Rabu, 12 Ogos 2009

Balasan Membebaskan Hutang

Hadith :
Dari Abdullah bin Abu Qatadah r.a, katanya:”Abu Qatadah mencari seseorang yang berhutang kepadanya dan menghilangkan diri. Kemudian orang itu ditemuinya. Dia berkata kepada Abu Qatadah,:”Aku sedang dalam kesulitan.” Maka berkata Abu Qatadah:“Demi Allah! Demi Allah! Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda,:”Sesiapa yang ingin dibebaskan Allah dari kesulitan pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelapangan bagi orang-orang yang dalam kesulitan atau membebaskannya dari hutang.”

(Muslim)

Huraian
Di zaman sekarang, hampir tidak ada orang yang tidak mempunyai hutang. Apabila seseorang yang berhutang itu meninggal dunia, semua amal akan ditangguhkan oleh Allah hingga hutang orang yang meninggal itu dilunasi. Maka sebagai satu agama yang begitu berkasihan belas dan berperikemanusiaan, Islam menggalakkan orang yang berhutang untuk menghalalkan hutang mereka. Malah, disebutkan dalam ayat 280, Surah al-Baqarah yang bermaksud:”Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak).” Namun begitu dalam hal ini, sebagai orang yang berhutang adalah tidak wajar untuk kita mengharapkan orang yang kita hutangi menghalalkan hutang yang diberi kerana ia berkaitan dengan hak dan kewajipan kita sehingga kegagalan kita menjelaskan hutang memungkinkan timbul kesulitan di pihak yang memberi hutang hingga akhirnya menyebabkan perbalahan. Situasi ini bukan sahaja akan mengeruhkan keadaan bahkan merosakkan imej orang berhutang itu sendiri yang sedikit sebanyak akan menghakis kepercayaan orang terhadapnya dan seterusnya menyukarkan dia mendapatkan bantuan apabila ditimpa kesempitan.

0 comments:

Catat Ulasan

Template by:
Free Blog Templates