Jumaat, 28 Ogos 2009
Jumaat penghulu Segala Hari
Dari Abu Hurairah r.a katanya Rasulullah SAW bersabda:“Kita (umat Muhammad) adalah yang terakhir (datang ke dunia) tetapi yang terdahulu (diadili) pada hari kiamat. Kita adalah yang paling dahulu masuk syurga, padahal mereka diberi kitab lebih dahulu daripada kita sedangkan kita sesudah mereka. Kita diberikan petunjuk oleh Allah akan kebenaran yang mereka perselisihkan itu yang Allah telah tunjukkan kepada kita iaitu Hari Jumaat. Maka hari ini (Jumaat) adalah untuk kita. Besok (Sabtu) untuk kaum Yahudi dan lusa (Ahad) untuk kaum Nasrani. “
(al-Bukhari)
Huraian
1. Islam menyerlahkan perbezaan yang begitu ketara dengan agama-agama lain agar umatnya tidak terkeliru seperti membezakan arah qiblat, kitab suci, hari raya, hari kebesaran dan sebagainya.
2. Islam menetapkan bahawa hari Jumaat adalah sebagai penghulu segala hari. Ini berbeza dengan Yahudi yang membesarkan hari Sabtu dan Kristian yang membesarkan hari Ahad.
3. Perbezaan-perbezaan yang ditetapkan oleh Islam ini hendaklah diamalkan dan dihayati secara praktikal oleh umat Islam kerana dengan cara ini akan menyerlahkan lagi jati diri setiap muslim serta menjauhkan mereka daripada terpengaruh dengan adat dan budaya yang cuba dibawa masuk oleh musuh Islam.
4. Kegagalan umat Islam dalam mempromosikan Islam terhadap masyarakat bukan Islam akan mengakibatkan umat Islam dipandang hina dan Islam dipandang sepi. Dengan itu umat Islam hendaklah berhati-hati agar tidak terikut dengan semua adat dan budaya orang-orang bukan Islam sehingga membawa kepada rosaknya aqidah dan terpadamnya garisan yang telah ditetapkan oleh syarak.
Pesanan Imam Ghazali
Murid 1: Orang tua
Murid 2: Guru
Murid 3: Teman
Murid 4: Kaum kerabat
Imam Ghazali: Semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita ialah MATI. Sebab itu janji Allah bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati ( Surah Ali-Imran :185).
Imam Ghazali: Apa yang paling jauh dari kita di dunia ini ?
Murid 1: Negeri Cina
Murid 2: Bulan
Murid 3: Matahari
Murid 4: Bintang-bintang
Imam Ghazali: Semua jawaban itu benar. Tetapi yang paling benar adalah MASA LALU. Bagaimanapun kita, apapun kenderaan kita, tetap kita tidak akan dapat kembali ke masa yang lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini, hari esok dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran Agama.
Imam Ghazali: Apa yang paling besar didunia ini ?
Murid 1: Gunung
Murid 2: Matahari
Murid 3: Bumi
Imam Ghazali: Semua jawaban itu benar, tapi yang besar sekali adalah HAWA NAFSU (Surah Al Araf: 179). Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu kita membawa ke neraka.
IMAM GHAZALI Apa yang paling berat didunia?
Murid 1: Baja
Murid 2: Besi
Murid 3: Gajah
Imam Ghazali: Semua itu benar, tapi yang paling be! rat adalah MEMEGANG AMANAH (Surah Al-Azab : 72 ). Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung, dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka menjadi khalifah pemimpin) di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya berebut-rebut menyanggupi permintaan Allah SWT sehingga banyak manusia masuk ke neraka kerana gagal memegang amanah.
Imam Ghazali: Apa yang paling ringan di dunia ini ?
Murid 1: Kapas
Murid 2: Angin
Murid 3: Debu
Murid 4: Daun-daun
Imam Ghazali: Semua jawaban kamu itu benar, tapi yang paling ringan sekali didunia ini adalah MENINGGALKAN SOLAT. Gara-gara pekerjaan kita atau urusan dunia, kita tinggalkan solat
Menghadapi Cabaran Zaman
Salim r.a mendengar Abu Hurairah mengatakan bahawa Nabi SAW bersabda:”Nanti akan dilenyapkan ilmu pengetahuan, akan bermaharajalela perzinaan dan kejahatan serta banyak haraj.” Seorang sahabat bertanya,:”Apakah haraj itu ya Rasulullah?” Jawab baginda:”Begini!”(Nabi memberi syarat dengan tangan beliau seolah-olah menggambarkan terjadinya suatu pembunuhan”.
(al-Bukhari)
Huraian
1. Dalam arus pembangunan dan kemajuan yang pesat dewasa ini, umat Islam menghadapi krisis kebejatan moral yang amat membimbangkan. Ramai orang seolah-olah sudah lupa pada akhirat. Pelaku kejahatan bukan hanya terdiri daripada kalangan dewasa sahaja, namun anak-anak yang belum dewasa, ibu-ibu, bahkan orang yang sudah lanjut umur juga terlibat.
2. Perkara seperti ini perlu diberi perhatian serius oleh kita umat Islam kerana Allah SWT akan menimpakan bala dan laknat-Nya yang amat dahsyat disebabkan maksiat yang dilakukannya itu di mana ianya akan mengenai seluruh manusia.
3. Apa yang dinyatakan oleh Rasul SAW di dalam hadis baginda telah pun berlaku di dalam realiti kehidupan kita pada hari ini. Ilmu telah diangkat atau disisihkan. Ilmu yang dimaksudkan ialah ilmu agama atau ilmu syarak yang boleh memandu umat Islam kepada kebenaran, ilmu yang boleh menyelamatkan mereka daripada azab api neraka di akhirat kelak. Ulamak-ulamak yang takut kepada Allah SWT, yang memuliakan sifat-sifat zuhud dan warak semakin berkurangan dan berlaku pembunuhan di sana sini
4. Maka bagi menghadapi situasi akhir zaman ini umat Islam perlu berhati-hati agar tidak terjatuh ke dalam kemungkaran. Benteng pertahanan aqidah perlu diperkuat dan diperkemaskan supaya tidak mudah terpedaya. Di samping itu konsep amar makruf nahi munkar harus diterapkan. Begitu juga konsep untuk saling mengingatkan dalam kebaikan dan kebenaran
Larangan Gila Kuasa
Abdul Rahman Ibnu Samurah berkata:” Nabi SAW berkata kepada ku:”Hai Abdul Rahman Ibnu Samurah, janganlah engkau meminta diangkat menjadi penguasa di suatu wilayah. Kerana jika yang demikian diberikan kepada engkau lantaran permintaan, nescaya engkau dibiarkan, tidak diberi pertolongan. Tetapi jika diberikan kepada engkau bukan kerana engkau memintanya, nescaya engkau diberi pertolongan.”
(Bukhari dan Muslim)
Huraian
Nabi menegaskan bahawa kita tidak boleh mengajukan permintaan untuk diangkat menjadi pemimpin atau dengan perkataan lain menjadi orang yang gila kuasa. Ini adalah kerana menjadi seorang pemimpin bukanlah perkara yang mudah. Kebiasaannya orang yang ghairah memburu pangkat dan kedudukan belum tentu dapat memikul sesuatu tanggungjawab itu dengan baik. Apatah lagi jika kedudukan itu diberikan atas permintaannya sendiri yang kemungkinan besar akan menimbulkan banyak pertuduhan bahawa individu tersebut mempunyai kepentingan tertentu. Kepimpinannya nanti akan menimbulkan banyak huru hara dan penentangan lantaran wujud golongan yang tidak berpuas hati. Sebaliknya jika jawatan itu ditawarkan tanpa dia sendiri yang menginginkannya sedangkan dialah orang yang paling layak insyaAllah bebanan tanggungjawab itu walau bagaimana berat sekalipun ia bukanlah akan dipikul sendirian melainkan akan mendapat bantuan daripada Allah SWT dan mereka yang menyokongnya di belakang kerana hakikatnya dia dilantik secara sebulat suara.
Kepentingan Memelihara Silaturrahim
Dari Ibnu Umar r.a bahawa dia mendengar Nabi s.a.w bersabda:”Sepeninggalanku janganlah kamu kembali menjadi kafir; yang satu memenggal leher yang lain.”
(Bukhari)
Huraian
Dalam kehidupan bermasyarakat hari ini, kita berdepan dengan pelbagai cabaran dan dugaan, terutama terhadap hubungan dan perpaduan ummah. Antara cabarannya ialah pertelingkahan dan perbalahan. Pertikaian yang timbul adalah disebabkan pelbagai faktor. Islam sesungguhnya menghendaki agar keadilan mutlak ditegakkan dan kezaliman dihapuskan di mana keadilan hanya akan dapat ditegakkan jika ia berdasarkan undang-undang yang adil seperti yang ditegaskan oleh Allah dalam kebanyakan ayat al-Quran. Bagaimanapun, sekiranya undang-undang yang adil itu tidak ditadbir dengan cekap, amanah dan adil, maka keadilan undang-undang itu tidak akan dapat dinikmati, malah akan bertukar menjadi kezaliman. Oleh itu selaku umat Islam kita dikehendaki supaya mengetepikan perasaan benci, marah, dendam dan sebagainya. Yang bersalah pasti akan menerima balasannya kelak. Jika tidak di dunia, di akhirat nanti mahkamah Allah SWT yang Maha Adil akan menentukan. Oleh itu kita selaku umat Islam janganlah sekali-kali mendahului hukuman Allah SWT dengan bertindak sendiri dan tidak mengikut landasan yang betul. Hidup ini mestilah berbaik-baik dan bermaaf-maafan, eratkan hubungan kasih sayang dan elakkan persengketaan serta sentiasalah bersangka baik di antara satu sama lain.
Adab bertamu
Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:”Janganlah kamu datang ke rumah orang berhadapan pintunya, tetapi datanglah dari bahagian tepinya dan mintalah izin, jika diizinkan untuk kamu, masuklah, kalau tidak, baliklah.”
(At-Tabrani)
Huraian
1. Semulia-mulia manusia adalah mereka yang beradab dan tahu tata tertib setiap perkara yang dilakukannya.
2. Islam mengambilkira segala hal yang bersangkutan dengan kehidupan manusia termasuklah aspek hubungan sosial mereka dan mengajarkan adab-adab yang tertentu demi mewujudkan suasana masyarakat yang aman dan harmoni.
3. Adab dalam berziarah contohnya disebutkan secara terperinci iaitu
i) Memberi salam terlebih dahulu
ii) Mengetuk pintu perlahan-lahan dan tidak melebihi tiga kali
iii) Berdiri bersebelahan pintu kerana dibimbangi jika yang membuka pintu itu adalah orang yang bukan muhrim
iv) Tidak masuk melainkan setelah mendapat keizinan
v) Tidak mengintai atau mengendap ke dalam rumah
vi) Duduk di tempat yang disediakan kerana tuan rumah lebih maklum tentang keadaan rumah mereka.
4. Berkunjung sebagai tetamu hendaklah memilih masa yang sesuai agar ia tidak menimbulkan keberatan kepada tuan rumah lebih-lebih lagi jika kedatangan tersebut didapati mengganggu urusan penting yang hendak dilaksanakannya.
Menjauhi makanan yang haram
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: ”Setiap jasad yang membesar daripada benda-benda yang haram maka api nerakalah yang layak baginya.”
Riwayat al-Baihaqi dan Abu Nuim
Huraian
1. Harta-harta yang berkat itu adalah harta yang halal dan baik, kerana sesuatu yang diambil dari yang tidak halal dan tidak baik tidak mungkin mampu mendorong seseorang kepada melakukan kebaikan sama ada kepada diri sendiri mahupun orang lain.
2. Setiap daging yang timbul atau dihasilkan dari sesuatu yang haram maka nerakalah tempatnya.
3. Pengertian halal yang harus difahami daripada hadith di atas adalah mencakupi aspek-aspek berikut:
a) Halal wujudnya, iaitu apa saja yang tidak dilarang oleh agama Islam, seperti makanan dan minuman yang tidak diharamkan oleh syariat Islam.
b) Halal cara mengambil atau memperolehinya, iaitu cara mengambil atau cara memperoleh yang tidak dilarang oleh syariat Islam seperti harta yang diperoleh dari pekerjaan yang halal menurut pandangan syariat Islam.
c) Halal karena tidak bercampur dengan hak milik orang lain, kerana sudah dikeluarkan zakatnya. Jika sebaliknya (haram) jika ia berupa bahan makanan dan dimakan oleh seseorang maka pengaruhnya sangat buruk terhadap perkembangan rohani dan jasmani seseorang.
Kebahagiaan Memberi Dan Menerima
Dari Abu Said al-Khudri r.a, dari Nabi S.A.W, baginda telah bersabda yang maksudnya:”Mana-mana orang mukmin yang memberi makan kepada seorang mukmin semasa ia lapar, nescaya Allah memberi makan kepadanya pada hari kiamat dari buah-buahan Syurga; dan mana-mana orang mukmin yang memberi minum kepada seorang mukmin semasa ia dahaga, nescaya Allah memberi minum kepadanya pada hari kiamat dari minuman syurga yang tersimpan dengan sebaik-baiknya; dan mana-mana orang mukmin yang memberi pakai kepada seorang mukmin semasa ia memerlukan pakaian, nescaya Allah memberi pakaian kepadanya dari pakaian syurga.”
(at-Tirmidzi)
Huraian
1. Islam memberi galakan kepada umatnya agar memberi bantuan dan pertolongan kepada mereka yang memerlukan dalam pelbagai bentuk bagi meringankan beban yang ditanggung lebih-lebih lagi dalam hal keperluan asasi.
2. Perbuatan memberi dengan diiringi hati yang tulus akan membuatkan hati seseorang berasa tenang dan damai.
3. Juga ketika orang lain memberikan sesuatu pada kita, maka terimalah dengan hati yang ikhlas diiringi dengan senyuman dan ungkapkanlah kegembiraan hati kita kepadanya dengan ucapan terima kasih yang sebenarnya sangat bererti bagi orang yang memberi.
4. Pemberian memerlukan penerimaan, pemberian yang tulus juga memerlukan penerimaan yang tulus. Sesuai dengan sabda Rasulullah S.A.W, bahawa tangan yang di atas adalah lebih baik daripada tangan yang di bawah, maka memberi adalah lebih baik daripada menerima.
5. Berusahalah untuk lebih banyak memberi daripada menerima pemberian orang lain. Namun begitu apabila tibanya suatu saat di mana tibanya masa untuk diri kita menerima, maka terimalah juga dengan suatu ketulusan, jangan merasa rendah diri, tapi bertekadlah dalam hati untuk berusaha membalas pemberian tersebut kepadanya atau dalam ertikata lain ‘saat kita menerima sesuatu kita sesungguhnya sedang belajar untuk memberi sesuatu’.
Khamis, 27 Ogos 2009
Bulan Hari Raya
Dari Abu Bakrah r.a bahawa Nabi saw. bersabda: “Dua bulan yang terdapat hari raya, harinya tidak berkurang; hari raya Ramadhan dan bulan Zulhijah”.
(Muslim)
Huraian
1. Pada hari raya, orang Islam disunatkan mengenakan pakaian yang paling cantik, paling bersih, dan juga mengenakan wangi-wangian. Sembahyang sunat Hari Raya sebanyak 2 rakaat yang diadakan pada sebelah pagi di mana kita disunatkan juga untuk pergi dan balik daripada mengerjakan sembahyang sunat Aidil Fitri atau Aidil Adha dengan melalui jalan yang berlainan.
2. Berdasarkan sunnah Rasulullah SAW, perayaan Hari raya Aidil Fitri hanya disambut selama 1 hari sahaja, berbanding dengan perayaan hari raya Aidil Adha yang disambut selama tiga hari.
Haram Berpuasa
Dari Umar bin Khathab ra., ia berkata bahwa dua hari ini hari yang dilarang Rasulullah saw. untuk berpuasa, iaitu hari raya Idul Fitri setelah kalian berpuasa (Ramadhan) dan hari raya makan (daging korban) setelah kalian menunaikan ibadah haji “
(Muslim)
Huraian
1. Antara hikmah diharamkan berpuasa sepetti yang disebut dalam hadith di atas ialah ketika semua orang bergembira, seseorang itu hendaklah perlu turut bersama meraikannya.
2. Selain pada hari raya, kita juga diharamkan berpuasa pada hari-hari Tasyrik iaitu 11, 12, dan 13 Zulhijjah.
Bertaqwalah kepada Allah s.w.t.
Rasulullah saw. Bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah mengasihi hambanya yang bersifat Taqwa, kaya jiwa serta tidak menunjolkan diri (merendah diri walaupun berpangkat tinggi)”.
Yang dimaksudkan dengan kaya disini ialah kaya jiwa bukan kaya harta sebagaimana yang dinyatakan dalam hadith.
Riwayat Muslim
Huraian
1. Tiga perkara yang apabila dilakukan oleh seseorang maka ia dikasihi oleh Allah S.W.T. Pertama: Bertaqwa
Kedua : Kaya Jiwa (Berakhlak mulia)
Ketiga : Tidak menonjolkan diri
2. Setiap umat Islam hendaklah sentiasa memperbaiki dirinya dari masa ke semasa dengan menanamkan tiga sifat tersebut diatas secara berperingkat-peringkat.
3. Islam menyuruh umatnya supaya bertaqwa kepada Allah dan mempunyai sifat-sifat yang mulia dan berbudi bahasa, jangan bersifat sombong, ego dan sebagainya yang boleh menjatuh dan merendahkan mertabat kemuliaan manusia itu sendiri.
Adakah Kita Termasuk Orang Yang Bertaqwa
Rasulullah saw. Bersabda yang bermaksud:
“Tidak sampai seseorang hamba keperingkat golongan orang-orang bertaqwa, sehinggalah ia tidak melakukan perkara-perkara yang dilarang dan sentiasa berhati-hati daripada melakukan perkara-perkara yang menimbulkan keraguan (perkara-perkara Syubhat)”.
Riwayat at-Tarmizi
Huraian
1. Untuk mencapai ketahap taqwa seseorang itu hendaklah meninggalkan perkara-perkara yang meragukan.
2. Umat Islam diingatkan supaya berhati-hati dalam melakukan sesuatu perkara lebih-lebih lagi berkaitan dengan sesuatu yang haram.
3. Seseorang itu belum lagi dikira bertaqwa, selagi masih melakukan perkara-perkara yang syubhat, kecuali apabila ia meninggalkan perkara-perkara yang haram dan syubhat tersebut, serta beramal dengan melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang.
Solat Dalam Keadaan Tenang
Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:”Apabila dibacakan iqamat sembahyang, janganlah kamu semua tergesa-gesa pergi untuk menunaikan sembahyang, tetapi hendaklah berjalan dengan baik dan tertib, hendaklah kamu semua bersifat tenang. Tunaikanlah sembahyang mengikut rakaat yang kamu sempat mengikuti imam dan apabila imam memberi salam, maka hendaklah kamu menyempurnakan mana-mana rakaat yang tertinggal.”
al-Bukhari & Muslim
Huraian
1. Apabila iqamat sembahyang dibacakan, janganlah kita tergesa-gesa (berlari-lari anak) ke masjid, tetapi hendaklah berjalan dengan tenang dan sopan.
2. Jika terlambat sedikit, ikutilah sembahyang berjamaah bersama imam dengan mengikut rakaat yang sempat.
3. Hikmah bersifat tenang dan tidak tergopoh-gapah adalah untuk memberi keselesaan semasa sembahyang iaitu agar sembahyang yang dikerjakan tidak dalam keadaan tercungap-cungap sehingga bacaan menjadi tidak sempurna.
4. Semasa mengerjakan sembahyang, kita bukan sahaja dikehendaki mementingkan suasana yang tenang tetapi jiwa dan fizikal juga mesti tenang agar sembahyang dapat dilakukan dengan penuh khusyuk dan tawaddhuk.
Kewajipan Mengawal Nafsu
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Orang yang berjihad itu ialah mereka yang berjihad menentang nafsunya. ”
Riwayat al-Bukhari
Huraian
i) Di samping faktor-faktor luaran seperti dunia, manusia dan syaitan, faktor dalaman iaitu nafsu turut mendorong manusia melakukan maksiat kepada Allah S.W.T.
ii) Mengendalikan hawa nafsu merupakan jihad terbesar yang sangat berat dan wajib dilakukan manusia. Tanpa kemampuan mengendalikan hawa nafsu, manusia akan jatuh ke jurang kehinaan kerana nafsu sentiasa mengajak kepada keburukan dan kemudaratan .
iii) Orang yang mengikut hawa nafsu seringkali semakin asyik dengan kesesatannya itu bahkan sampai tidak merasa berdosa dengan maksiat yang dilakukan sehingga sanggup dan tanpa malu melakukan tindakan yang melampaui batas. Sebagai contoh, muda-mudi hari ini didapati begitu banyak yang berkelakuan tidak senonoh seperti bercumbu-cumbuan di khalayak ramai dan yang seumpama dengannya sedangkan kita mengetahui bahawa menurut hawa nafsu mengakibatkan kehidupan moral dan akhlak mulia manusia menjadi rosak .
iv) Adalah amat penting bagi setiap umat Islam memiliki nafsu yang selalu memperoleh petunjuk dari Allah S.W.T sebagaimana nafsu yang telah dimiliki oleh Nabi Yusuf a.s sehingga beliau dapat menghindarkan dirinya dari segala bentuk kemaksiatan.
Bacaan Wajib Dalam Solat
Dari ‘Ata’ r.a katanya:”Abu Hurairah berkata:”Dalam setiap solat, Rasulullah s.a.w selalu membaca bacaan (ayat). Oleh sebab itu bacaan yang dinyaringkan kepada kami, kami nyaringkan pula, dan bacaan yang perlahan-lahan dibacanya, kami perlahankan pula kepadamu.” Lalu seorang lelaki bertanya:”Bagaimana jika tidak kutambah lagi bacaanku selain membaca al-Fatihah?” Jawabnya:” Jika kamu menambah itu lebih baik, jika tidak, maka al-Fatihah pun sudah cukup.”
(Muslim)
Huraian
Al-Fatihah merupakan surah pertama yang diturunkan dengan lengkap. Ia dinamakan 'Ummul Quran” atau "Ummul Kitab" kerana ia merupakan induk atau ibu bagi semua isi Al-Quran, serta menjadi intisari dari kandungan Al-Quran, dan kerana itu diwajibkan membacanya setiap kali menunaikan solat. Oleh itu bacaan al-Fatihah mestilah baik (mengikut hukum tajwidnya) kerana apabila cacat bacaan al-Fatihah maka akan rosaklah solat dan jika ia disertai dengan penghayatan maksudnya maka itu adalah lebih baik kerana akan mendatangkan kekhusyukan yang lebih sewaktu mengerjakan solat.
Dua Waktu Yang Perlu Diawasi
Dari Jabir r.a , katanya: Rasul s.a.w bersabda: “anak kunci syurga ialah sembahyang….”
Riwayat Imam Ahmad
Huraian
1. Syurga adalah destinasi terakhir perjalanan hidup seseorang
2. Solat 5 waktu selain solat sunat adalah amal soleh yang melayakkan memasuki syurga selain mengucap 2 kalimah syahadah
3. Jadi, jagalah solat sebaik mungkin dan nasihatlah kepada keluarga agar tidak lalai daripada mengerjakannya walau sesibuk mana kerja kita di dunia ini.
Mengucap Alhamdulillah sesudah Makan Dan Minum
Dari Anas bin Mali r.a katanya, rasulullah s.a.w bersabda:”Sesungguhnya Allah Taala sangat suka kepada hamba-Nya yang mengucapkan tahmid (alhamdulillah) sesudah makan dan minum.”
(Muslim)
Huraian
Di antara sifat orang beriman adalah ketika mendapat berbagai kenikmatan, dia bersyukur kepada Dzat yang telah memberikan nikmat tersebut iaitu Allah S.W.T. Memang erti syukur sendiri adalah memuji kepada Dzat yang telah memberikan berbagai kenikmatan dan kebaikan termasuk rezeki makanan dan minuman yang diambil setiap hari. Tetapi cukupkah dengan hanya memuji Allah S.W.T melalui lisan semata-mata? Sebenarnya ramai orang yang memuji Allah dengan lidah mereka ketika mendapatkan nikmat tetapi dalam masa yang sama mereka masih bergelumang dalam kemaksiatan kepada Allah. Syukur mempunyai syarat-syaratnya iaitu: Pertama; mengakui nikmat tersebut dengan hati; kedua: mengucapkannya dengan lisan iaitu mengucapkan ‘alhamdulillah’ ketig; menggunakan nikmat tersebut untuk melaksanakan ketaatan kepada Allah S.W.T.
Kesimpulannya, syukur itu berkaitan dengan hati, lisan dan anggota badan. Kita hendaklah mengakui nikmat tersebut datangnya daripada Allah bukan daripada yang lain walaupun sebabnya datang melalui orang lain, urusan jual beli atau sebagainya tetapi semuanya itu hanyalah sebab atau perantara dalam mendapatkan nikmat dan hakikatnya yang memberikannya itu hanyalah Allah S.W.T. Oleh itu gunakanlah nikmat Allah ke jalan yang diredhainya bukan untuk perkara yang mendatangkan kemurkaan-Nya.
Rabu, 26 Ogos 2009
Penyebab Masuk Syurga
Dari jabir r.a katanya, dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:”Bukan amal seseorang yang memasukkannya ke syurga atau melepaskannya dari neraka, termasuk juga aku, tetapi ialah semata-mata rahmat Allah S.W.T belaka.”
(Muslim)
Huraian
Orang yang beriman sangat yakin akan rahmat dan pertolongan Allah S.W.T. Oleh itu mereka tidak pernah berputus harap dari rahmat-Nya kerana kasih sayang Allah tidak bertepi. Antara syarat-syarat untuk memperolehi rahmat Allah S.W.T sebagaimana yang dinyatakan dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh al-Dailami dari Ibnu 'Abbas r.a. Rasulullah bersabda yang bermaksud: " Allah S.W.T merahmati orang-orang yang dapat menjaga tutur katanya, mengenal masa (ketika dia hidup) itu dan istiqamah dalam hidupnya."
Galakan Bersedekah
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:”Perumpamaan orang yang bersedekah lalu menarik kembali sedekahnya itu hanyalah seperti anjing yang muntah lalu memakan muntahnya itu. ”
Riwayat Muslim
Huraian
i) Setiap anggota masyarakat hendaklah mengamalkan konsep “berat sama dipikul ringan sama dijinjing” di mana atas dasar persaudaraan, seorang saudara tidak akan sanggup dan tidak senang jika melihat saudaranya yang lain ditimpa kemudharatan. Dia tidak akan keberatan untuk membantu sedaya upaya bagi mengurangkan penderitaan mereka yang bernasib malang.
ii) Setiap jariah yang baik harus dimanfaatkan dengan cara mengeluarkan derma khairat kepada masjid, surau, anak-anak yatim, janda-janda yang tidak terbela, membantu mangsa-mangsa kebakaran atau peperangan. Oleh sebab itu penubuhan tabung-tabung yang bersifat kebajikan patut diperkukuhkan dan diberi sokongan supaya dapat membantu membina kesejahteraan rakyat .
iii) Perbuatan memberi tidak boleh di fahami dengan makna pengurangan sebaliknya ia membawa kepada penambahan dan penyuburan seperti ibadat zakat yang membolehkan harta terus berkembang dan terus bertambah. Manakala dari sudut keakhiratan pula, terlalu banyak ayat-ayat dan hadis-hadis yang memuatkan janji-janji dan kelebihan yang akan di perolehi oleh orang yang suka bersedekah, menderma dan mengeluarkan zakat hartabenda mereka.
iv) Galakan bersedekah merupakan latihan jiwa atau rohani agar diri seseorang itu mempunyai perasaan halus (peka dan prihatin) dan sebagai tanda bersyukur di atas nikmat yang diberikan oleh Allah S.W.T.
v) Bersedekah hendaklah disertakan dengan niat yang ikhlas dan jangan menarik balik sedekah yang telah diberikan. Firman Allah yang bermaksud: "Jika kamu menampakkan sedekah (mu), maka itu adalah baik sekali. Dan jika kamu menyembunyikannya dan kamu berikan kepada kaum fakir, maka menyembunyikannya itu lebih baik bagimu. Dan Allah akan menghapus dari kamu sebahagian kesalahan-kesalahanmu dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan." (Al-Baqarah : 271)
Hikmah Kewajipan Membayar Zakat
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:”Sesungguhnya Allah telah memfardhukan zakat sebagai pembersihan terhadap harta.”
Riwayat Bukhari
Huraian
1. Harta juga adalah merupakan suatu unsur yang memerlukan pembersihan dan penyucian kerana dalam proses mendapatkan dan mengembangkan harta ia sering terdedah oleh perkara-perkara yang syubhat.
2. Zakat merupakan alat untuk menyucikan harta demi menghindari keburukan dan kejahatan yang terkandung di dalamnya.
3. Tujuan zakat dalam syariat adalah untuk memenuhi keperluan golongan fakir miskin, orang yang dibebani hutang dan para musafir dan juga sebagai tnjang kepada kemaslahatan kaum Muslimin seperti untuk berjihad di jalan Allah, sebagai sumbangan kepada muallaf yang baru memeluk Islam dan pertolongan kepada kaum keluarganya serta perkara-perkara yang boleh mengukuhkan agama dan kedaulatan negara Islam.
4. Islam berprinsip bahawa seluruh harta pada hakikatnya hanyalah milik Allah SWT. Manusia adalah ditugaskan untuk memegang harta tersebut dan zakat yang diwajibkan itu berfungsi sebagai satu jaminan sosial dalam Islam.
Kelebihan Bersedekah Di Bulan Puasa
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:" Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadhan.”
Riwayat at- Tirmidzi
Huraian
Pengajaran Hadis:
i) Setiap umat Islam seharusnya berlumba-lumba untuk melakukan kebajikan di bulan Ramadhan tanpa memikirkan sebarang kerugian seperti membanyakkan bersedekah kerana balasan di atas setiap satu kebajikan itu adalah amat besar di sisi Allah di hari akhirat kelak.
ii) Bersedekah bukan hanya memberikan wang, tetapi termasuk di dalamnya mengajak berbuka puasa kepada fakir miskin dan orang-orang yang berpuasa.
iii) Konsep "memberi" (bersedekah) harus diterapkan secara maksimum bukan sahaja selama Ramadhan bahkan di bulan-bulan lain juga kerana selalu bersedekah akan memberikan pengaruh yang baik pada peribadi dan masyarakat umumnya di mana seseorang itu akan dapat menghakis sifat kedekut dalam dirinya di samping mempereratkan lagi ikatan kemesraan di dalam anggota masyarakat tanpa mengira taraf dan kedudukan seseorang itu.
iv) Sedekah yang diterima dan bernilai di sisi Allah adalah sedekah yang ikhlas, bukanlah untuk menunjuk-nunjuk.
Puasa Tanpa Berbuka
Dari Ibnu Umar r.a katanya:”Nabi saw. melarang puasa sambung (terus-menerus tanpa berbuka). Para sahabat bertanya: Bukankah baginda sendiri melakukan puasa wisol? Nabi saw. menjawab: “Sesungguhnya aku tidak seperti kalian. Aku diberi makan dan minum.”
Huraian
Makan dan minum wajib hukumnya untuk memenuhi keperluan gizi harian agar dapat meneruskan kehidupan. Lantaran itu Islam sebagai agama yang sederhana tidak menuntut umatnya agar melampau dalam mengerjakan ibadat sehingga mendatangkan mudharat. Sebaik-baik ibadah di sisi Allah adalah yang dilakukan secara istiqamah (berterusan) meskipun sedikit di samping berniat ikhlas kerana Allah SWT dan bukan untuk menunjuk-nunjuk.
Kepentingan zakat
Dari Anas r.a katanya:”Abu Bakar menulis surat kepadanya menjelaskan apa yang diperintahkan rasulullah s.a.w (perihal zakat). Katanya:”Janganlah mengumpulkan yang bercerai dan jangan menceraikan yang berkumpul kerana takut membayar zakat.”
(al-Bukhari)
Huraian
Zakat adalah salah satu daripada rukun Islam yang lima. Zakat diertikan sebagai “tumbuh dan bertambah”. Ianya juga bererti berkat, bersih, suci, subur dan berkembang maju. Firman Allah S.W.T yang bermaksud: “Dan dirikanlah kamu akan sembahyang serta keluarkanlah zakat dan taatlah kamu kepada Rasul supaya kamu beroleh rahmat”. (an-Nur: 56) .Sejarah telah membuktikan bahawa Khalifah Abu Bakar telah memerangi orang-orang yang mengingkari membayar zakat kerana sesungguhnya mereka yang kaya dan berada harus menyedari bahawa di dalam harta mereka wujud hak orang-orang fakir dan miskin. Di antara hikmah Allah S.W.T mensyariatkan zakat ialah:-
• mengagihkan kekayaan dari golongan yang berada kepada golongan yang kurang berada, iaitu sistem sosio ekonomi Islam.
• membersihkan diri membayar zakat.
• membersihkan dan menyuburkan harta pembayar zakat.
• mewujudkan sifat bersyukur terhadap nikmat yang dikurniakan oleh Allah s.w.t di kalangan orang yang berada
• mengurangkan perasaan irihati di kalangan orang yang bernasib baik
Selasa, 25 Ogos 2009
Puasa Boleh Menghapuskan dosa
Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda; “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, akan diampunkan segala dosa-dosanya yang terdahulu.”
(Bukhari & Muslim)
Huraian
1. Antara keistimewaan puasa ialah Allah S.W.T. akan menggandakan pahala bagi orang-orang yang berpuasa melebihi amalan-amalan yang dilakukan pada bulan-bulan yang lain.
2. Orang yang berpuasa dengan penuh keimanan dan ketaqwaan serta mengharapkan keredhaan Allah, maka baginya keampunan dari segala dosa-dosa yang pernah dilakukan itu.
3. Ramadhan adalah bulan yang paling mulia di mana di dalamnya terkandung seribu keberkatan. Malah pada bulan inilah juga Allah S.W.T menurunkan kitab al-Quran.
Ramadhan Dibuka Pintu syurga Dan Ditutup Pintu Neraka
Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda; “Apabila masuk bulan Ramadhan terbukalah pintu-pintu syurga dan terkuncilah segala pintu neraka manakala sekelian syaitan dirantai dan dibuka segala pintu rahmat.”
(Bukhari & Muslim)
Huraian
1. Kelebihan bulan Ramadhan ialah meluasnya rahmat dan kasih sayang Allah SWT dan pada masa yang sama Allah SWT menutup pintu neraka dan merantai segala syaitan yang berkeliaran
2. Umat Islam yang berpuasa pada bulan Ramadhan serta mengamalkan segala yang diperintah dan meninggalkan segala yang ditegah serta tidak berpuasa melainkan kerana iman dan tidak kerana riya' (agar dilihat orang), sum'ah (agar didengar orang), ikut-ikutan, maka baginya keuntungan dan pahala yang berlipat ganda banyaknya bahkan syaitan sedikitpun tidak diberi kesempatan untuk menggoda atau menghasut mereka.
3. Bagi orang yang berpuasa tetapi masih bergelumang dengan dosa bermakna bahawa puasanya sama sekali tidak bermanfaat baginya. Yang diperolehinya hanyalah lapar dan dahaga dan Allah SWT tidak akan menerima amalannya.
Berbuka Yang Diharuskan
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:” Sesiapa yang berbuka puasa Ramadhan bukan kerana rukhsah (kelonggaran) yang dirukhsahkan oleh Allah, tidak dapat diqadha’kan dengan puasa setahun walaupun ia betul-betul (melakukan) puasa setahun itu.”
Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan at-Tirmidzi
Huraian
Pengajaran Hadis:
i) Ketentuan sakit untuk tidak berpuasa adalah sakit yang menyebabkan penderitaan atau menjadi semakin parah jika terus berpuasa, atau akan semakin lambat sembuhnya sesuatu penyakit. Di sisi syarak peranan ahli perubatan (doktor) adalah sangat penting dan diperlukan untuk menentukan apakah seseorang pesakit itu boleh berpuasa ataupun tidak.
ii) Kelonggaran yang biasa diharuskan untuk berbuka puasa itu ialah seperti kepada orang yang terlalu tua atau sakit yang tiada harapan untuk sembuh, orang yang sedang bermusafir, wanita yang mengandung dan menyusukan anak yang ditakuti akan mendatangkan mudharat kepada diri atau pun anaknya dan beberapa jenis keadaan sakit yang lain. Manakala sakit yang ringan seperti sakit kepala dan sebagainya tidak diharuskan meninggalkan puasa. Walhal meninggalkan puasa walaupun sehari, dengan sengaja tanpa alasan yang dibenarkan oleh syarak merupakan satu dosa besar sebagaimana yang pernah tersebut di dalam hadis.
iii) Wanita yang haid dan wanita yang keluar darah nifas adalah golongan yang wajib berbuka puasa tetapi diwajibkan mengqada’kan semula puasanya di bulan yang lain.
iv) Orang yang berbuka puasa pada bulan Ramadhan kerana terlupa, maka tidak wajib qadha dan tidak wajib kifarat kerana terdapat sebuah hadis rasulullah s.a.w menyebutkan yang maksudnya:” Apabila ia (orang yang berpuasa) lupa, kemudian ia makan dan minum, maka hendaklah ia menyempurnakan puasanya, kerana sesungguhnya Allah-lah yang telah memberi makan dan minum kepadanya" ( Bukhari dan Muslim). "
v) Puasa tidak wajib hukumnya ke atas kanak-kanak yang belum baligh tetapi hendaklah dididik dan dibiasakan semenjak kecil untuk berpuasa.
Hakikat Puasa
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:"Puasa itu perisai dan benteng yang membentengi dari sentuhan api neraka.”
Riwayat Ahmad dan Baihaqi
Huraian
Pengajaran Hadis:
i) Seorang Muslim yang sejati ialah orang yang menunggu-nunggu kedatangan bulan Ramadhan dengan penuh persediaan, rindu untuk mengerjakan ibadah puasa dan bercita-cita untuk memenuhi setiap detik Ramadhan dengan pengisian yang bukan sahaja perkara wajib malah berbagai-bagai perkara sunat yang lain.
ii) Oleh itu puasa sepatutnya menjadi pemadam dosa apabila segala ibadat yang dilakukan diterima oleh Allah S.W.T di mana orang-orang yang seperti inilah yang diharamkan jasadnya daripada api neraka.
iii) Di antara ibadat-ibadat yang harus dilakukan bagi meraih keampunan Allah S.W.T itu ialah melakukan solat tarawikh, solat tahjud, solat taubat, membaca al-Quran, beriktikaf di dalam masjid, memperbanyakkan zikir, doa dan beristighfar, membanyakkan sedekah, menjamu orang berbuka puasa dan mengerjakan umrah (bagi yang mampu). Namun amalan-amalan ini hendaklah dikerjakan dengan hati yang ikhlas kerana Allah bukan untuk menunjuk-nunjuk kerana di situlah letaknya keberkatan sesuatu amalan yang dilakukan.
iv) Puasa sebenarnya menggariskan undang-undangnya yang tersendiri dan jika dipraktikkan dengan penuh ketaatan terbukti ia akan mampu mendidik dan mengasuh jiwa yang rakus menjadi lembut seperti malaikat yang sentiasa melakukan ibadah dalam mencari keredaan Allah S.W.T.
Sunat Melambatkan Waktu Bersahur
Daripada Zaid bin Sabit r.a. katanya: “Kami pernah bersahur bersama-sama Rasulullah s.a.w. Selepas itu kami berdiri untuk menunaikan solat subuh, kamipun bertanya kepada baginda: “Berapa jarak sebenar di antara kedua-dua itu? (di antara makan sahur dengan sembahyang subuh)”. Baginda pun menjawab: “sekira-kira cukup membaca lima puluh ayat”.
(al-Bukhari dan Muslim)
Huraian
1. Orang yang hendak makan sahur disunatkan melambatkan berbuat demikian sehingga hampir dengan waktu subuh.
2. Jarak yang paling afdhal untuk bersahur dengan masuknya waktu subuh ialah sekadar lama bacaan lima puluh ayat al-Quran.
3. Umat Islam digalakkan bersahur kerana perbezaan antara puasa orang-orang Islam dengan puasa ahli Kitab ialah dengan makan sahur.
Isnin, 24 Ogos 2009
Ganjaran Puasa Ramadhan
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda, Allah Azza Wajalla berkata:” Melainkan puasa, kerana ia untuk-Ku dan Aku sendiri yang membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku.” Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan; kegembiraan semasa berbuka dan kegembiraan semasa menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang yang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau Musk.”
Riwayat Bukhari & Muslim
Huraian
Pengajaran Hadis:
i) Puasa merupakan perkara ‘dharuriah’ dalam agama di mana sesiapa yang mengingkari wajibnya puasa maka ia menjadi kufur, manakala sesiapa yang meninggalkan puasa tanpa uzur syarie, hendaklah ia dihukum.
ii) Puasa memaksa kita meninggalkan nafsu syahwat walaupun pada perkara yang telah dihalalkan untuk melakukannya (sebelum Ramadhan). Dengan itu puasa sebenarnya dikatakan sebagai pendidik untuk kita menjadi lebih tegas, berdisiplin dan sabar dalam berhadapan dengan sebarang godaan sepanjang Ramadhan berlangsung.
iii) Bulan Ramadhan dikenali juga sebagai bulan prestasi, di mana Allah memberikan kesempatan kepada orang-orang yang beriman untuk memperbaiki darjatnya di sisi Allah S.W.T bahkan di bulan ini semua aktiviti yang harus di sisi syarak dikira sebagai suatu ibadah kepada Allah S.W.T.
iv) Puasa yang dilakukan dengan ikhlas kerana Allah semata-mata akan bernilai sepuluh kebajikan (atau lebih). Oleh itu orang yang puasa di bulan Ramadhan dan diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal dinilai sama dengan puasa sepanjang tahun. Hal demikian disebutkan dalam hadis Rasulullah s.a.w.
v) Ramadhan adalah bulan ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah seperti yang dilakukan oleh para salafus-soleh. Dengan itu kita hendaklah benar-benar berusaha agar tidak ada waktu berlalu tanpa amal soleh sepanjang Ramadhan ini kerana bulan Ramadhan adalah bulan permohonan, munajat, hidayah dan meraih petunjuk kebenaran daripada Allah S.W.T.
Kelebihan Bersahur
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Bersahurlah kamu kerana sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan.”
Riwayat Bukhari & Muslim
Huraian
Pengajaran Hadis:
i) Waktu bersahur ialah bermula pada pertengahan malam hingga terbit fajar namun disunatkan untuk mengakhirkan waktu bersahur iaitu kira-kira 10 atau 15 minit sebelum bilal melaungkan azan Subuh. Rasulullah s.a.w pernah bersabda bahawa waktu bersahur itu adalah bersamaan dengan bacaan 50 ayat suci Al-Quran.
ii) Mengantuk dan letih tidak boleh dijadikan alasan untuk enggan bersahur kerana sahur dapat membantu menguatkan badan orang yang berpuasa untuk mengerjakan ibadat puasa pada sebelah siangnya, di samping sahur itu sendiri adalah satu amalan sunat yang berkat. Menurut Ibnu Hajar Al-Asqalani, yang dimaksud dengan berkat (barakah) itu ialah akan mendapat ganjaran dan pahala di mana Allah akan merahmati orang-orang yang makan sahur dan malaikat juga akan mendoakannya.
iii) Pengambilan makanan sahur adalah titik yang membezakan antara puasa penganut agama lain dengan puasa kaum muslimin kerana penganut lain tidak bersahur sebelum berpuasa.
iv) Waktu sahur adalah waktu yang paling mustajab untuk berdoa kepada Allah S.W.T.
v) Sahur itu boleh dilakukan dengan sedikit makan walaupun cuma seteguk air. Namun tidak digalakkan untuk mengambil terlalu sedikit atau terlalu banyak makanan pada waktu sahur. Memadai dalam anggaran yang secukupnya bagi membantu untuk mengerjakan puasa pada keesokan harinya kerana pengambilan makanan yang terlalu banyak atau terlalu sedikit pasti akan mengganggu kesihatan.
Keutamaan sedekah
Dari Hakim bin Hizam r.a, katanya, Nabi s.a.w bersabda:”Tangan yang di atas (tangan yang memberi) lebih baik dari tangan yang di bawah (tangan yang menerima atau meminta). Maka kerana itu mulailah memberi kepada keluargamu. Sebaik-baik sedekah ialah ketika kaya. Siapa yang memohon dipelihara (agar dia tidak sampai meminta-minta) Allah akan memeliharanya dan siapa yang memohon dicukupkan (agar tidak ada ketergantungan selain kepada Allah) Allah akan mencukupkannya.”
(Bukhari)
Allah Melipatgandakan Pahala Bagi Orang Yang Berpuasa
Rasulullah s.a.w. bersabda: “Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda, Allah Azza Wajalla Berfirman: “Melainkan puasa, kerana ianya untukKu dan Aku sendiri yang akan membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanan keranaKu”. Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan: Kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi disisi Allah daripada bau Misk. (minyak wangi kasturi).
(Al-Bukhari dan Muslim)
Huraian
1. Antara keistimewaan puasa ramadhan ialah Allah akan menggandakan pahala bagi orang-orang yang berpuasa melebihi dari amalan-amalan lain sehingga Allah sendiri yang akan menentukan kadar pahala itu di akhirat.
2. Puasa adalah merupakan ibadat yang paling hampir dengan Allah iaitu bagi mereka yang mengikhlaskan diri kepada Allah. Ini kerana puasa merupakan rahsia antara hamba dan Tuhannya.
3. Dua kegembiraan yang dikurniakan oleh Allah kepada hambanya yang berpuasa;
i) Gembira ketika berbuka puasa dengan hidangan yang lazat apatah lagi semasa perut sedang lapar dan dahaga.
ii) Gembira kerana akan dapat menemui dan melihat Allah di dalam syurga kelak. Dan inilah nikmat yang agung yang dikurniakan oleh Allah kepada hamba-hambanya yang beriman.
keutamaan saf utama
al-Bara' bin 'Aazib r.a
Huraian
Pengajaran Hadith: i) Umat Islam digesa agar bersegera mengerjakan solat termasuklah solat berjamaah.
ii) Allah S.W.T. menjanjikan bahawa sesiapa yang bersolat di saf yang pertama akan mendapat ganjaran yang lebih daripada orang yang berada di saf yang selainnya.
Jangan Melengah-lengahkan Waktu Berbuka
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Manusia tidak henti-hentinya mendapat kebaikan selama mereka mempercepatkan berbuka puasa.”
Riwayat Bukhari dan Muslim
Huraian
Pengajaran Hadis:
i) Menyegerakan berbuka adalah antara perkara yang disunatkan di dalam Islam kerana ia membezakan antara cara puasa oarang-orang Yahudi dan Nasrani yang sengaja melambat-lambatkan waktu berbuka.
ii) Sunat berbuka puasa dengan tamar (kurma) sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. Ini adalah kerana tamar mengandungi karbohidrat yang tinggi di samping mengandungi asid amino. Di antaranya ialah triptofan yang didapati boleh menenangkan perasaan.
iii) Antara hikmah disunatkan berbuka dengan buah tamar juga adalah kerana kandungan gula di dalam kurma adalah lebih mudah diserap oleh badan berbanding dengan makanan manis yang lain di mana badan akan segera kembali segar setelah seharian berpuasa. Sebaliknya jika seseorang itu berbuka puasa dengan memulakan pengambilan makanan yang berat tanpa memulakan makanan yang manis, maka gula yang diambil kemudiannya memerlukan waktu yang lebih lama iaitu antara 3-4 jam sebelum dapat diserap oleh usus.
iv) Dari sudut perubatan puasa itu sendiri sebenarnya merupakan satu kaedah perubatan yang dapat mengubati gangguan usus selain boleh mengawal berat badan dan mengubati penyakit kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung.
v) Setiap Muslim hendaklah memastikan bahawa makanan yang dimakan sewaktu berbuka adalah yang halal dan bersih bukan makanan yang haram atau syubhat selain berwaspada dengan kuantiti makanan yang diambil itu sendiri iaitu janganlah terlalu banyak sehingga menyebabkan badan terasa berat untuk mengerjakan ibadat seperti solat terawih dan sebagainya.
Menderma Untuk Diri Sendiri
Dari Abu Dzar katanya:”Aku berkata kepada rasulullah s.a.w :”Pekerjaan manakah yang paling utama?” Jawab Rasulullah s.a.w:”Beriman kepada Allah dan berjihad di jalan Allah.” Aku bertanya lagi:”Membebaskan sahaya manakah yang paling utama?” Jawab baginda:”yang paling dikasihi oleh tuannya dan yang termahal harganya.” Aku bertanya pula:” Jika saya tidak melakukan itu semua?” Jawab baginda:”Membimbing pembuat sesuatu sedangkan orang itu tidak berkeahlian.” Berkata Abu Dzar:”Ya Rasulullah s.a.w, terangkanlah kepada saya bagaimana jika saya tidak kuasa melakukan sesuatu pekerjaan? Jawab baginda:”Jangan membuat bencana terhadap orang lain, kerana hal itu sebagai dermamu kepada dirimu sendiri.”
(Muslim)
Huraian
Semua orang mempunyai hak untuk mendapat ketenangan dan kebahagiaan. Jika semua hak-hak ini dihormati, maka dunia akan selamat dan seluruh penghuninya akan berbahagia, sekalipun tingkat kebahagiaan itu berbeza-beza. Bagi insan yang beriman dan beramal soleh mereka akan sentiasa mencari-cari jalan yang boleh mendekatkan diri mereka kepada Allah S.W.T kerana dengan cara itu mereka akan merasa tenang dan bahagia. Bahkan pembalasan syurga adalah idaman setiap manusia yang benar-benar menyedari akan hakikat kehidupan di dunia ini. Namun begitu tidak semua manusia berupaya melakukan pengorbanan apatah lagi jika ia memerlukan keikhlasan dari hati yang benar-benar suci dan murni tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Tetapi itulah yang paling bernilai di sisi Allah S.W.T. Oleh itu demi mengatasi kesulitan dalam menyempurnakan tanggungjawab selaku seorang muslim agar kehidupan terus menjadi aman dan bahagia, kita janganlah melakukan pekerjaan yang boleh mengganggu kesejahteraan orang lain dan perbanyakkanlah melakukan kebajikan kerana inilah yang sebenar-benarnya ajaran agama kita yang menyuruh supaya menghormati semua orang, tidak mengganggu setiap hak orang lain sama ada hak peribadi, hak bermasyarakat hinggalah sampai kepada hak bernegara. Apabila semua ini dilaksanakan dengan sebaiknya bukan sahaja seseorang individu itu disenangi malah imej agama juga akan bersih daripada sebarang fitnah yang mencacatkan.
Kalimah Syahadah
Daripada ‘Itban bin Malik r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Tiada seorang pun yang mempersaksikan bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan sesungguhnya aku adalah utusan Allah lalu ia masuk neraka ataupun neraka membakarnya.”
(al-Bukhari dan Muslim)
Huraian
Mengucap dua kalimah syahadah adalah salah satu daripada Rukun Islam. Ia mesti dizahirkan dengan lidah, dibenarkan dengan hati dan dilaksanakan dengan anggota badan. Ini adalah satu bentuk pengakuan beriman yang lahir dari hati yang ikhlas beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Sesiapa yang membuat suatu pengakuan dan bersyahadah tetapi tidak mempercayai perkara yang disebutkannya, maka penyaksiannya adalah dusta dan bohong kerana perkara yang dinyatakan itu adalah tidak selari dengan keyakinannya sendiri dan itu adalah di antara sifat orang-orang munafik.
Jumaat, 21 Ogos 2009
Manusia Yang Dikasihi Dan Dibenci Oleh Nabi Saw
Rasulullah s.a.w bersabda, bermaksud:
“Sesungguhnya orang-orang yang paling aku kasihi di kalangan kamu dan orang yang paling dekat tempat duduknya denganku dihari kiamat ialah orang yang paling baik akhlaknya. Sesungguhnya orang yang paling aku benci dan paling jauh dariku pada hari kiamat ialah orang yang banyak bercakap perkara sia-sia, dan berlagak angkuh, sombong malah ia merasa bangga dengan kesombongannya.” Para sahabat bertanya lagi, “wahai Rasulullah, sesungguhnya kami telah mengetahui maksud perkataan orang-orang yang suka bercakap banyak yang sia-sia, dan yang berlagak angkuh dan sombong, tetapi apakah maksud orang yang bangga dengan kesombongannya? Jawab Rasulullah “ialah orang yang takbur.”
Riwayat at-Tarmizi
Huraian
1. Orang yang berakhlak mulia adalah orang yang paling dikasihi oleh Rasulullah dan diberi tempat yang paling dekat dengan baginda di hari kiamat nanti.
2. Bercakap-cakap kosong atau perkara-perkara yang sia-sia dan membuat fitnah adalah perbuatan yang dilarang oleh agama kerana ia tidak mendatang apa-apa kebaikan bahkan bakal mengundang azab di hari akhirat kelak.
3. Islam juga melarang umatnya bersifat membangga diri dan memandang rendah serta menghina orang lain tetapi hendaklah bersifat tawaduk dan rendah diri demi menjaga hati dan perasaan orang lain.
Bersyukur
Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:
“Sesiapa yang diberi suatu kebaikan hendaklah ia mengingatinya, sesiapa yang mengingatinya ia dianggap bersyukur. Sesiapa yang tidak mengenangkan budi yang diberi ia dianggap sebagai kufur nikmat.”
Riwayat At-Tabrani
Huraian
Pengajaran Hadith:
i) Bersyukur adalah satu tindak balas yang baik sama ada melalui perkataan atau perbuatan terhadap kebaikan yang diterima oleh seseorang.
Ii) Sebenarnya tidak ada sesiapa yang berhak menerima kesyukuran dan pujian, selain daripada Allah S.W.T kerana terlalu besar nikmat dan pemberian yang diberikan oleh Allah kepada kita. Oleh itu sebagai tanda bersyukur kepada Allah kita hendaklah mengekalkan baik sangka kepada-Nya serta meletakkan keyakinan kepada Allah S.W.T dalam apa jua keadaan diiringi dengan ketaatan dalam beribadah.
Iii) Budaya bersyukur hendaklah disuburkan dalam masyarakat di mana rakyat hendaklah disedarkan supaya menghargai keamanan dan kemakmuran negara, tidak lupa daratan sehingga menyalahgunakan kemewahan untuk pembaziran, melakukan maksiat dan gejala tidak sihat yang mengakibatkan berlakunya kerosakan dan bencana pada diri, keluarga dan masyarakat. Semua ini menunjukkan tanda kufur terhadap nikmat Allah S.W.T dan kesudahannya ia akan menjerumuskan masyarakat dan negara kepada kerosakan dan kehancuran.
iv) Tanda bersyukur dalam perkhidmatan pula adalah dengan menjadikan khidmat kepada negara dan orang ramai sebagai satu ibadah, bukan semata-mata untuk mencari nafkah kerana tujuan seseorang itu diambil berkhidmat adalah untuk menggerakkan jentera kerajaan supaya ia dapat memberikan khidmat yang memuaskan kepada orang ramai dan untuk meningkatkan kemajuan dan kemakmuran negara.
Balasan Mentauhidkan Allah
Daripada Abu Malik al-Asyja’iy daripada bapanya bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “ Sesiapa yang mentauhidkan Allah dan mengkufurkan apa-apa yang disembah selainnya nescaya diharamkan hartanya dan darahnya dan hisabnya menjadi tanggungjawab Allah Azza wa Jalla.”
(Muslim dan Ahmad)
Huraian
Mengikut istilah syarak, makna tauhid adalah menjadikan Allah sebagai satu-satunya Tuhan yang disembah. Daripada makna ini dapat difahamkan bahawa dalam sekian banyak sembahan yang dilakukan oleh manusia, sama ada yang menyembah manusia, batu, patung berhala dan sebagainya, hanya orang yang mentauhid dan menyembah Allah semata-mata dikira sebagai tidak mensyirikkan Allah. Mereka inilah yang memiliki tauhid uluhiyyah iaitu menyerahkan semua ibadah kepada Allah semata-mata, tidak kepada yang lain. Sedangkan orang kafir jahiliah selain beribadah kepada Allah, mereka juga memohon, berdoa dan meminta kepada yang selain daripada Allah seperti mana mereka bertenung nasib, mempercayai keramat, tangkal azimat dan seumpama dengannya. Inilah yang disanggah oleh Rasulullah SAW padahal Allah SWT telah berfirman yang maksudnya: “Tidak ada sesuatu pun yang menyerupai Allah.. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar Lagi Maha Melihat” (Asy-Syura: 11) Sesungguhnya sesiapa yang mentauhidkan Allah hingga sampai ke tahap ‘hanya kepada Engkau kami menyembah dan hanya kepada Engkau kami meminta pertolongan” maka Allah SWT akan memasukkannya ke dalam syurga, diharamkan hartanya dan darahnya dan hisabnya menjadi tanggungjawab Allah sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis di atas. Malah, mentauhidkan Allah adalah tujuan utama penciptaan makhluk seperti mana yang ditegaskan oleh Allah SWT di dalam firman-Nya yang bermaksud: "Dan tidak Aku ciptakan jin dam manusia itu kecuali untuk mengabdikan diri kepada-Ku". (al-Zaariyat: 56).
Curian Syaitan
Dari Aisyah r.a katanya:” Aku bertanya kepada Rasulullah SAW perihal menoleh atau berpaling di dalam solat.” Jawab baginda:”Hal itu adalah suatu kecurian yang dilakukan oleh syaitan terhadap solat seseorang.”
(Bukhari)
Huraian
Tidak khusyuk dan banyak gerakan dalam solat seperti memandang ke langit (atas) atau menoleh ke kiri dan ke kanan ketika solat adalah mempamerkan sifat tidak berdisiplin seseorang itu ketika bersolat. Hal ini amat ditegah kerana Rasulullah SAW pernah memperkatakannya dalam sabda baginda yang bermaksud: Ertinya : "Apabila kamu solat, janganlah kamu menoleh (ke sana sini iaitu tidak memfokuskan pandangan), kerana Allah SWT mengarahkan wajah-Nya ke wajah hamba-Nya yang sedang bersolat selagi mana hamba-Nya tidak menoleh ke arah lain" (al-Bukhari dan Abu Daud ; fath al-Bari, 2/304 ) Juga sebuah hadith lain ada menyebut yang maksudnya: "Dan jauhilah orang yang menoleh dalam solat kerana sesungguhnya ia adalah suatu kebinasaan." (at-Tirmidzi) Justeru, difahami dari tegahan ini bahawa kita disuruh agar menumpukan hati dan minda kepada Allah SWT semasa solat dan tidak lalai atau dilalaikan oleh sesuatu yang lain kerana itu adalah satu helah syaitan (curian syaitan) untuk menyesatkan manusia daripada mengingati Allah SWT.
Khamis, 20 Ogos 2009
Situasi Berbeza; Rakaat Berbeza
Dari Ibnu Abbas r.a katanya:”Allah mewajibkan solat melalui lidah nabi s.a.w, empat rakaat ketika muqim (menetap), dua rakaat ketika musafir dan satu rakaat ketika takut.”
(Muslim)
Batasan Tegas Antara Iman Dan Kufur
Daripada Jabir r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “ Di antara hamba Allah dan di antara kufur ialah meninggalkan solat.”
(Muslim dan at-Tirmidzi)
Huraian
Ulama’ berbeza pendapat mengenai hukum mereka yang meninggalkan solat secara sengaja.
1) Golongan pertama berpendapat bahawa orang yang meninggalkan solat secara sengaja kerana malas atau lalai tanpa mengingkari akan kewajipannya, mereka tergolong dalam golongan yang fasik (melakukan dosa besar) tetapi tidak kafir. Manakala mereka yang meninggalkan solat secara sengaja dan menolak akan kewajipannya, maka mereka adalah kafir. Golongan ini juga berpendapat semua bentuk kesalahan di atas muka bumi ini masih boleh diampunkan oleh Allah kecuali dosa syirik.
2) Golongan kedua berpendapat mereka yang meninggalkan solat secara sengaja kerana malas atau lalai, sama ada mengakui kewajipan solat atau tidak, semua mereka ini termasuk dalam golongan kafir dan terkeluar daripada Islam. Mereka ini hendaklah bertaubat serta mengucapkan dua kalimah syahadah semula. Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW secara jelas menunjukkan bahawa ibadat solat adalah penentu keimanan seseorang. Meninggalkan solat dengan sengaja boleh menyebabkan pelaku gugur keimanannya.
3) Menurut Imam al-Syafie pula bahawa sesiapa yang meninggalkan solat sedangkan dia seorang Muslim, maka dia harus ditanya: “Mengapa kamu tidak bersolat? Jika dia menjawab: Saya terlupa. Maka katakanlah: Solatlah engkau ketika sudah ingat. Jika dia menjawab: Kerana saya sakit. Maka katakanlah kepadanya: Solatlah semampu mu; berdiri, duduk atau berbaring atau dengan isyarat. Apabila dia menjawab: Saya mampu untuk bersolat, tetapi saya tidak solat dan saya akui solat itu wajib hukumnya. Maka katakanlah kepadanya: Solat itu adalah amal yang tidak boleh diwakilkan kepada yang lain. Ia wajib dikerjakan oleh kamu oleh itu bertaubatlah. Jika tidak kami akan membunuh mu.(Manhaj Aqidah Imam Asy-Syafie karya Dr Muhammad A W al-Aqil).
Demikianlah seriusnya hukuman terhadap mereka yang meninggalkan solat secara sengaja.
Perumpamaan Orang Munafiq
Dari Ibnu Umar r.a, dari nabi s.a.w sabdanya:”Perumpamaan orang munafiq seperti seekor kambing betina yang bingung mengikuti dua ekor kambing jantan. Sekali ia hendak mengikut yang ini, kali yang lain pula hendak mengikut yang itu.”
(Muslim)
Menjaga Keselamatan Orang Ramai
Daripada Musa bin Ismail, dari Abdul Wahid, dari Burdah bin Abdullah, dari bapanya dari nabi s.a.w, baginda bersabda:”Sesiapa melintas di masjid-masjid atau di pasar-pasar kami dengan membawa anak panah maka hendaklah ia memegang mata anak panahnya dengan tapak tangannya supaya tidak melukakan seseorang Islam.”
(Bukhari)
Huraian
Masjid ataupun tempat-tempat awam seperti pasar, bank dan sebagainya merupakan tempat selamat tanpa perlu diragui akan berlakunya kemalangan dan sebagainya. Namun tidak kurang ada yang tidak prihatin soal keselamatan orang ramai dengan membawa sesuatu yang boleh membahayakan contohnya senjata tajam atau senjata api sehingga membabitkan kemalangan seperti luka akibat terpijak, tertusuk atau tertembak. Ini dikecualikan bagi jenayah terancang yang biasa berlaku seperti rompakan di bank dan tembakan rambang yang dilakukan di kawasan-kawasan awam yang sememangnya bersifat tidak berperi kemanusiaan. Perkara paling patut dielakkan ialah daripada bersikap mementingkan diri sendiri dengan membawa sesuatu peralatan dengan niat untuk menjaga keselamatan diri tetapi alat itu tidak dijaga dengan baik sehingga mengancam nyawa dan keselamatan orang lain. Sesungguhnya Islam amat mementing nyawa manusia dan memperuntukkan undang-undang khusus berkaitannya. Setiap kemalangan yang berlaku sama ada disengajakan ataupun tidak tidak akan terlepas dari tindakan undang-undang.
Luruskan Saf!
Dari Anas r.a, dari nabi s.a.w sabdanya:”Luruskan saf! Aku dapat melihatmu di belakangku. Di antara kami ada yang bertemu bahu dengan bahu kawannya dan tumit dengan tumit.”
(al-Bukhari)
Amalan Sebelum Tidur
Dari Abu Hurairah r.a, dari nabi s.a.w baginda bersabda:”Apabila seseorang kamu datang ke tempat tidurnya (hendak tidur), hendaklah dikipaskannya dengan hujung kainnya tiga kali dan hendaklah dibacanya:”Dengan nama Engkau Ya Tuhan, aku rebahkan rusukku (tidur) dan dengan nama Engkau aku angkat (bangun). Jika engkau ambil jiwaku, hendaklah Engkau ampuni dan jika Engkau lepaskan (kembalikan) hendaklah Engkau pelihara sebagaimana engkau memelihara hamba-hamba Engkau yang soleh.”
(Muslim)
Huraian
Islam tidak hanya menyuruh seseorang itu tidur, malah menekankan bahawa ia adalah hak badan yang perlu ditunaikan. Dalam hadith yang lain diceritakan bahawa Baginda Nabi telah memasuki masjid dan ternampak seutas tali yang merentangi dua tiang. Selepas bertanya, Baginda diberitahu bahawa tali itu adalah kepunyaan Zainab agar dia dapat berpaut kepadanya ketika keletihan melakukan solat. Nabi pun terus mengeluarkan arahan: "Buka tali ini! Hendaklah salah seorang di antara kamu bersolat ketika dirinya cergas, dan ketika sudah mengantuk, hendaklah tidur" - (Bukhari-Muslim) Sesungguhnya tidur adalah suatu kematian yang sementara sedangkan hidup dan mati itu di tangan Allah. Tiada siapa yang tahu bila kita akan mati dan bagaimana kita akan menghadapi detik-detik apabila roh terlerai dari jasad. Bukan jarang kita mendengar orang yang mati ketika sedang tidur ! Oleh itu selaku orang Islam kita dituntut agar membaca doa sebelum melelapkan mata supaya terhindar daripada perkara yang tidak diingini iaitu mati dalam keadaan mengejut. Ingatlah bahawa menghisab amalan sebelum tidur akan menyedarkan kita tentang hari akhirat kelak. Ia menjadikan kita insaf agar tidak mensia-siakan usia dan masa yang diperuntukkan.
Hukum Meninggalkan Solat Wajib
Sabda Rasulullah s.a.w, maksudnya: “Sesiapa yang lupa akan sesuatu solat, maka hendaklah ia mengerjakan solat itu jika ia telah mengingatinya, tiada tebusan lain untuk solat itu kecuali solat yang dilupakannya, sesuai dengan firman Allah yang maksudnya:” Dan dirikanlah solat untuk mengingati-Ku.”
Riwayat al-Bukhari
Huraian
1. Solat merupakan tanda pertalian terus seorang hamba dengan Allah. Islam memfardhukan ke atas umatnya melaksanakan solat wajib sebanyak lima waktu sehari semalam.
2. Solat merupakan tiang agama.Oleh itu sesiapa yang mengerjakannya bermakna ia telah menegakkan agamanya. Manakala orang yang meninggalkannya bermakna ia telah meruntuhkan agamanya.
3. Bagi orang yang meninggalkan solat disebabkan malas atau sengaja hukumnya adalah fasik dan telah melakukan dosa besar iaitu mengabaikan salah satu daripada Rukun Islam.
4. Sebagaimana yang ditetapkan oleh Islam bahawa solat wajib mesti dilakukan dalam apa keadaan sekalipun, maka solat wajib yang ditinggalkan dianggap sebagai hutang yang mesti dilangsaikan sebagaimana resminya setiap hutang itu wajib dibayar. Maka apabila sedar tentang kesilapan masa lalu, seorang muslim itu hendaklah segera bertaubat dan mengqadha’ solatnya yang tertinggal itu.
Rabu, 19 Ogos 2009
Do'a malaikat Jibril menjelang Ramadhan " "Ya Allah tolong abaikan puasa ummat Muhammad, apabila sebelum memasuki bulan Ramadhan dia tidak melakukan hal-hal yang berikut:
* Tidak memohon maaf terlebih dahulu kepada kedua orang tuanya (jika masih ada);
* Tidak berma'afan terlebih dahulu antara suami isteri;
* Tidak bermaafan terlebih dahulu dengan orang-orang sekitarnya.
Maka Rasulullah pun mengatakan Amiin sebanyak 3 kali. Dapatkah kita
bayangkan, yang berdo'a adalah Malaikat dan yang meng-amiinkan adalah
Rasullullah dan para sahabat , dan dilakukan pada hari Jumaat.
Oleh itu SAYA TERLEBIH DAHULU MEMOHON MAAF DARI HUJUNG RAMBUT SAMPAI HUJUNG KAKI jika ada berbuat kesalahan, baik yang tidak di sengaja maupun yang di sengaja , semoga kita dapat menjalani ibadah puasa dengan khusyuk, diberkati dan dirahmati Allah S.W.T, insyaallah.
welcome ramadhan
Puasa ertinya menahan diri daripada makan dan minum dan dari segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, mulai dari terbit fajar hinggalah terbenam matahari. Umat Islam juga dikehendaki menahan diri daripada menipu, berkata-kata yang buruk atau sia-sia, dan daripada bertengkar atau bergaduh. Ini kerana puasa merupakan medan latihan kesabaran, kejujuran dan bertolak ansur sesama sendiri. Maka secara tidak langsung, puasa juga menolong menanam sikap yang baik dan berbudi. Dan kesemuanya itu diharapkan berlanjutan ke bulan-bulan berikutnya, dan tidak hanya pada bulan puasa.
Dalil
Firman Allah S.W.T:
“ “ Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa. “ - (Surah Al-Baqarah: 183)
”
Hadis Rasulullah s.a.w: Ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w melalui sabdanya yang diriwayatkan oleh Ahmad, An- Nasa'i dan Al Baihaqi dari Abu Hurairah, yang bermaksud:
“ " Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadhan bulan yang penuh berkat. Allah telah fardhukan ke atas kamu berpuasa padanya. Sepanjang bulan Ramadhan itu dibuka segala pintu Syurga dan ditutup segala pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan......." ”
Niat puasa Ramadhan
Tidak wajib dan tidak juga sunat berniat dalam bahasa Arab, memadai dalam bahasa Melayu atau apa-apa bahasa yang kita fahami. Tetapi baik dan berpahala jika diamalkan dalam bahasa Arab dengan niat kita cinta kepada bahasa Arab sebagai bahasa Nabi Muhammad s.a.w. dan bahasa al-Quran.
Lafaz niat
Lafaz setiap malam. Niat ringkas:
نَوَيْتُ صَوْمَ رَمَضَانَ لِلَّهِ تَعَالَى
Niatnya: Sahaja aku puasa Ramadhan kerana Allah Taala.
Lafaz lengkap:
نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ أَنْ أَدَاءِ فَرْضِ رَمَضَانَ هَذِهِ السَّنَةِ لِلَّهِ تَعَالَى
Niatnya: Sahaja aku puasa esok hari pada bulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala.
• Sebenarnya bangun untuk bersahur itu sudah dikira berniat untuk berpuasa.
Lafaz niat puasa Ramadhan sepenuhnya untuk sebulan:
Lafaznya:
نَوَيْتُ صَوْمَ شَهْرِ رَمَضَانَ كِلِّهِ لِلَّهِ تَعَالَى
Niatnya: Sahaja aku puasa untuk sebulan pada bulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala.
• Digalakkan berniat puasa untuk sebulan dengan sekali niat pada malam pertama Ramadhan bagi mengelakkan daripada tidak sah puasa kerana terlupa berniat pada malamnya, kita mengikut Imam Malik yang membolehkan berniat untuk sebulan sekali gus.
• Namun begitu, jika puasa Ramadhan kita terputus oleh sesuatu sebab, seperti haidh, sakit atau lain-lain, maka niat puasa sebulan itu tidak lagi memadai untuk hari-hari puasa yang seterusnya, tetapi, hendaklah diperbaharui niat apabila tidak ada lagi perkara yang menghalang daripada puasa berturut-turut tersebut. Maksudnya, dengan memperbaharui niat sekali lagi bagi semua hari-hari puasa Ramadhan yang berbaki, iaitu niatnya:
“Sahaja aku berpuasa esok dan sehingga akhir Ramadhan ini kerana Allah Ta’ala”.
Waktu berniat
Waktu berniat bermula daripada terbenam matahari, yakni masuk waktu sembahyang fardhu Maghrib hinggalah sebelum terbit fajar shadiq (waktu Subuh). Oleh itu, bolehlah dilakukan niat puasa pada mana-mana bahagian daripada waktu tersebut, walaupun semasa berbuka.
Hukum puasa
Puasa Wajib
1. Puasa di bulan Ramadhan merupakan salah satu daripada Rukun Islam. Syariat puasa Ramadhan difardhukan kepada umat Muhammad s.a.w. pada tahun ke-2 Hijrah. Makanya, wajiblah ia dilakukan oleh semua orang Islam.
2. Puasa Kifarah.
3. Puasa Nazar.
Puasa Sunat
Hari-hari berikut disunatkan berpuasa bagi umat Islam:
1. Puasa enam hari pada bulan Syawal
2. Puasa pada Hari Arafah pada 9 Zulhijjah
3. Puasa pada Hari Asyura pada 10 Muharam
4. Puasa pada Hari Isnin dan Khamis
Puasa Haram
1. Puasa pada Hari Syak pada hari 30 Syaaban
2. Puasa pada Hari Raya Aidil Fitri pada 1 Syawal
3. Puasa pada Hari Raya Aidil Adha pada 10 Zulhijjah
4. Puasa pada Hari Tasyrik pada 11, 12, 13 Zulhijjah
5. Puasa perempuan haid & Nifas
6. Puasa sunat seorang perempuan tanpa izin suaminya
7. Puasa bagi orang yang bimbang berlakunya mudharat ke atas dirinya kerana berpuasa
8. Puasa untuk orang lain dan yang ghaib serta tidak diniatkan kepada Allah SWT
Syarat wajib puasa
Orang-orang Islam yang memenuhi syarat-syarat di bawah ini diwajibkan berpuasa pada bulan Ramadhan:
• Berakal/waras
• Baligh (cukup umur)
• Mampu/tidak uzur.
Syarat sah puasa
Manakala syarat puasa itu diterima di dalam Islam (sah) ialah:
• Orang Islam
• Berakal - tidak sah jika gila atau kanak2 belum mumayyiz
• Suci daripada haid dan nifas
• Dalam waktu yang dibolehkan berpuasa, iaitu bukan dalam tempoh haram puasa.
Rukun puasa
Rukun puasa ada dua, iaitu:
• Berniat pada malam harinya
• Menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa mulai terbit fajar hingga terbenam matahari.
Sunat puasa
Perkara-perkara berikut disunatkan ketika berpuasa:
• Makan sahur serta melambatkannya
• Menyegerakan berbuka dan sunat berbuka dengan buah kurma atau benda-benda yang manis atau air
• Menjamu orang-orang berbuka puasa
• Memperbanyakkan ibadah dan berbuat kebaikan.
Perkara yang membatalkan puasa
Manakala perkara-perkara berikut akan membatalkan puasa jika terjadi:
• Makan dan minum dengan sengaja walaupun pada nilaian dan kadaran yang sedikit pun,seperti memakan saki baki makanan kecil yang terlekat pada celah gigi dan lain-lain lagi.
• Muntah dengan sengaja
• Bersetubuh atau keluar air mani dengan sengaja
• Keluar darah haid atau nifas
• Gila (hilang akal)
• Pitam(termasuk pengsan) atau mabuk sepanjang hari.
• Merokok disiang hari.(Termasuk menghisap ganja atau dadah)
• Murtad (keluar dari Islam)
• Memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka seperti menyembur pewangi atau menyegar mulut dan sebagainya.Larangan ini tidak termasuk memasukkan air atau udara kedalam rongga terbuka kerana ingin berwuduk atau melegakan kesakitan dan ketidakselesaan pada rongga(dengan syarat air tersebut tidak diminum atau ditelan dengan sengaja).
Mereka yang diizinkan berbuka
Terdapat kelonggaran (harus) kepada golongan yang berikut untuk berbuka:
• Orang yang sakit .
• Orang yang berkerja buruh.
• Orang yang dalam musafir (perjalanan).
• Orang tua yang sudah lemah.
• Orang yang hamil dan ibu yang menyusukan anak.
Doa buka puasa
اللهم لك صمت وبك امنت وعلى رزقك أفطرت
Ya Allah, Aku telah berpuasa untuk Kau dan pada Kaulah aku mempercayai dan aku membuka puasa dengan apa yang Kau berikan
Tingkatan Puasa
Imam Abu Hamid al-Ghazali dalam bukunya Ihya al-'Ulumuddin telah membahagikan puasa itu kepada 3 tingkatan:
1. Puasanya orang awam (shaum al-'umum): menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti makan dan minum.
2. Puasanya orang khusus (shaum al-khusus): turut berpuasa dari panca indera dan seluruh badan dari segala bentuk dosa.
3. Puasanya orang istimewa, super khusus (shaum al-khawasi al-khawas): turut berpuasa 'hati nurani', iaitu tidak memikirkan sangat soal keduniaan
Pembahagian di atas memberikan umat Islam ruang untuk berfikir dan menelaah tingkat manakah mereka berada.
Kerugian meninggalkan puasa Ramadhan
Pahala puasa Ramadhan amat besar. Orang yang meninggalkan puasa dengan sengaja, bukan saja telah melakukan satu dosa besar, bahkan dia mengalami satu kerugian yang amat besar, satu hari puasa yang ditinggalkan tersebut tidak boleh ditebus dengan apa jua cara, tidak boleh ditukar ganti, sekalipun orang yang meninggalkannya berpuasa seumur hidupnya. Ini jelas sebagaimana sabda Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam: Maksudnya: “Sesiapa berbuka satu hari pada bulan Ramadhan tanpa ada rukhshah (uzur syarak) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan dapat menggantikan puasa yang ditinggalkannya itu, sekalipun dia berpuasa seumur hidup.” (Hadis riwayat Tirmidzi, Abu Daud, Nasa’i, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah).
sumber: Wikipedia
(Islam Akidah (Rukun Iman))
1Mukmin
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: ”Perumpamaan orang mukmin dalam kasih sayang, ramah mesra dan hubungan baik mereka adalah seperti satu jasad, apabila satu anggota padanya sakit akan menyebabkan semua anggota berjaga malam menahan sakit.”
Riwayat Muslim
Huraian
1. Umat Islam hendaklah hidup bersatu padu dan harmoni kerana ini merupakan kunci kekuatan ummah.
2. Sifat benci-membenci dan hasad dengki mesti dihapuskan kerana ia akan membawa kepada perpecahan dan kemunduran sebaliknya kita mestilah saling bantu membantu, mengambil berat dan berkerjasama demi meningkatkan pembangunan ummah.
3. Islam amat menyukai umatnya yang sanggup berkorban untuk saudaranya bahkan ganjaran bagi orang yang berbuat demikian adalah sangat besar di sisi Allah S.W.T.
Disiplin Dalam Solat
Dari Abu Hurairah r.a., katanya:”Bersabda Muhammad s.a.w.:” Tiadakah takut orang yang mendahului imam mengangkatkan kepala sebelum imam, bahwa Allah akan mengubah kepalanya menjadi keldai?”
(Muslim)
Huraian
Solat merupakan satu ibadah yang amat penting sehinggakan ketika sedang berperang sekalipun ia tidak boleh ditinggalkan. Solat juga merupakan tiang agama. Imam Al-Baihaqi meriwayatkan, Nabi SAW bersabda, “Solat itu tiang agama, sesiapa yang meninggalkannya dia meruntuhkan agama.” Malah batas antara iman dan kufur ialah solat. Melaksanakan solat mestilah mengikut peraturan yang ditetapkan yang merupakan sebahagian daripada disiplin yang wajib dilaksanakan. Demikian juga solat turut membentuk disiplin pelakunya terutama jika kita solat berjamaah yang menuntut supaya menghormati imam (ketua) dan tidak boleh mendahului imam dalam setiap pergerakan. Oleh itu jika seseorang itu sentiasa menjaga disiplinnya dalam bersolat nescaya dia juga akan menjadi efisien di dalam pekerjaan yang dilakukannya.
Selasa, 18 Ogos 2009
Waktu Imsak Dan Berbuka Puasa Negeri-Negeri Seluruh Malaysia Tahun 1430H/2009M
Waktu Imsak Dan Berbuka Puasa Negeri-Negeri Seluruh Malaysia
Tahun 1430H/2009M
Sumber: Bahagian Pengurusan Fatwa Dan Pembangunan Ijtihad, Jakim
Menjaga Hati
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Ketahuilah bahawa dalam jasad manusia ada seketul daging (segumpal darah), jika baik maka baiklah seluruh anggota dan jika rosak maka rosaklah seluruh anggota, itulah hati.”
Bukhari dan Muslim
Huraian
i) Diri manusia terbahagi kepada dua iaitu fizikal dan spiritual. Spiritual tersebut termasuklah akal, nafsu, perasaan dan yang paling utama ialah hati kerana tindakan, prilaku dan sikap seseorang dipengaruhi oleh hati.
ii) Hati dan perasaan haruslah dijaga dari sifat-sifat yang merosakkan. Ia hendaklah dipandu ke arah jalan yang betul berdasarkan ajaran Islam yang sebenar. Jika tidak, hati akan dikuasai oleh nafsu dan syaitan yang menyebabkan pelbagai penyakit seperti hasad dengki, tamak, pemarah, riya’ dan sebagainya. Maka untuk membersihkan hati yang kotor hendaklah membiasakan diri dengan berzikir, bertasbih dan bertahmid kepada Allah.
Nabi Idris AS (ادريس)
“Dan ceritakanlah { hai Muhammad kepada mereka , kisah } Idris yang terdapat tersebut di dalam Al-Quran. Sesungguhnya ia adalah seorang yang sangat membenarkan dan seorang nabi. 57 – Dan Kami telah mengangkatnya ke martabat yang tinggi.” ( Maryam : 56 – 57 )
Nabi Idris adalah keturunan keenam dari Nabi Adam putera dari Yarid bin Mihla’iel bin Qinan bin Anusy bin Syith bin Adam AS dan adalah keturunan pertama yang dikurniai kenabian menjadi Nabi setelah Adam dan Syith.
Nabi Idris menurut sementara riwayat bermukim di Mesir di mana ia berdakwah untuk agama Allah mengajarkan tauhid dan beribadat menyembah Allah serta membeeri beberapa pendoman hidup bagi pengikut-pengikutnya agar menyelamat diri darii seksaan di akhirat dan kehancuran serta kebinasaan di dunia. Ia hidup sampai usia 82 tahun.
Diantara beberapa nasihat dan kata-kata mutiaranya ialah :
1 . Kesabaran yang disertai iman kepada Allah membawa kemenangan.
2 . Orang yang bahagia ialah orang yang berwaspada dan mengharapkan syafaat dari Tuhannya dengan amal-amal solehnya.
3 . Bila kamu memohon sesuatu kepada Allah dan berdoa maka ikhlaskanlah niatmu demikian pula puasa dan solatmu.
4 . Janganlah bersumpah dalam keadaan kamu berdusta dan janganlah menuntup sumpah dari orang yang berdusta agar kamu tidak menyekutui mereka dalam dosa.
5 . Taatlah kepada raja-rajamu dan tunduklah kepada pembesar-pembesarmu serta penuhilah selalu mulut-mulutmu dengan ucapan syukur dan puji kepada Allah.
6 . Janganlah iri hati kepada orang-orang yang baik nasibnya, karena mereka tidak akan banyak dan lama menikmati kebaikan nasibnya.
7 . Barang siapa melampaui kesederhanaan tidak sesuatu pun akan memuaskannya.
8 . Tanpa membagi-bagikan nikmat yang diperolehnya seorang tidak dapat bersyukur kepada Allah atas nikmat-nikmat yang diperolehinya itu.
Dalam hubungan dengan firman Allah bahawa Nabi Idris diangkat kemartabat tinggi Ibnu Abi Hatim dalam tafsirnya meriwayatkan bahawa Nabi Idris wafat tatkala berada di langit keempat dibawa oleh seorang Malaikat
Wallahu a’alam bissawab.
Nabi Adam AS Turun ke Bumi
Ia menyatakan kepada mereka bahawa ia adalah kawan mereka dan ingin memberi nasihat dan petunjuk untuk kebaikan dan mengekalkan kebahagiaan mereka. Segala cara dan kata-kata halus digunakan oleh Iblis untuk mendapatkan kepercayaan Adam dan Hawa bahawa ia betul-betul jujur dalam nasihat dan petunjuknya kepada mereka. Ia membisikan kepada mereka bahwa. Larangan Tuhan kepada mereka memakan buah-buah yang ditunjuk itu adalah karena dengan memakan buah itu mereka akan menjelma menjadi malaikat dan akan hidup kekal. Diulang-ulangilah bujukannya dengan menunjukkan akan harumnya bau pohon yang dilarang indah bentuk buahnya dan lazat rasanya. Sehingga pada akhirnya termakanlah bujukan yang halus itu oleh Adam dan Hawa dan dilanggarlah larangan Tuhan.
Allah mencela perbuatan mereka itu dan berfirman yang artinya : “Tidakkah Aku mencegah kamu mendekati pohon itu dan memakan dari buahnya dan tidakkah Aku telah ingatkan kamu bahawa syaitan itu adalah musuhmu yang nyata.”
Adam dan Hawa mendengar firman Allah itu sedarlah ia bahawa mereka telah terlanggar perintah Allah dan bahawa mereka telah melakukan suatu kesalahan dan dosa besar. Seraya menyesal berkatalah mereka : “Wahai Tuhan kami! Kami telah menganiaya diri kami sendiri dan telah melanggar perintah-Mu karena terkena bujukan Iblis. Ampunilah dosa kami karena nescaya kami akan tergolong orang-orang yang rugi bila Engkau tidak mengampuni dan mengasihi kami.”
Allah telah menerima taubat Adam dan Hawa serta mengampuni perbuatan yang mereka telah lakukan, dan telah melegakan dada mereka dan menghilangkan rasa sedih akibat kelalaian peringatan Tuhan tentang Iblis sehingga terjerumus menjadi mangsa bujukan dan rayuannya yang manis namun beracun itu.
Adam dan Hawa merasa tenteram kembali setelah menerima pengampunan Allah dan selanjutnya akan menjaga jangan sampai tertipu lagi oleh Iblis dan akan berusaha agar pelanggaran yang telah dilakukan dan menimbulkan murka dan teguran Tuhan itu menjadi pelajaran bagi mereka berdua untuk lebih berhati-hati menghadapi tipu daya dan bujukan Iblis yang terlaknat itu. Harapan untuk tinggal terus di syurga yang telah pudar karena perbuatan pelanggaran perintah Allah, hidup kembali dalam hati dan fikiran Adam dan Hawa yang merasa kenikmatan dan kebahagiaan hidup mereka di syurga tidak akan terganggu oleh sesuatu dan bahawa ridha Allah serta rahmatnya akan tetap melimpah di atas mereka untuk selama-lamanya. Akan tetapi Allah telah menentukan dalam takdir-Nya apa yang tidak terlintas dalam hati dan tidak terfikirkan oleh mereka. Allah SWT yang telah menentukan dalam takdir-nya bahawa bumi yang penuh dengan kekayaan untuk dikelolanya, akan dikuasai kepada manusia keturunan Adam memerintahkan Adam dan Hawa turun ke bumi sebagai benih pertama dari hamba-hambanya yang bernama manusia itu. Berfirmanlah Allah kepada mereka : “Turunlah kamu ke bumi sebagian daripada kamu menjadi musuh bagi sebagian yang lain kamu dapat tinggal tetap dan hidup disan sampai waktu yang telah ditentukan.”
Turunlah Adam dan Hawa ke bumi menghadapi cara hidup baru yang jauh berlainan dengan hidup di syurga yang pernah dialami dan yang tidak akan berulang kembali. Mereka harus menempuh hidup di dunia yang fana ini dengan suka dan dukanya dan akan menurunkan umat manusia yang beraneka ragam sifat dan tabiatnya berbeda-beda warna kulit dan kecerdasan otaknya. Umat manusia yang akan berkelompok-kelompok menjadi suku-suku dan bangsa-bangsa di mana yang satu menjadi musuh yang lain saling bunuh-membunuh, aniaya-menganianya dan tindas-menindas sehingga dari waktu ke waktu Allah mengutus nabi-nabi-Nya dan rasul-rasul-Nya memimpin hamba-hamba-Nya ke jalan yang lurus penuh damai kasih sayang di antara sesama manusia jalan yang menuju kepada ridha-Nya dan kebahagiaan manusia di dunia dan akhirat.
Al_Quran menceritakan kisah Adam dalam beberapa surah di antaranya surah Al_Baqarah ayat 30 sehingga ayat 38 dan surah Al_A’raaf ayat 11 sehingga 25.
Nabi Adam AS (آدم)
Para malaikat ketika diberitahukan oleh Allah SWT akan kehendak-Nya menciptakan makhluk lain itu, mereka khuatir kalau-kalau kehendak Allah menciptakan makhluk yang lain itu, disebabkan kelalaian mereka dalam ibadah dan menjalankan tugas atau karena pelanggaran yang mereka lakukan tanpa disadari. Berkata mereka kepada Allah SWT : “Wahai Tuhan kami!Buat apa Tuhan menciptakan makhluk lain selain kami, padahal kami selalu bertasbih, bertahmid, melakukan ibadah dan mengagungkan nama-Mu tanpa henti-hentinya, sedang makhluk yang Tuhan akan ciptakan dan turunkan ke bumi itu, nescaya akan bertengkar satu dengan lain, akan saling bunuh-membunuh berebutan menguasai kekayaan alam yang terlihat diatasnya dan terpendam di dalamnya, sehingga akan terjadilah kerusakan dan kehancuran di atas bumi yang Tuhan ciptakan itu.”
Allah berfirman, menghilangkan kekhuatiran para malaikat itu:
“Aku mengetahui apa yang kamu tidak ketahui dan Aku sendirilah yang mengetahui hikmat penguasaan Bani Adam atas bumi-Ku.Bila Aku telah menciptakannya dan meniupkan roh kepada nya,bersujudlah kamu di hadapan makhluk baru itu sebagai penghormatan dan bukan sebagai sujud ibadah,karena Allah s.w.t. melarang hamba-Nya beribadah kepada sesama makhluk-Nya.”
Kemudian diciptakanlah Adam oleh Allah SWT dari segumpal tanah liat, kering dan lumpur hitam yang berbentuk. Setelah disempurnakan bentuknya ditiupkanlah roh ciptaan Tuhan ke dalamnya dan berdirilah ia tegak menjadi manusia yang sempurna.
Iblis membangkang dan enggan mematuhi perintah Allah seperti para malaikat yang lain, yang segera bersujud di hadapan Adam sebagai penghormatan bagi makhluk Allah yang akan diberi amanat menguasai bumi dengan segala apa yang hidup dan tumbuh di atasnya serta yang terpendam di dalamnya. Iblis merasa dirinya lebih mulia, lebih utama dan lebih agung dari Adam, karena ia diciptakan dari unsur api, sedang Adam dari tanah dan lumpur. Kebanggaannya dengan asal usulnya menjadikan ia sombong dan merasa rendah untuk bersujud menghormati Adam seperti para malaikat yang lain, walaupun diperintah oleh Allah.
Tuhan bertanya kepada Iblis : “Apakah yang mencegahmu sujud menghormati sesuatu yang telah Aku ciptakan dengan tangan-Ku?”
Iblis menjawab : “Aku adalah lebih mulia dan lebih unggul dari dia. Engkau ciptakan aku dari api dan menciptakannya dari lumpur.”
Karena kesombongan, kebongkakan dan pembangkangannya melakukan sujud yang diperintahkan, maka Allah menghukum Iblis dengan mengusir dari syurga dan mengeluarkannya dari barisan malaikat dengan disertai kutukan dan laknat yang akan melekat pada dirinya hingga hari kiamat. Di samping itu ia dinyatakan sebagai penghuni neraka.
Iblis dengan sombongnya menerima dengan baik hukuman Tuhan itu dan ia hanya mohon agar kepadanya diberi kesempatan untuk hidup kekal hingga hari kebangkitan kembali di hari kiamat. Allah meluluskan permohonannya dan ditangguhkanlah ia sampai hari kebangkitan, tidak berterima kasih dan bersyukur atas pemberian jaminan itu, bahkan sebaliknya ia mengancam akan menyesatkan Adam, sebagai sebab terusirnya dia dari syurga dan dikeluarkannya dari barisan malaikat, dan akan mendatangi anak-anak keturunannya dari segala sudut untuk memujuk mereka meninggalkan jalan yang lurus dan bersamanya menempuh jalan yang sesat, mengajak mereka melakukan maksiat dan hal-hal yang terlarang, menggoda mereka supaya melalaikan perintah-perintah agama dan mempengaruhi mereka agar tidak bersyukur dan beramal soleh.
Kemudian Allah berfirman kepada Iblis yang terkutuk itu:
“Pergilah engkau bersama pengikut-pengikutmu yang semuanya akan menjadi isi neraka Jahanam dan bahan bakar neraka. Engkau tidak akan berdaya menyesatkan hamba-hamba-Ku yang telah beriman kepada Ku dengan sepenuh hatinya dan memiliki aqidah yang mantap yang tidak akan tergoyah oleh rayuanmu walaupun engkau menggunakan segala kepandaianmu menghasut dan memfitnah.”
Allah hendak menghilangkan anggapan rendah para malaikat terhadap Adam dan menyakinkan mereka akan kebenaran hikmat-Nya menunjuk Adam sebagai penguasa bumi, maka diajarkanlah kepada Adam nama-nama benda yang berada di alam semesta, kemudian diperagakanlah benda-benda itu di depan para malaikat seraya: “Cubalah sebutkan bagi-Ku nama benda-benda itu, jika kamu benar merasa lebih mengetahui dan lebih mengerti dari Adam.”
Para malaikat tidak berdaya memenuhi tentangan Allah untuk menyebut nama-nama benda yang berada di depan mereka.Mereka mengakui ketidak-sanggupan mereka dengan berkata : “Maha Agung Engkau! Sesungguhnya kami tidak memiliki pengetahuan tentang sesuatu kecuali apa yang Tuhan ajarkan kepada kami. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana.”
Adam lalu diperintahkan oleh Allah untuk memberitahukan nama-nama itu kepada para malaikat dan setelah diberitahukan oleh Adam, berfirmanlah Allah kepada mereka : “Bukankah Aku telah katakan padamu bahawa Aku mengetahui rahsia langit dan bumi dan mengetahui apa yang kamu lahirkan dan apa yang kamu sembunyikan.”
Adam diberi tempat oleh Allah di syurga dan baginya diciptakanlah Hawa untuk mendampinginya dan menjadi teman hidupnya, menghilangkan rasa kesepiannya dan melengkapi keperluan fitrahnya untuk mengembangkan keturunan. Menurut cerita para ulama Hawa diciptakan oleh Allah dari salah satu tulang rusuk Adam yang disebelah kiri diwaktu ia masih tidur sehingga ketika ia terjaga, ia melihat Hawa sudah berada di sampingnya. ia ditanya oleh malaikat : “Wahai Adam! Apa dan siapakah makhluk yang berada di sampingmu itu?”
Berkatalah Adam : “Seorang perempuan.”Sesuai dengan fitrah yang telah diilhamkan oleh Allah kepadanya”. ” Siapa namanya? “ tanya malaikat lagi. “Hawa”, jawab Adam. “Untuk apa Tuhan menciptakan makhluk ini?” ,tanya malaikat lagi.
Adam menjawab : “Untuk mendampingiku,memberi kebahagian bagiku dan mengisi keperluan hidupku sesuai dengan kehendak Allah.”
Allah berpesan kepada Adam : “Tinggallah engkau bersama isterimu di syurga,rasakanlah kenikmatan yang berlimpah-limpah didalamnya, rasailah dan makanlah buah-buahan yang lazat yang terdapat di dalamnya sepuas hatimu dan sekehendak nasfumu. Kamu tidak akan mengalami atau merasa lapar, dahaga ataupun letih selama kamu berada di dalamnya. Akan tetapi Aku ingatkan janganlah makan buah dari pohon ini yang akan menyebabkan kamu celaka dan termasuk orang-orang yang zalim. Ketahuilah bahawa Iblis itu adalah musuhmu dan musuh isterimu,ia akan berusaha membujuk kamu dan menyeret kamu keluar dari syurga sehingga hilanglah kebahagiaan yang kamu sedang nikmat ini.”