Selasa, 11 Ogos 2009

Ikhlas Tapi Jauh

Hadith :
Dari Mu’awiyah r.a katanya Rasulullah SAW bersabda: ”Janganlah kamu meminta-minta. Demi Allah! Tidak seorang jua pun yang meminta kepadaku, yang tidak kupenuhi permintaannya. Tetapi seorang yang kuberi dengan hati enggan, maka pemberianku itu tidak berkat baginya.”

(al-Bukhari)

Huraian
1. Sesungguhnya tangan yang di atas adalah lebih baik daripada tangan yang di bawah. Tangan yang di atas adalah yang memberi dan yang di bawah adalah yang meminta
2. Orang yang berhati ikhlas bermakna bahawa ia tidak mempunyai perasaan tamak. Sebaliknya orang yang tidak ikhlas akan membatalkan pahala amalan kebaikan yang dilakukannya termasuk sedekah, sama ada dengan mengungkit atau menyebut-nyebut perkara yang boleh menyakitkan hati orang yang menerima kebajikannya itu.
3. Allah berfirman yang maksudnya:” Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak) dan dia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi)... (al-Baqarah: 264)
4. Menolak permintaan peminta-peminta sedekah dengan perkataan yang baik dan memaafkan kesilapan mereka adalah lebih utama daripada sedekah pemberian yang diiringi dengan perbuatan atau perkataan yang menyakitkan hati.
5. Meminta-minta pada orang lain adalah perbuatan yang tidak digalakkan di dalam Islam. Malah ia boleh menjatuhkan maruah dan memberikan imej yang buruk sedangkan Allah SWT memerintahkan manusia supaya berusaha dan berkerja dengan disediakan berbagai lapangan pencarian rezaki yang halal di muka bumi ini. Setiap manusia berhak ke atasnya asalkan dia berusaha dengan bersungguh-sungguh mengikut kemampuan yang ada padanya tanpa perlu menagih simpati daripada sesiapapun.

0 comments:

Catat Ulasan

Template by:
Free Blog Templates