaca Al_Quran, dia akan
benar-benar menghayati dan memahami ayat-ayat yang dibacanya hingga tenggelam dalam pengaruh Al-Quran
yang menggetarkan hati. Bagaimana kita?

♦ Qiyamullail
Bangun malam untuk beribadah adalh kebiasaan Nabi dan para sahabat baginda. Sabda Rasulullah saw:
“Barangsiapa mendirikan solat malam bersama imamnya sampai selesai, maka ia tergolong dalam golongan
yang melaksanakan qiamullail sepanjang malam.” (HR Ahl Al-Sunan).

♦ Bersedekah
Nabi saw bersabda: “Barangsiapa memberikan hidangan berbuka kepada orang yang berpuasa maka baginya
pahala seperti pahala orang tersebut, tanpa dikurangi sedikitpun pahalanya.” (HR Ahmad&An-Nasai). Bolehlah
dapat dua kali ganda!
♦ Iktikaf di Masjid Sehingga Terbit Matahari
Nabi bersabda: “Barangsiapa solat fajar dengan berjemaah lalu duduk berzikir (mengingati Allah) sampai terbit
matahai, kemudian solat dua rakaat, maka baginya pahala seperti (pahala) haji dan umrah yang sempurna,
sempurna, sempurna.” (HR At-Tirmidzi)

♦ Memperbanyakkan Zikir, Doa dan Istighfar
Perbanyakkan zikir, doa dan istighfar, lebih-lebih lai di waktu-waktu mustajab. Antaranya ketika berbuka di
maan doa orang yang berbuka tidak akan ditolak, sepertiga malam yang terakhir, waktu sahur dan pada hari
Jumaat.

♦ Melakukan Amalan-amalan Sunat ketika Berpuasa
Antara amalan-amalan sunat ketika berpuasa adalah melewatkan sahur dan segera berbuka apabila telah
masuk waktu maghrib (terbenam matahari).

♦ Meninggalkan Perbuatan dan Perkataan yang Sia-Sia
Perbuatan dan perkataan yang sia-sia tidak akan mendatangkan manfaat malah mungkin boleh mendatangkan
dosa dan mengurangi pahala puasa. Apatah lagi jika melanggar perintah Allah seperti meninggalkan solat dan
mengumpat!

Solat Sunat Tarawih

Solat Sunat Tarawih adalah satu jenis solat sunat yang dikerjakan semasa Bulan Ramadan.
Latar Belakang
Tarawih menurut asal katanya ialah duduk untuk istirahat setelah mengerjakan sembahyang empat rakaat. Setiap empat rakaat dinamakan tarawih adalah sebagai majaz, kerana adabnya istirahat sesudahnya. Erti Tarawih ialah duduk bersenang-senang atau beristirahat. Solat Tarawih bererti solat dengan rasa senang dan kelapangan hati selepas solat fardhu Isya'. Biasanya jemaah duduk berehat setelah mengerjakan empat rakaat solat Tarawih dan membaca zikir ataupun doa sebelum disambung semula dengan empat rakaat lagi, sehingga ckup 8 ataupun dua puluh rakaat.
Tarawih itu disebut juga dengan Qiyamu Ramadan. Sembahyang Tarawih dikerjakan setelah mengerjakan sembahyang Isyak dan waktunya berpanjangan sehingga akhir malam.
Dalil
Rasulullah S.A.W. sangat menggalakkan sembahyang Tarawih. Abu Hurairah berkata; “Rasulullah S.A.W. sangat menggalakkan sembahyang tarawih sekali pun beliau tidak mewajibkannya.” Beliau bersabda: “Sesiapa yang mengerjakan Qiyamu Ramadan semata-mata kerana iman dan mengharap ganjaran dari Allah, maka diampuni dosa-dosanya yang lampau.” Qiyamu Ramadan ialah menghidupkan malamnya dengan mengerjakan sembahyang.
Aisyah r.a. berkata; “Rasulullah s.a.w mengerjakan sembahyang tarawih di masjid, kemudian ramai sahabat-sahabat yang mengikutnya. Pada malam berikutnya baginda S.A.W. mengerjakannya lagi di masjid, sahabat-sahabat yang datang pun semakin ramai. Pada malam ketiga sahabat-sahabat berkumpul di masjd menunggu kedatangan Rasulullah S.A.W. tetapi beliau tidak hadir. Besok paginya Rasulullah berkata kepada mereka; “Sesungguhnya aku melihat sambutan kamu. Sebenarnya aku tidak datang pada malam itu hanya kerana takut sembahyang itu diwajibkan ke atas kamu.” Dan peristiwa itu terjadi pada bulan Ramadan.
Hukum
Hukum mengerjakan sembahyang tarawih adalah sunat muakkad (sunat yang sangat dituntut) bagi dikerjakan oleh orang-orang Islam lelaki dan perempuan pada tiap-tiap malam bulan Ramadan sama ada secara berseorangan atau berjemaah. Sembahyang tarawikh lebih afdal dikerjakan secara berjemaah di masjid, sebagaimana yang telah dilakukan oleh Rasulullah S.A.W.
Menurut Imam Al Ghazali dalam buku Rahsia-Rahsia Solat, walaupun solat terawih boleh dilaksanakan secara sendirian tanpa berjemaah, solat terawih yang dilakukan secara berjemaah lebih afdal, sama seperti pendapat Umar r.a. yang mengingatkan bahawa sebahagian solat nawafil telah disyariat dalam solat berjemaah. Solat terawih termasuk solat Tahajjud atau shalatul lail dengan membaca al-Fatihah pada setiap rakaat dan membaca ayat-ayat atau surah daripada al-Quran.



Cara Solat Tarawih
Waktu sembahyang Tarawih ini ialah selepas menunaikan sembahyang Fardhu Isyak sehinggalah ke larut malam. Sembahyang Terawih ditunaikan dengan kumpulan dua rakaat, pada tiap-tiap satu kali takbiratul-ihram kemudiannya dilakukan lagi sehingga genap rakaat yang dikehendaki. Rukun sembahyang sunat Tarawih ini sama sahaja dengan rukun sembahyang yang lain.
Solat sunat Tarawih tidak perlu dibuat sebaik sahaja selesai menunaikan solat Isyak. Sebaliknya, pengamal boleh melewatkan menunaikan solat sunat Tarawih mengikut pilihan, kerana solat sunat tarawih boleh dibuat sehingga sebelum solat Subuh. Biasanya di Malaysia, solat Tarawih dimulakan selepas jemaah selesai menunaikan solat sunat dua rakaat selepas solat Isyak. Sembahyang Tarawih dilakukan dengan Imam menyaringkan bacaan seperti mana bacaan semasa solat Subuh.
Lafaz Niat Sembahyang Tarawih:

Bermaksud: Sahaja aku sembahyang Tarawih dua rakaat makmum kerana Allah Taala.
Walaupun demikian, ada beberapa cara dalam mengerjakan solat Tarawih, salah satunya dengan formasi 2 kali 4 rakaat masing masing dengan sekali salam setiap selesai 4 rakaat. Oleh kerana itu, dalam niat solat Tarawih, niatnya disesuaikan menjadi "arbaa raka'ataini".
Bilangan Rakaat
Umat islam menunaikan sembahyang tarawih di bulan Ramadan
Pada zaman Rasulullah S.A.W., sembahyang Tarawih dikerjakan sebanyak 8 rakaat saja supaya tidak menimbulkan sesuatu keberatan. Rasulullah S.A.W. juga tidak memberatkan solat ini ditunaikan di masjid kerana tidak mahukan sahabat berfikiran solat ini solat yang wajib. Pada zaman Khalifah Umar bin Al-Khattab pula beliau menambah lagi menjadikan 20 rakaat kerana beliau berpendapat bahawa orang-orang Islam pada zamannya itu tidak keberatan lagi menunaikan sembahyang sebanyak itu.
Sembahyang ini juga dibuatkan sebanyak 20 rakaat dan ditambah 3 rakaat sembahyang witir. Pada umumnya masyarakat Islam di Malaysia mendirikan sembahyang Tarawih sebanyak 20 rakaat dengan ditambah dengan 3 rakaat sembahyang witir.
Sembahyang tarawikh boleh dibuat sebanyak lapan rakaat, sesuai dengan keterangan Aisyah r.a. : “Rasulullah S.A.W. tidak pernah mengerjakan sembahyang sunat, bulan Ramadan atau bulan lainnya, lebih dari empat rakaat, kemudian beliau kerjakan lagi empat rakaat (Jangan tanya tentang baik dan panjangnya), kemudian beliau tambah lagi tiga rakaat yakni witir.” Riwayat Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim; “Rasulullah mengerjakannya sebelas rakaat, temasuk di dalamnya sembahyang witir.”
Di Masjidil Haram di Makkah, sembahyang terawih dilakukan dengan diikuti oleh jemaah yang besar. Kebiasaannya imam membaca satu juzuk al-Quran pada setiap kali tarawih dan menamatkan seluruh al-Quran (30 juzuk) pada malam ke-29 Ramadan.

Kelebihan Sembahyang Tarawih
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Saya telah mendengar sabda Rasulullah s.a.w. mengenai Ramadan: Sesiapa yang mendirikan sembahyang (Tarawih) dalam bulan itu dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredaan Allah, akan diampunkan segala dosa yang dilakukannya sebelum itu.

Lelaki Acuan AL-Quran

Lelaki Acuan Al-Quran Ialah Seorang Lelaki Yang Beriman
Yang Hatinya Disaluti Rasa Taqwa Kepada Allah SWT
Yang Sentiasa Haus Dengan Ilmu
Yang Sentiasa Dahaga Dengan Pahala
Yang Solatnya Adalah Maruah Dirinya
Yang Tidak Pernah Takut Berkata Benar
Yang Tidak Pernah Gentar Untuk Melawan Nafsu

Lelaki Acuan Al-Quran Ialah Lelaki Yang Menjaga Tuturkatanya
Yang Tidak Bermegah Dengan Ilmu Yang Dimilikinya
Yang Tidak Bermegah Dengan Harta Dunia Yang Dicarinya
Yang Sentiasa Berbuat Kebaikan Kerana Sifatnya Yang Pelindung
Yang Mempunyai Ramai Kawan Dan Tidak Mempunyai Musuh Yang
Bersifat Jembalang

Lelaki Acuan Al-Quran Ialah Lelaki Yang Menghormati Ibubapanya
Yang Sentiasa Berbakti Kepada Kedua Orang Tua Dan Keluarga
Yang Bakal Menjaga Keharmonian Rumahtangga
Yang Akan Mendidik Anak-Anak Dan Isteri Mendalami Agama Islam
Yang Mengamalkan Hidup Penuh Kesederhanaan
Kerana Dunia Baginya Adalah Rumah Sementara Menunggu Akhirat

Lelaki Acuan Al-Quran Sentiasa Bersedia Untuk Agamanya
Yang Hidup Di Bawah Naungan Al-Quran Dan Mencontohi Sifat Rasulullah
SAW
Yang Boleh Diajak Berbincang Dan berbicara
Yang Sujudnya Penuh Kesyukuran Dengan Rahmat Allah Ke Atasnya

Lelaki Acuan Al-Quran Tidak Pernah Membazirkan Masa
Matanya Kepenatan Kerana Kuat Membaca
Yang Suaranya Lesu Kerana Penat Mengaji Dan Berzikir
Yang Tidurnya Lena Dengan Cahaya Keimanan
Bangun Subuhnya Penuh Dengan Kecerdasan
Kerana Sehari Lagi Usianya Bertambah Penuh Kematangan

Lelaki Acuan Al-Quran Sentiasa Mengingati Mati
Yang baginya Hidup Di Dunia Adalah Ladang Akhirat
Yang Mana Buah Kehidupan Itu Perlu Dibajai Dan Dijaga
Meneruskan Perjuangan Islam Sebelum Hari Kemudian

Lelaki Acuan Al-Quran Ialah Lelaki Yang Tidak Mudah Terpesona
Dengan Buaian Dunia
Kerana Dia Mengimpikan Syurga
Di Situlah Rumah Impiannya
Bersama Wanita Acuan Al-Quran.

Tingkatan Puasa

Imam Abu Hamid al-Ghazali dalam bukunya Ihya al-'Ulumuddin telah membahagikan puasa itu kepada 3 tingkatan:

1. Puasanya orang awam (shaum al-'umum): menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti makan dan minum.

2. Puasanya orang khusus (shaum al-khusus): turut berpuasa dari panca indera dan seluruh badan dari segala bentuk dosa.

3. Puasanya orang istimewa, super khusus (shaum al-khawasi al-khawas): turut berpuasa 'hati nurani', iaitu tidak memikirkan sangat soal keduniaan

Template by:
Free Blog Templates