Selasa, 18 Ogos 2009

Kisah Pendeta Yang Insaf

Ibrahim al-Khawas ialah seorang wali Allah yang terkenal keramat dan dimakbulkan segala doanya oleh Tuhan. Beliau pernah menceritakan suatu peristiwa yang pernah dialaminya. Katanya, “Menurut kebiasaanku, aku keluar menziarahi Mekah tanpa kendaraan dan kafilah. Pada suatu kali, tiba-tiba aku tersesat jalan dan kemudian aku berhadapan dengan seorang rahib Nasrani (Pendeta Kristian).”
Bila dia melihat aku dia pun berkata, “Wahai rahib Muslim, bolehkah aku bersahabat denganmu?”
Ibrahim segera menjawab, “Ya, tidaklah aku akan menghalangi kehendakmu itu.”
Maka berjalanlah Ibrahim bersama dengannya selama tiga hari tanpa meminta makanan sehinggalah rahib itu menyatakan rasa laparnya kepadaku, katanya, “Tiadalah ingin aku memberitakan kepadamu bahawa aku telah menderita kelaparan. Kerana itu berilah aku sesuatu makanan yang ada padamu.”

Mendengar permintaan rahib itu, lantas Ibrahim pun bermohon kepada Allah dengan berkata, “Wahai Tuhanku, Pemimpinku, Pemerintahku, janganlah engkau memalukan aku di hadapan seteru engkau ini.”

Belum pun habis Ibrahim berdoa, tiba-tiba turunlah setalam hidangan dari langit berisi dua keping roti, air minuman, daging masak dan tamar. Maka mereka pun makan dan minum bersama dengan senang sekali.

“Sesudah itu aku pun meneruskan perjalananku. Sesudah tiga hari tiada makanan dan minuman, maka di kala pagi, aku pun berkata kepada rahib itu, “Hai rahib Nasrani, berikanlah ke mari sesuatu makanan yang ada kamu. Rahib itu menghadap kepada Allah, tiba-tiba turun setalam hidangan dari langit seperti yang diturunkan kepadaku dulu.”
Sambung Ibrahim lagi, “Tatkala aku melihat yang demikian, maka aku pun berkata kepada rahib itu – Demi kemuliaan dan ketinggian Allah, tiadalah aku makan sehingga engkau memberitahukan (hal ini) kepadaku.”

Jawab rahib itu, “Hai Ibrahim, tatkala aku bersahabat denganmu, maka jatuhlah telekan makrifah (pengenalan) engkau kepadaku, lalu aku memeluk agama engkau. Sesungguhnya aku telah membuang-buang masa di dalam kesesatan dan sekarang aku telah mendekati Allah dan berpegang kepada-Nya. Dengan kemuliaan engkau, tiadalah dia memalukan aku. Maka terjadilah kejadian yang engkau lihat sekarang ini. Aku telah mengucapkan seperti ucapanmu (kalimah syahadah).”

“Maka sucitalah aku setelah mendengar jawapan rahib itu. Kemudian aku pun meneruskan perjalanan sehingga sampai ke Mekah yang mulia. Setelah kami mengerjakan haji, maka kami tinggal dua tiga hari lagi di tanah suci itu. Suatu ketika, rahib itu tiada kelihatan olehku, lalu aku mencarinya di masjidil haram, tiba-tiba aku mendapati dia sedang bersembahyang di sisi Ka’bah.”

Kisah Si Pemalas Dengan Abu Hanifah

Suatu hari ketika Imam Abu Hanifah sedang berjalan-jalan melalui sebuah rumah yang tingkapnya masih terbuka, terdengar oleh beliau suara orang yang mengeluh dan menangis tersedu-sedu. Keluhannya mengandungi kata-kata, “Aduhai, alangkah malangnya nasibku ini, agaknya tiada seorang pun yang lebih malang dari nasibku yang celaka ini. Sejak dari pagi lagi belum datang sesuap nasi atau makanan pun di kerongkongku sehingga seluruh badanku menjadi lemah lunglai. Oh, manakah hati yang belas kasihan yang sudi memberi curahan air walaupun setitik.”

Mendengar keluhan itu, Abu Hanifah berasa kasihan lalu beliau pun balik ke rumahnya dan mengambil bungkusan hendak diberikan kepada orang itu. Setelah dia sampai ke rumah orang itu, dia terus melemparkan bungkusan yang berisi wang kepada si malang tadi lalu meneruskan perjalanannya. Dalam pada itu, si malang berasa terkejut setelah mendapati sebuah bungkusan yang tidak diketahui dari mana datangnya, lantas beliau tergesa-gesa membukanya. Setelah dibuka, nyatalah bungkusan itu berisi wang dan secarik kertas yang bertulis, ” Hai manusia, sungguh tidak wajar kamu mengeluh sedemikian itu, kamu tidak pernah atau perlu mengeluh diperuntungkan nasibmu. Ingatlah kepada kemurahan Allah dan cubalah bermohon kepada-Nya dengan bersungguh-sungguh. Jangan suka berputus asa, hai kawan, tetapi berusahalah terus.”

Pada keesokan harinya, Imam Abu Hanifah melalui lagi rumah itu dan suara keluhan itu kedengaran lagi, “Ya Allah Tuhan Yang Maha Belas Kasihan dan Pemurah, sudilah kiranya memberikan bungkusan lain seperti kemarin,sekadar untuk menyenangkan hidupku yang melarat ini. Sungguh jika Tuhan tidak memberi, akan lebih sengsaralah hidupku”
Mendengar keluhan itu lagi, maka Abu Hanifah pun lalu melemparkan lagi bungkusan berisi wang dan secarik kertas dari luar tingkap itu, lalu dia pun meneruskan perjalanannya. Orang itu terlalu riang mendapat bungkusan itu. Lantas terus membukanya.

Seperti dahulu juga, di dalam bungkusan itu tetap ada secarik kertas lalu dibacanya, “Hai kawan, bukan begitu cara bermohon, bukan demikian cara berikhtiar dan berusaha. Perbuatan demikian ‘malas’ namanya. Putus asa kepada kebenaran dan kekuasaan Allah. Sungguh tidak ridha Tuhan melihat orang pemalas dan putus asa, enggan bekerja untuk keselamatan dirinya. Jangan….jangan berbuat demikian. Hendak senang mesti suka pada bekerja dan berusaha kerana kesenangan itu tidak mungkin datang sendiri tanpa dicari atau diusahakan. Orang hidup tidak perlu atau disuruh duduk diam tetapi harus bekerja dan berusaha. Allah tidak akan perkenankan permohonan orang yang malas bekerja. Allah tidak akan mengkabulkan doa orang yang berputus asa. Sebab itu, carilah pekerjaan yang halal untuk kesenangan dirimu. Berikhtiarlah sedapat mungkin dengan pertolongan Allah. Insya Allah, akan dapat juga pekerjaan itu selama kamu tidak berputus asa. Nah…carilah segera pekerjaan, saya doakan lekas berubah.”

Setelah dia selesai membaca surat itu, dia termenung, dia insaf dan sedar akan kemalasannya yang selama ini dia tidak suka berikhtiar dan berusaha.
Pada keesokan harinya, dia pun keluar dari rumahnya untuk mencari pekerjaan. Sejak dari hari itu, sikapnya pun berubah mengikut peraturan-peraturan hidup (Sunnah Tuhan) dan tidak lagi melupai nasihat orang yang memberikan nasihat itu.
Dalam Islam tiada istilah pengangguran, istilah ini hanya digunakan oleh orang yang berakal sempit. Islam mengajar kita untuk maju ke hadapan dan bukan mengajar kita berdiri di tepi jalan.

Wanita Yang Masuk Neraka Kerana Seekor Kucing

Hati yang keras dan tabiat yang buruk boleh menjerumuskan pemiliknya ke dalam Neraka. Hal itu kerana ia kosong dari kasih sayang yang membuatnya tidak peduli terhadap apa yang dia lakukan kepada orang lain, maka ia membunuh, memukul dan membuat kerosakan

Dengan itu, mereka mencelakakan diri mereka disebabkan oleh apa yang mereka lakukan kepada orang lain. Di antara mereka ada seorang wanita yang diceritakan oleh Rasulullah S.a.w. Dia mengurung seekor kucing sampai ia mati kelaparan dan kehausan. Kerana perbuatan itu dia pun masuk Neraka.
NASH HADIS

Bukhari meriwayatkan dari Ibnu Umar dari Nabi S.a.w bersabda, yang ertinya: “Seorang wanita masuk Neraka kerana seekor kucing yang diikatnya. Dia tidak memberinya makan dan tidak membiarkannya makan serangga bumi.”

Dalam riwayat Bukhari, “Seorang wanita disiksa kerana seekor kucing yang dia kurung sampai mati. Dia masuk Neraka kerananya. Dia tidak memberinya makan dan minum sewaktu. Mengurungnya. Dia tidak pula membiarkannya dia makan serangga bumi.”
Rasulullah S.a.w telah melihat wanita yang mengikat kucing ini berada di Neraka manakala beliau melihat Syurga dan Neraka pada solat gerhana. Dalam Sahih Bukhari dari Asma binti Abu Bakar bahwa Rasulullah S.a.w bersabda, yang ertinya: “Lalu Neraka mendekat kepadaku sehingga aku berkata, ‘Ya Rabbi, aku bersama mereka?’ Aku melihat seorang wanita. Aku menyangka wanita itu diserang oleh seekor kucing. Aku bertanya, ‘Bagaimana ceritanya?’ Mereka berkata, ‘Dia menahannya sampai mati kelaparan. Dia tidak memberinya makan dan tidak pula membiarkannya mencari makan.” Nafi’ berkata, “Menurutku dia berkata, ‘Mencari makan dari serangga bumi.”
Muslim meriwayatkan dari Jabir hadis Rasulullah S.a.w yang melihat seorang wanita yang mengikat kucing berada di Neraka. Di dalamnya terdapat keterangan bahwa wanita itu berasal dari Bani Israil. Dalam riwayat lain disebutkan bahwa wanita itu berasal dari Himyar.

TAKHRIJ HADIS
Hadis tentang kucing dalam Sahih Bukhari dalam Kitab Bad’il Khalqi, bab”Jika lalat jatuh ke dalam bejana salah seorang dari kamu” (VI/356), no. 3318. Dan dalam Kitab Ahadisil Anbiya’, no. 3482. Dan dalam Kitabul Musaqah, bab keutamaan memberi minum, 5/41, no. 2365.
Hadis ini diriwayatkan oleh Muslim dalam Sahih-nya dari Abu Hurairah dan Abdullah bin Umar dalam Kitabus Salam, bab ”Diharamkannya membunuh kucing” (4/1760, no. 2242-2243).
Hadis tentang Rasulullah S.a.w melihat seorang wanita yang mengikat kucing diriwayatkan oleh Bukhari dalam Sahih-nya dalam Kitabul Adzan dan Asma’ binti Abu Bakar (2/231, no. 745) dan Kitabul Musaqah Abdullah, keutamaan memberi minum air (5/41) no. 2364.

Adapun riwayat Muslim tentang Rasulullah S.a.w melihat wanita yang mnyeksa kucing terdapat dalam Kitabul Kusuf, bab apa yang diperlihatkan kepada Rasulullah dalam solat Kusuf, 2/622, no. 904.

PENJELASAN HADIS
Ini adalah kisah wanita Himyariyah Israiliyah yang mengurung seekor kucing, tetapi dia tidak memberinya makan dan minum hingga kucing itu mati kerana kelaparan dan kehausan. Ini menunjukkan kerasnya tabiat wanita itu, betapa buruk akhlaknya, serta tiadanya belas kasih di hatinya. Dia sengaja menyakiti. Jika di hatinya terdapat belas kasih, nescaya dia melepaskan kucing itu. Dan sepertinya dia mengurungnya sepanjang siang dan malam. Ia merasakan haus dan lapar dengan suara yang memelas meminta bantuan dan pertolongan. Suara dengan ciri tersendiri yang dikenal oleh orang-orang yang mengenal suara. Akan tetapi, hati wanita ini telah membatu dan tidak terketuk oleh suara pilu kucing itu. Dia tidak menghiraukan harapan dan impiannya. Suara itu semakin lemah, lalu seterusnya menghilang. Kucing itu mati. Ia mengadu kepada Tuhannya tentang kezaliman manusia yang hatinya keras dan membatu.

Jika wanita ini ingin agar kucing ini tetap di rumahnya, dia mungkin saja memberinya makan dan minum yang boleh menjaga hidupnya. Rasulullah S.a.w telah menyampaikan kepada kita bahwa kita meraih pahala dengan berbuat baik kepada binatang. Jika dia enggan memberinya makan yang menjaganya dari hidup, maka dia harus melepaskannya dan membiarkannya bebas di bumi Allah yang luas. Ia pasti mendapatkan makanan yang boleh menjaga hidupnya. Lebih-lebih, Allah telah menyediakan rezeki bagi kucing tersebut dari sisa-sisa makanan orang, begitu pula serangga-serangga yang ditangkapnya.

Perbuatan ini telah mencelakakan wanita tersebut, sehingga dia masuk Neraka. Rasulullah S.a.w melihat kucing itu memburu wanita yang menahannya di Neraka. Bekas-bekas cakaran tergores di wajah dan tubuhnya. Beliau melihat itu manakala Syurga dan Neraka diperlihatkan kepadanya pada saat solat gerhana.

PELAJARAN-PELAJARAN DAN FAEDAH-FAEDAH HADIS
1. Besarnya dosa orang-orang yang mnyeksa binatang dan menyakitinya dengan memukul dan membunuh. Wanita ini masuk Neraka kerana dia menjadi sebab kematian seekor kucing.
2. Boleh menahan binatang seperti kucing, burung, dan sebagainya, jika diberi makan dan minum. Jika tidak mampu atau tidak mau, maka hendaknya melepaskannya dan membiarkannya pergi di bumi Allah yang luas untuk mencari rezekinya sendiri.
3. Di Akhirat, manusia diazab sesuai dengan perbuatannya di dunia. Wanita ini diserang oleh seekor kucing di Neraka dengan mencakari tubuhnya.
(Sumber: Sahih al-Qoshosh karya DR. Umar Sulaiman Abdullah al-Asyqor [Dekan Fakulti Syari’ah Universiti Yordania])

Mengekalkan Akhlak Yang Baik

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:”Bukankah aku telah memberitahu kamu semua tentang orang yang diharamkan masuk ke neraka atau orang yang diharamkan ke atasnya neraka? Mereka ialah orang yang berdamping rapat dengan orang ramai (baik pergaulannya), hatinya tenang, berlemah lembut serta mudah dibawa berunding.”

Riwayat at-Tarmizi

Huraian
1.Setiap Muslim hendaklah sentiasa beramal dengan ajaran Islam yang sebenar serta bergaul rapat dengan masyarakat dengan menggunakan budi bahasa yang lembut, selalu bertolak ansur, tolong menolong dan bantu membantu dan tidak melakukan perkara-perkara yang menimbulkan sakit hati orang lain dan mendatangkan dosa seperti berbuat khianat, merompak, menipu dan seumpamanya.
2.Tabiat manusia adalah berhubungan rapat dengan keteguhan iman dan kesabarannya. Jika baik akhlak seseorang itu maka dia akan selamat daripada balasan api neraka dan begitulah sebaliknya kerana baik buruknya seseorang terletak pada sejauhmana pandangan masyarakat umum terhadap dirinya selain daripada penilaian yang dihitung oleh Allah S.W.T sendiri.

Bersegera Dalam Menguruskan Jenazah

Hadith :
Abu Hurairah r.a berkata bahawa nabi SAW bersabda yang maksudnya:“ Percepatkanlah kamu dalam membawa jenazah kerana jika jenazah itu jenazah yang soleh maka ia suatu roh (kebajikan), kamu meyerahkannya dan jika ia tidak soleh maka suatu kejahatan yang kamu lepaskan daripada pundak mu.”

(al-Bukhari dan Muslim )

Huraian
Menguruskan jenazah hukumnya adalah fardu kifayah. Islam mengharuskan kita menyegerakan pengurusan jenazah termasuk menghantar atau mengusung mayat untuk dikebumikan. Sama ada mayat tersebut lelaki atau wanita pengusungan jenazah dilakukan oleh kaum lelaki. Manakala para wanita tidak digalakkan untuk mengiringi jenazah ke perkuburan kerana dikhuatiri mereka akan meratapi kematian tersebut sedangkan tangisan dan ratapan yang berlebihan adalah haram di sisi Islam.

Bersungguh-sungguh Menjalankan Amal

Hadith :
Hadis 1.
Daripada Anas r.a daripada Nabi s.a.w meriwayatkan apa yang diterangkan dalam hadis qudsi, “jika seorang hamba menghampiriku sejengkal, maka aku menghampirinya sehasta, jika ianya hampir kepadaku sehasta maka aku menghampirinya sedepa dan jika ia datang kepadaku dengan berjalan maka aku datang kepadanya dengan berlari”.

Riwayat al-Bukhari

Huraian
1. Sesorang itu sangat digalakkan untuk mencari keredaan Allah, bukti galakan itu ialah dengan melipatgandakan ganjaran.

2. Setiap orang hendaklah segera berjuang ke jalan Allah supaya Allah lebih cepat lagi memberi balasan yang berlipat ganda kepadanya.

Isnin, 17 Ogos 2009

Tabir Takdir

Hadith :
Daripada Ibnu Umar r.a katanya, Rasulullah SAW berkata yang maksudnya : “ Tiap-tiap sesuatu dengan kadar hinggakan kelemahan dan kecerdikan.”

(Muslim)

Huraian
Allah SWT berfirman yang maksudnya: “Sesungguhnya segala sesuatu Kami ciptakan dengan qadar (ukuran, aturan)” (al-Qamar: 49). Takdir ialah hukum, ketentuan yang menjadi peraturan dan undang-undang terhadap terjadinya segala sesuatu dalam bentuk sebab-akibat. Iaitu dari sebab hubungan sesuatu dengan sesuatu yang lain dengan kadarnya masing-masing, di situ ada ukuran dan aturan yang menjadi undang-undang yang mengakibatkan wujudnya kadar lain lagi. Hikmah daripada ketetapan kadar dan ketentuan adalah untuk kebahagiaan manusia sendiri dalam menjalani kehidupan di dunia ini. Allah SWT berfirman yang maksudnya: “(Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu. Dan (ingatlah) Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur lagi membanggakan diri.” (al-Hadid : 23) Inti pati ayat ini mengingatkan kita agar tidak berputus asa apabila terpaksa menerima sebarang kegagalan atau tidak bersedih dengan kemiskinan atau kecewa dengan kemelaratan hidup. Seterusnya kita dianjurkan supaya tidak berbangga apabila mendapat sesuatu kejayaan atau tidak terlalu bergembira (tanpa bersyukur), hingga lupa daratan kerana mendapat kekayaan dan kemewahan hidup kerana kegagalan atau kejayaan, kemiskinan atau kekayaan itu pada hakikatnya adalah mengikut ketetapan Allah.

Kalimah Syahadah

Hadith :
Daripada ‘Itban bin Malik r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Tiada seorang pun yang mempersaksikan bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan sesungguhnya aku adalah utusan Allah lalu ia masuk neraka ataupun neraka membakarnya.”

(al-Bukhari dan Muslim)

Huraian
Mengucap dua kalimah syahadah adalah salah satu daripada Rukun Islam. Ia mesti dizahirkan dengan lidah, dibenarkan dengan hati dan dilaksanakan dengan anggota badan. Ini adalah satu bentuk pengakuan beriman yang lahir dari hati yang ikhlas beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Sesiapa yang membuat suatu pengakuan dan bersyahadah tetapi tidak mempercayai perkara yang disebutkannya, maka penyaksiannya adalah dusta dan bohong kerana perkara yang dinyatakan itu adalah tidak selari dengan keyakinannya sendiri dan itu adalah di antara sifat orang-orang munafik.

Antara Yang Lebih Utama

Hadith :
Daripada Abu Zar r.a katanya, “Aku bertanya Rasulullah SAW : “ Manakah satu amalan lebih utama?” Baginda bersabda: “ Beriman di jalan Allah dan berjihad di jalan-Nya. Aku bertanya lagi : “ Memerdekakan hamba yang manakah yang lebih utama? Baginda bersabda : “ Yang lebih mahal harganya dan yang lebih bernilai di sisi pemiliknya.” Abu Zar bertanya lagi : “ Jika saya tidak dapat melakukannya?” Baginda bersabda : “ Engkau menolong orang yang berbuat atau engkau melakukan untuk orang yang tidak dapat berbuat. Abu Zar bertanya lagi : “Jika saya tidak dapat berbuat?” Sabda baginda : “ Engkau menjauhkan orang dari kejahatan kerana ia satu sedekah yang engkau bersedekah ke atas diri mu.”

(al-Bukahri dan Muslim)

Huraian
Di dalam al-Quran dinyatakan bahawa setiap amal perbuatan atau amal ibadah walau sekecil zarah sekalipun pasti dibalas dengan pahala oleh Allah SWT. Bayangkan, jika kita melakukan amal perbuatan atau amal ibadah yang paling utama tentulah jumlah pahalanya luar biasa banyaknya. Maka beruntunglah orang yang dapat melakukan amalan-amalan seperti yang disebutkan di dalam hadith di atas yang sememangnya sungguh besar ganjarannya. Hal ini disebabkan setiap sesuatu kebaikan itu sesungguhnya amat susah untuk dilakukan lantaran terlalu banyak godaan dan halangan khususnya daripada syaitan laknatullah. Berbeza pula halnya dengan kejahatan yang senang sahaja berlaku kerana ini tidak dihalang bahkan dibantu khusus oleh syaitan. Oleh yang demikian, sebagai benteng yang kukuh, manusia mestilah mempunyai keimanan yang teguh bagi melawan hasutan syaitan tersebut kerana kebiasaannya orang yang selalu tewas dan malas dalam melakukan kebajikan adalah orang yang meremehkan pembalasan daripada Allah SWT sama ada ia merupakan pembalasan baik atau pembalasan buruk (neraka).

Kesukaan Dan Kebencian Allah Swt

Hadith :
Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “ Sesungguhnya Allah meredhakan tiga perkara bagi kamu dan Ia membenci tiga perkara bagi kamu. Ia redha supaya kamu mengabdikan diri kepada-Nya dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu dan supaya kamu semua berpegang teguh dengan tali (agama) Allah dan janganlah kamu berpecah belah. Dan Ia membenci bagi kamu berkata begini begitu, banyak bertanya dan mensia-siakan harta.”

(Muslim)

Huraian
Selaku hamba, kesukaan kita hendaklah selari dengan kesukaan Allah. Apa sahaja yang kita lakukan jika Allah menyukainya, maka kita hendaklah menjadikannya sebagai satu amalan. Sama ada kecil atau besar, wajib atau sunat asalkan Allah menyukainya, kita mestilah melakukannya. Itulah manifestasi dari cinta kita yang mendalam terhadap Allah SWT. Samalah juga keadaannya dengan seseorang yang tentu akan menyukai apa sahaja yang disukai oleh orang yang dicintainya. Ia bukan soal mendapat pahala atau fadhilat tetapi lebih kepada hasrat untuk menyatakan dan membuktikan cinta dan kehambaan kita kepada Allah. Begitu juga dengan aspek kebencian. Ia hendaklah selari dengan kebencian Allah dengan maksud bahawa kita meninggalkan apa sahaja perbuatan dan amalan yang dibenci oleh Allah. Dalam hal ini tidak dinafikan bahawa nafsu pasti mendorong kita untuk berbuat apa yang Allah benci kerana nafsu suka kepada apa yang Allah benci dan benci kepada apa yang Allah suka. Tetapi iman yang kuat dan teguh akan dapat melawan nafsu disebabkan rasa bertuhan dan rasa kehambaan yang mendalam dalam diri. Itulah antara ciri-ciri taqwa yang sejati.

Template by:
Free Blog Templates