Sabtu, 2 Januari 2010

Sedekah Tidak Mengurangkan Harta

Hadith :
Daripada Abu Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “ Sedekah tidak mengurangkan harta. Allah tidak melebihkan seseorang hamba dengan kemaafan-Nya melainkan kemuliaan dan tidak merendahkan diri seseorang melainkan Allah mengangkatnya.”

(Muslim, ad-Darimi dan Ahmad)

Huraian
Dalam amalan bersedekah, kita perlu melakukannya dengan ikhlas kerana Allah, bukan disebabkan balasan nama atau sekadar bersedekah saja. Agar sedekah tidak menjadi sia-sia, Islam mengajarkan umatnya menyumbang dan bersedekah menepati erti ‘sedekah’ iaitu :
1. Sedekahlah dengan barang yang disenangi penerima. Allah melarang bersedekah dengan benda yang tidak baik kerana bersedekah adalah ibadat dan tanda mensyukuri nikmat Allah. Firman Allah yang maksudnya : “Wahai orang yang beriman! Belanjakanlah pada jalan Allah sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik dan sebahagian daripada apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat, padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu kalau diberikan kepada kamu, kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa terpuji.” (al-Baqarah: 267)
2. Sesuatu yang disedekahkan ialah yang halal, bukan haram atau subahat.
3. Sunat bagi pemberi sedekah atau penderma bersedekah dan menderma daripada benda yang disukai dan disayangi, tidak kira sama sedikit atau banyak sebagaimana firman Allah SWT yang maksudnya: “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai hakikat kebajikan dan kebaktian yang sempurna sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi. Dan apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya.” (Ali-Imran:92)
4. Bersedekah dengan disertai keikhlasan, bukan mengungkit, merungut, membidas dan menyakiti hati orang yang menerima sedekah kerana perbuatan ini haram dan merosakkan amalan bersedekah.
5. Sedekah yang diberikan secara sembunyi lebih afdhal, ibarat tangan kanan yang memberi, tangan kiri tidak mengetahuinya.

Seawal-awal Perhitungan Antara Manusia

Hadith :
Daripada Ibnu Mas’ud r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “ Yang mula-mula diputuskan di antara manusia pada hari kiamat ialah pada darah.”

(al-Bukhari, Muslim dan an-Nasa’ie)

Huraian
Apa yang dimaksudkan di dalam hadis di atas bukanlah pembunuhan terhadap kaum musyrikin atau orang-orang kafir kerana hak tetapi peperangan yang berlaku di antara kaum Muslimin sendiri yang tidak diketahui secara jelas sebab-sebabnya serta dapat dibenarkan. Disebabkan itu banyak yang terkorban dan fitnah pun menjalar sehingga seseorang itu tidak tahu apa yang sebenarnya mendorong dirinya untuk membunuh orang lain seolah-olah nyawa manusia tidak ada nilainya lagi. Mengikut hukum syarak kematian yang berlaku kerana pembunuhan yang disengajakan, pembunuhnya itu akan dikenakan hukuman qisas kerana ia adalah perbuatan zalim dan terkutuk.

Islam Melarang Umatnya Memohon Untuk Mati

Hadith :
Rasulullah saw. Bersabda bermaksud: “Janganlah ada diantara kamu yang bercita-cita hendak mati. Sekiranya ia seorang yang baik mudah mudahan ia dapat menambahkan lagi kebaikan, dan sekiranya ia seorang yang jahat mudah mudahan ia dapat bertaubat kepada Allah”

Riwayat Hadith Al-Bukhari dan Muslim

Huraian
1. Haram hukumnya bagi seseorang muslim bercita cita dan berdoa untuk mati apabila hidup didalam kesengsaraan dan menderita.
2. Setiap mukmin yang panjang umurnya mempunyai banyak peluang untuk ia beramal ibadat kepada Allah sebagai bekalan di akhirat nanti.
3. Islam tidak membenarkan umatnya bercita cita untuk mati, tetapi menggalakkan umatnya supaya bercita cita untuk menambahkan ilmu pengetahuan demi kemajuan ummah.

Khamis, 31 Disember 2009

Perempuan

Hadith :
Daripada Aisyah r.a, dari Nabi S.A.W baginda telah bersabda yang maksudnya:”Sesiapa yang diberati menanggung sesuatu urusan menjaga dan memelihara anak-anak perempuan, lalu ia menjaga dan memeliharanya dengan baik, nescaya mereka menjadi pelindung baginya daripada api neraka."

(Bukhari, Muslim dan Tirmidzi)

Huraian
1. Perempuan atau wanita adalah makhluk Allah yang amat istimewa. Kemuliaan dan keruntuhan sesuatu bangsa terletak di tangan mereka.
2. Kedua ibu bapa wajib memberi perhatian terhadap anak-anak perempuan lantaran anak-anak perempuan merupakan aset penting yang menentukan sama ada ibu bapa mereka layak memasuki syurga atau terhumban ke dalam neraka disebabkan oleh mereka.
3. Rasulullah SAW pernah bersabda dalam hadis baginda yang bermaksud: "Takutlah kamu kepada Allah SWT dalam perkara-perkara yang berhubung dengan kaum wanita." Ini bermaksud bahawa setiap ibu bapa dan yang bergelar suami hendaklah sentiasa mengawasi anak-anak perempuan dan isteri mereka agar sentiasa berpegang teguh dengan agama dan mematuhi perintah Allah SWT.
4. Kata orang ‘menjaga lembu sekandang adalah lebih mudah daripada menjaga anak perempuan seorang’. Kemungkinan ini ada benarnya apakala kita melihat ramai ibu bapa yang menjaga anak-anak mereka dengan hanya memberi tempat tinggal, makan dan minum semata-mata seperti menjaga dan memelihara binatang ternakan yang hanya bertujuan menggemukkan sahaja. Sedangkan pendidikan agama tidak diberi penekanan yang sepatutnya. Contohnya dalam perkara aurat dan pergaulan hingga akhirnya ramai perempuan atau wanita yang menjadi bahan fitnah dan terdedah dengan berbagai keburukan yang mencemarkan nama baik keluarga dan agama.
5. Sesungguhnya anak-anak yang diajar dengan didikan agama yang baik akan memberi faedah kepada ibubapanya semasa hidup dan selepas mati bahkan secara logiknya tiada ibubapa yang inginkan anak-anak mereka menjadi beban dan membawa kecelakaan kepada mereka di dunia apalagi di akhirat kelak.

Ucapan Yang Baik Dibalas Dengan Yang Lebih Baik

Hadith :
Daripada Ummu Salamah r.a. katanya, aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, “Apabila seseorang itu ditimpa bencana, maka hendaklah ia mengucapkan: (Sesungguhnya kita datang dari Allah dan kepadanya kita kembali, Ya Allah berikanlah ganjaran kerana musibah ini, berikanlah aku pengganti yang lebih baik daripadanya) nescaya Allah SWT memberi ganjaran kepadanya kerana bencana tersebut dan menggantikan kepadanya yang lebih baik daripadanya, Ummu Salamah berkata lagi: “Semasa Abu Salamah meninggal dunia aku mengucapkan sepertimana yang diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w. kepadaku, lalu Allah Taala menggantikan kepadanya (Ummu Salamah) seorang yang lebih baik daripada Abu Salamah (menjadi suaminya) iaitu Rasulullah s.a.w.”

(Muslim)

Huraian
Seseorang itu hendaklah redha dan menerima hakikat bahawa setiap yang hidup itu akan mati. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. menganjurkan kita agar mengamalkan doa apabila ditimpa ujian berbentuk kematian dan sebagainya di mana doa itu hendaklah dibaca dengan penuh yakin supaya hati kembali menjadi tenang dan lapang. Kemungkinan dengan kesabaran itu, Allah SWT akan memberikan sesuatu ganjaran atau balasan yang lebih baik kerana segalanya adalah bergantung pada ketentuan dan kehendak Allah SWT.

Kewajipan pemimpin

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: ”Sesiapa yang diserahkan oleh Allah akan sesuatu urusan dari beberapa urusan pemerintahan kau muslimin, lalu ia tidak mempedulikan tentang keperluan mereka, kesusahan dan penderitaan mereka nescaya Allah tidak akan mempedulikan tentang keperluan, kesusahan dan penderitaannya di hari kiamat nanti.”

Riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi

Huraian
1. Pemimpin yang tidak melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepadanya ke atas rakyat adalah pemimpin yang tidak bertanggungjawab.
2. Kepimpinan yang baik adalah kepimpinan yang berjaya menarik hati rakyat dan rakyat pula sayang terhadapnya.
3. Sesesorang pemimpin hendakah bijak dalam membuat sesuatu tindakan dan bersikap adil, telus dan mengutamakan kebajikan rakyatnya. Ia tidak harus bersikap sombong dan mementingkan diri hingga kedapatan rakyat yang hidup menderita dan teraniaya tanpa mendapat pembelaan yang sepatutnya.

Enggan Masuk Syurga?

Hadith :
Al-Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “ Semua umat ku akan masuk syurga kecuali orang yang enggan. Baginda ditanya: “ Siapakah yang enggan?” Baginda bersabda : “ Sesiapa yang taat kepada ku ia masuk syurga dan sesiapa yang derhaka kepada ku ia masuk neraka.”

(al-Bukhari)

Huraian
Pada hakikatnya tiada seorang pun yang waras fikirannya enggan memasuki syurga, malah yang bermati-matian mengejar dunia ini sekali pun, tidak lain ialah kerana menganggap dunia ini adalah syurga yang terlalu indah padahal syurga yang sebenar adalah syurga akhirat yang kekal abadi. Enggan memasuki syurga bererti seseorang itu memilih untuk memasuki neraka. Kesimpulan daripada hadis di atas ialah bahawa orang yang bakal memasuki syurga adalah orang yang taat kepada Rasulullah SAW sedangkan pengertian orang yang tidak mahu memasuki syurga adalah mereka yang derhaka kepada baginda SAW.

Menyebarkan Ilmu

Hadith :
Daripada Mu’awiyah al-Qusyairi katanya, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “ Ketahuilah orang yang hadir hendaklah menyampaikan kepada orang yang tidak hadir.”

(al-Bukhari Muslim dan Ibnu Majah,)

Huraian
Jika kita menyampaikan ilmu, ia merupakan sedekah dan ia akan semakin bertambah banyak jika dikembangkan dan begitulah sebaliknya jika hanya disimpan menjadikan ilmu semakin berkurang. Justeru janganlah kita meninggalkan kewajipan menyampaikan ilmu kerana ia akan memberi peluang kepada orang-orang fasiq dan jahil menyesatkan manusia lainnya. Hanya orang yang menyuruh kepada kebaikan dan mencegah dari kemungkaran yang mengetahui mana yang baik dan mana yang buruk lalu dia menjalankan kewajipan atas apa yang diketahuinya itu.

Tragedi Pembunuhan Pertama

Hadith :
Diriwayatkan daripada Ibnu Mas’ud r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “ Tidak dibunuh satu jiwa secara zalim melainkan ada bahagian darahnya bagi anak Adam yang pertama (Qabil) kerana dialah orang yang mula-mula mengasaskan pembunuhan.”

(al-Bukhari, Muslim, Ibnu Majah & at-Tirmidzi))

Huraian
Adam dan Hawa serta anak-anak mereka, Qabil dan Habil, Iqlima dan Labuda adalah permulaan sejarah kehidupan manusia di muka bumi. Pembunuhan Qabil ke atas Habil merupakan tragedi pembunuhan pertama manusia ke atas saudaranya sendiri bila mana
Habil mati dibunuh kerana hasad dengki Qabil lantaran Habil akan dinikahkan dengan Iqlima, saudara kembar Qabil yang cantik dan amat dicintai oleh Qabil. Sesungguhnya punca peristiwa pembunuhan itu berlaku adalah berpunca daripada sifat marah yang kesannya akan berlanjutan sampai kiamat kerana hasil daripada kemarahan itu akan membuahkan sifat munafik, fasik, dan perbuatan jahat lainnya sebagaimana kemarahan Iblis yang memuncak setelah ia mendapat murka Allah sehingga Iblis bersumpah akan menyesatkan Adam a.s dan anak cucunya sampai hari kiamat.

Peraturan Solat Berjamaah

Hadith :
Dari Anas bin Malik katanya:”Aku dan seorang anak yatim solat bersama-sama di rumah kami, di belakang nabi s.a.w. Sedangkan ibuku, ummu Sulaim di belakang kami.”

(al-Bukhari)

Huraian
Rasulullah s.a.w adalah seorang model dan ikutan sebenar yang telah memberi panduan kepada seluruh umat manusia dalam seluruh aspek kehidupan termasuklah aspek peribadatan. Melalui amalan solat berjamaah contohnya, setiap muslim wajib mematuhi beberapa disiplin yang tertentu yang terkandung dalam solat seperti imam adalah dianggap sebagai ketua solat yang memimpin, sementara makmum akan mengikut segala pergerakan imam. Kedudukan imam dan makmum juga jelas ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w iaitu dari segi aturan saf dan pembahagian antara kedudukan lelaki dan wanita. Ini merupakan perkara yang telah disepakatkan oleh syarak wajib diikuti dan tidak ada sesiapapun yang boleh melanggarnya atau menagadakan peraturan baru sebagaimana yang dilakukan oleh Amina Wadud yang telah menimbulkan kontroversi umat Islam sedunia baru-baru ini.

Template by:
Free Blog Templates