Jumaat, 23 Oktober 2009

Melihat Allah

Hadith :
Dari Abu Dzar r.a katanya:”Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w:”Adakah anda melihat Allah?” Jawab baginda:”Dia Maha Cahaya, bagaimana aku dapat melihatnya?”

(Muslim)

Huraian
Terkadang manusia merasa bahawa matanya dapat melihat segala-galanya dan lupa bahawa mata itu terbatas dan amat peka untuk mengalami kerosakan. Seperti Bani Israil yang pernah meminta syarat untuk beriman kepada Allah dan rasul-Nya.”
Dan ingatlah , ketika kamu berkata :” Hai Musa, kami tidak akan beriman kepada mu sebelum kami melihat Allah dengan terang , kerana itu kamu disambar halilintar, sedang kamu menyaksikannya (al-Baqarah : 55) Nabi Musa pula pernah meminta kepada Allah.”Berkatalah Musa : Wahai Tuhanku, perlihatkanlah kepadaku (Zat-Mu Yang Maha Suci) supaya aku dapat melihatmu” Allah berfirman :” Engkau tidak sekali-kali akan sanggup melihat Ku, tetapi pandanglah ke gunung itu, maka jika ia tetap berada pada tempatnya (seperti sediakala) nescaya engkau akan dapat melihat Ku .” Tatkala Allah (menzahirkan kebesaran-Nya) kepada gunung itu, (maka), “Tajalli-Nya” menjadikan gunung itu hancur lebur dan Musa pun jatuh pengsan. Maka setelah Musa sadar kembali, dia berkata :” Maha Suci Engkau (wahai Tuhanku) aku bertaubat kepada-Mu dan akulah orang yang pertama beriman pada zamanku.” (al- A’raaf :143) Semoga kita dapat menggunakan mata kita ini untuk mengakui Kebesaran dan Kekuasaan Pencipta.

Khamis, 15 Oktober 2009

Kasih Kepada Rasulullah

Hadith :
Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:”Didiklah anak-anak kamu atas tiga sifat iaitu: cintakan nabi mereka, cintakan keluarga Nabi dan membaca al-Quran.”

(At-Tabrani)

Huraian
1. Kita perlu beradab dengan Rasulullah SAW dalam semua keadaan sekalipun baginda sudah wafat.
2. Adalah tidak memadai mengasihi Rasulullah dengan sekadar berselawat memuji baginda sahaja sedangkan diri kita tidak pernah mencontohi segala tindakan dan akhlak baginda tetapi mengasihi Rasulullah mestilah disertakan dengan segala tindakan anggota badan iaitu dengan mendirikan segala kewajipan beribadat serta berusaha melaksanakan tuntutan yang lain sebagai menandakan keyakinan yang tidak berbelah bahagi terhadap kebenaran Islam yang dibawa oleh baginda.
3. Cintakan keluarga baginda pula bererti menjaga kemuliaan atau nama baik keluarga Rasulullah iaitu tidak membiarkan sebarang fitnah dan cercaan berlaku oleh orang-orang kafir atau mereka yang mahu mengkhianati Islam.
4. Al-Quran adalah peninggalan Rasulullah SAW, maka sebagai menjaga keteguhan iman dan aqidah, seorang Muslim itu hendaklah sentiasa membacanya dan menjadikan al-Quran sebagai petunjuk dan pedoman agar terhindar daripada kejahatan dan kesesatan.

Bantuan Allah S.w.t

Hadith :
Dari Abdullah bin Abu Aufa r.a katanya, rasulullah s.a.w di hari perang Ahzab mengucapkan:”Ya Allah, yang menurunkan kitab dan cepat membuat perhitungan! Kalahkanlah kaum Ahzab dan goncangkanlah pendirian mereka.”

(al-Bukhari)


Huraian
Peristiwa Perang Ahzab berlaku setelah kesedihan menimpa kaum Muslim akibat kekalahan dalam Peperangan Uhud. Kaum Quraisy ingin menumpaskan kesemua kaum Muslimin. Mereka menubuhkan satu pasukan perang yang besar. Ribuan pasukan yang terdiri dari puak Quraisy dan sekutunya yang terdiri daripada kaum Quraisy, bani Asad, bani Kilab, ban Syaiban, ban Ghatafan dan hampir seluruh kabilah yang sepakat akan menyerang kaum muslimin di kala itu. Mereka semua berjumlah tidak kurang daripada 100 ribu orang. Mereka berkumpul dan mengepung dari Utara Madinah. Pada ketika itu, kaum Yahudi menyerang kaum muslimim dari belakang. Namun begitu, dengan pertolongan Allah S.W.T bala tentera yang ramai itu dapat dikalahkan oleh kaum tentera muslimin yang sedikit. Allah S.W.T menggambarkan situasi ini dalam al-Quran melalui firman-Nya yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, ingatlah akan nikmat Allah (yang telah dikurniakan) kepada kalian ketika datang kepada kalian pasukan, lalu Kami mengirimkan kepada mereka angin topan dan pasukan yang tidak dapat kalian lihat. (al-Ahzab: 9-11). Allah menjanjikan pertolongan bagi orang-orang beriman atas musuh-musuhnya. Ini adalah janji yang tidak mungkin diingkari. Selain dalam peperangan Ahzab, Allah S.W.T juga telah menolong kaum muslimin dalam peperangan-peperangan yang lain. Sesungguhnya al- Maunah (pertolongan) pasti datang apabila kita ikhlas dalam perjuangan.

Rabu, 7 Oktober 2009

kisah kolam Al- Kauthar

Tasymit Dan Tahmid

Hadith :
Dari Anas bin Malik r.a katanya, dua orang lelaki bersin berhampiran nabi s.a.w. Lalu yang satu ditasymitkan oleh baginda sedangkan yang satu lagi tidak. Maka orang yang tidak ditasymitkan oleh baginda bertanya:”Si fulan bersin anda tasymitkan, tetapi saya bersin tidak anda tasymitkan. Mengapa begitu ya Rasulullah?” Jawab baginda:”Yang ini sesudah bersin dia memuji Allah, sedangkan kamu tidak.”

(Muslim)

Huraian
Sebagai rasa bersyukur mendengar orang yang bersin memuji Allah ketika ia bersin, maka hendaklah kita mendoakannya agar dirahmati Allah. Namun begitu sekiranya orang yang bersin itu tidak mengucapkan ‘al-hamdulillah’ selepas bersin maka dia tidak berhak untuk diberikan ucapan tersebut.
Menjawab orang yang bersin (jika dia mengucapkan hamdalah) hukumnya wajib, dan wajib pula menjawab orang yang mengucapkan “Yarhamukallah” dengan ucapan “Yahdiina wayahdii kumullah”, dan jika seseorang yang bersin itu terus menerus bersin lebih dari tiga kali, maka kali keempatnya hendaklah diucapkan ‘Afakallah “ ( Semoga Allah menyembuhkan anda ) sebagai ganti dari ucapan “Yarhamukallah“.

Hijrah Rasulullah saw. Bersama Abu Bakar

Hadith :
Dari Aisyah r.a katanya: Sungguh sedikit waktu (kesuntukan waktu) bagi nabi saw. pada hari-hari itu, namun amat perlu sekali bagi baginda datang juga ke rumah Abu Bakar pagi atau petang. Maka ketika telah diizinkan bagi baginda untuk pergi (hijrah) ke Madinah, kami tidak pernah terkejut melainkan ketika baginda datang ke rumah kami waktu Zohor, lalu kedatangan baginda itu dimaklumkan kepada Abu Bakar. Berkata Abu Bakar,:”Nabi saw. tidak akan datang pada waktu ini melainkan kerana ada urusan yang sangat penting.” Ketika Nabi saw. masuk ke tempat Abu Bakar, baginda bersabda kepadanya. “Suruhlah orang yang ada di sekelilingmu keluar.” Berkata Abu Bakar:”Ya Rasulullah! Hanya ada dua orang anakku, ‘Aisyah dan ‘Asma’.” Sabda Nabi saw. Tahukah engkau bahawa sesungguhnya aku telah diberi izin untuk keluar (hijrah)?” Berkata Abu Bakar,:”Anda perlu teman, ya Rasulullah!” Sabda Baginda,:”Ya, kawan.” Berkata Abu Bakar,:”Ya Rasulullah! Aku mempunyai dua ekor unta yang sengaja kusediakan untuk keluar (hijrah), ambillah seekor untuk anda.” Sabda Nabi,”Kuambil seekor dengan harganya.”

(Bukhari)


Huraian
Orang yang mula-mula menetapkan hijrah sebagai permulaan tarikh dalam Islam ialah Saidina Umar al-khattab dalam masa beliau memegang jawatan sebagai khalifah iaitu pada tahun 17 hijrah. Beberapa cadangan telah dikemukakan kepada beliau, ada yang mencadangkan kelahiran Rasulullah, ada pula mencadangkan kebangkitannya menjadi Rasul dan ada pula yang mencadangkan tahun kewafatan baginda.Tetapi semua cadangan itu tidak dipersetujui oleh Saidina Umar memandangkan Hijrah adalah peristiwa yang terpenting di antara peristiwa-peristiwa lain sebagaiman katanya: ”Kita membuat tarikh dengan hijrah Rasulullah s.a.w. kerana hijrahnya itu adalah merupakan perbezaan antara yang benar dengan yang batal.” Pendapat ini disokong oleh Saidina Ali.
Sebenarnya, wujud jalinan perkaitan antara perkiraan tahun Masihi dan Hijri (Hijrah) kepada umat Islam. Tahun Masihi dikira menurut ‘peredaran’ matahari (tarikh as-Syamsi) sementara perkiraan tahun Hijri pula berdasarkan peredaran bulan (tarikh al-Qamari). Islam tidak menolak salah satu perkiraan tarikh berkenaan dalam kehidupan manusia. Perkiraan tarikh as-syamsi adalah untuk menentukan musim atau aktiviti manusia. Daripada tarikh inilah manusia mengenal peredaran musim panas, sejuk, menyemai atau menuai sementara tarikh al-Qamari pula menentukan masa ibadat. Peredaran yang tidak sama antara tarikh as-Syamsi dan al-Qamari menyebabkan umat Islam dapat merasai musim berbeza setiap kali menunaikan ibadat tertentu. Contohnya musim haji dan puasa. Mungkin pada tahun ini, umat Islam berpuasa atau menunaikan haji dalam musim sejuk tetapi beberapa tahun kemudian pula dalam musim panas.

kahwin cepat-cepat

Selasa, 6 Oktober 2009

Mengekalkan Adab Yang Mulia

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:”Sesungguhnya Allah S.W.T sukakan bersin dan benci pada menguap. Jika salah seorang kamu bersin dan memuji Allah S.W.T, hendaklah orang Islam yang mendengarnya mengucapkan “(Yarhamukallah)”. Sedangkan menguap itu adalah daripada syaitan. Maka jika seorang kamu menguap hendaklah ia mengembalikannya (menahannya) sedapat mungkin, kerana apabila kamu menguap, syaitan akan ketawa melihatnya.”

Riwayat al-Bukhari

Huraian
1. Islam selaku agama yang mulia amat menekankan kesopanan dan kesantunan dari sekecil-kecil perkara hinggalah sebesar-besarnya sama ada dalam pergaulan, percakapan ataupun tingkahlaku refleks seperti menguap, bersin dan sebagainya.
2. Ketika menguap terdapat adabnya yang tersendiri iaitu hendaklah meletakkan tangan di mulut ketika menguap untuk menutup pandangan yang tidak elok ketika mulut terbuka dan juga untuk menghalang sesuatu daripada masuk ke dalam mulut. Selain itu kita disuruh mengurangkan bunyi ketika menguap, seboleh-bolehnya tidak kedengaran langsung.
3. Manakala apabila bersin pula kita hendaklah memalingkan muka ke arah lain sambil menutup mulut dan hidung untuk mengurangkan bunyi bersin tersebut selain untuk mengelak daripada terkena jangkitan pada orang lain. Selepas bersin hendaklah mengucapkan “alhamdulillah” dan orang yang mendengarnya hendaklah mengucapkan “yarhamukallah” sebagai mendoakan kesejahteraan orang yang bersin itu serta dibalas pula oleh orang yang bersin dengan mengucapkan “Yahdiinaa wayahdiikumullah”.
4. Bersin yang terlalu kerap melebihi 3 kali menandakan seseorang itu kemungkinan diserang selsema manakala menguap yang terlampau kerap menandakan seseorang itu tidak cukup tidur selain menunjukkan ciri-ciri kemalasan yang patut dihindari dengan melakukan aktiviti senam ringan dan sebagainya.

Perkara Yang Mengeratkan Persahabatan

Hadith :
Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:
“Tiga perkara yang boleh mengeratkan persahabatan dengan saudaramu iaitu memberi salam apabila bertemu dengannya dan menyediakan tempat duduknya dalam sesuatu majlis serta panggilah ia dengan nama yang paling disenanginya.”

Riwayat Al-Tabrani

Huraian
i) Kita hendaklah sentiasa mempamerkan keperibadian seorang muslim dalam setiap pergaulan kerana ia merupakan aset penting bagi kejayaan diri serta organisasi yang dipimpin.
ii) Tutur kata yang baik, beradab dan dipenuhi unsur-unsur keikhlasan akan memberikan motivasi yang paling berkesan kepada setiap individu dalam masyarakat sekeliling sehingga membentuk kualiti ummah yang terbaik dan menjadi contoh kepada yang lain.
iii) Jika kita mahu dihormati maka kita hendaklah terlebih dahulu menghormati orang lain sama ada dengan mengucapkan salam, bersikap peramah dan mengutamakan keperluannya. Ini dengan sendirinya akan menerbitkan perasaan hormat orang itu terhadap kita dan seterusnya menimbulkan rasa kasih dan sayang antara satu sama lain.

Kelebihan Sayidina umar Dalam Ilmu Agama!

Hadith :
Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a:” Rasulullah SAW pernah bersabda:” Di dalam tidur ku, aku melihat mangkuk penuh susu diberikan kepada ku dan aku meminumnya hingga membasahi sebahagian jemari ku. Kemudian aku memberikan sisanya kepada Umar bin al-Khattab.” (Para sahabat nabi SAW bertanya:” Apakah tafsiran anda (terhadap mimpi itu) ya Rasulullah SAW? Nabi SAW menjawab:” Itulah ilmu (agama).”

Huraian
Orang yang paling mulia di sisi Allah adalah orang yang tafaqquh (mendalam ilmu agamanya). Dalam hal ini cuba kita renung sejenak tentang kisah Sayidina Umar Al Khattab RA. Beliau adalah orang yang paling disegani dan paling digeruni semasa zaman jahiliah. Demikian juga setelah beliau memeluk Islam, beliau tetap disegani dan ditakuti termasuk syaitan sendiri. Apakah rahsianya Sayidina Umar boleh mencapai tahap tersebut? Jawapannya tidak lain ialah kerana beliau benar-benar mendalami ilmu agama. Sungguh banyak pengajaran yang dapat diambil daripada kisah beliau. Di antaranya, kisah tentang beliau berkata dengan Hajar Al Aswad, kisah beliau tidak memotong tangan pencuri kerana terlalu fakir, kisah beliau memotong kedua-dua tangan pencuri kerana telah berdusta atas nama Allah, kisah beliau mengubah destinasi setelah mendapat berita wabak taun di negeri yang akan dituju, kisah tentang beliau berhijrah dan lain-lain. Beliau dikenal sebagai khalifah yang paling adil. Mukmin yang mendalam ilmu agamanya memang lebih ditakuti oleh syaitan berbanding dengan orang yang banyak beribadah tetapi jahil tentang seluk-belok agama. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW bermaksud: Seorang Faqih adalah lebih digeruni oleh syaitan daripada seribu orang 'Abid (orang yang banyak beribadat)”(at- Tirmidzi dan Ibnu Majaah)

Template by:
Free Blog Templates