Isnin, 17 Ogos 2009

Tabir Takdir

Hadith :
Daripada Ibnu Umar r.a katanya, Rasulullah SAW berkata yang maksudnya : “ Tiap-tiap sesuatu dengan kadar hinggakan kelemahan dan kecerdikan.”

(Muslim)

Huraian
Allah SWT berfirman yang maksudnya: “Sesungguhnya segala sesuatu Kami ciptakan dengan qadar (ukuran, aturan)” (al-Qamar: 49). Takdir ialah hukum, ketentuan yang menjadi peraturan dan undang-undang terhadap terjadinya segala sesuatu dalam bentuk sebab-akibat. Iaitu dari sebab hubungan sesuatu dengan sesuatu yang lain dengan kadarnya masing-masing, di situ ada ukuran dan aturan yang menjadi undang-undang yang mengakibatkan wujudnya kadar lain lagi. Hikmah daripada ketetapan kadar dan ketentuan adalah untuk kebahagiaan manusia sendiri dalam menjalani kehidupan di dunia ini. Allah SWT berfirman yang maksudnya: “(Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu. Dan (ingatlah) Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur lagi membanggakan diri.” (al-Hadid : 23) Inti pati ayat ini mengingatkan kita agar tidak berputus asa apabila terpaksa menerima sebarang kegagalan atau tidak bersedih dengan kemiskinan atau kecewa dengan kemelaratan hidup. Seterusnya kita dianjurkan supaya tidak berbangga apabila mendapat sesuatu kejayaan atau tidak terlalu bergembira (tanpa bersyukur), hingga lupa daratan kerana mendapat kekayaan dan kemewahan hidup kerana kegagalan atau kejayaan, kemiskinan atau kekayaan itu pada hakikatnya adalah mengikut ketetapan Allah.

0 comments:

Catat Ulasan

Template by:
Free Blog Templates