Jumaat, 21 Ogos 2009

Balasan Mentauhidkan Allah

Hadith :
Daripada Abu Malik al-Asyja’iy daripada bapanya bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “ Sesiapa yang mentauhidkan Allah dan mengkufurkan apa-apa yang disembah selainnya nescaya diharamkan hartanya dan darahnya dan hisabnya menjadi tanggungjawab Allah Azza wa Jalla.”

(Muslim dan Ahmad)

Huraian
Mengikut istilah syarak, makna tauhid adalah menjadikan Allah sebagai satu-satunya Tuhan yang disembah. Daripada makna ini dapat difahamkan bahawa dalam sekian banyak sembahan yang dilakukan oleh manusia, sama ada yang menyembah manusia, batu, patung berhala dan sebagainya, hanya orang yang mentauhid dan menyembah Allah semata-mata dikira sebagai tidak mensyirikkan Allah. Mereka inilah yang memiliki tauhid uluhiyyah iaitu menyerahkan semua ibadah kepada Allah semata-mata, tidak kepada yang lain. Sedangkan orang kafir jahiliah selain beribadah kepada Allah, mereka juga memohon, berdoa dan meminta kepada yang selain daripada Allah seperti mana mereka bertenung nasib, mempercayai keramat, tangkal azimat dan seumpama dengannya. Inilah yang disanggah oleh Rasulullah SAW padahal Allah SWT telah berfirman yang maksudnya: “Tidak ada sesuatu pun yang menyerupai Allah.. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar Lagi Maha Melihat” (Asy-Syura: 11) Sesungguhnya sesiapa yang mentauhidkan Allah hingga sampai ke tahap ‘hanya kepada Engkau kami menyembah dan hanya kepada Engkau kami meminta pertolongan” maka Allah SWT akan memasukkannya ke dalam syurga, diharamkan hartanya dan darahnya dan hisabnya menjadi tanggungjawab Allah sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis di atas. Malah, mentauhidkan Allah adalah tujuan utama penciptaan makhluk seperti mana yang ditegaskan oleh Allah SWT di dalam firman-Nya yang bermaksud: "Dan tidak Aku ciptakan jin dam manusia itu kecuali untuk mengabdikan diri kepada-Ku". (al-Zaariyat: 56).

0 comments:

Catat Ulasan

Template by:
Free Blog Templates