Rabu, 12 Ogos 2009

Golongan Yang Tidak Dipedulikan Allah Di Akhirat Kelak

Hadith :
Daripada Ibnu Hibban, al-Hakim, Ibnu Abi ‘Ashim, Ahmad dan Ibnu Asakir meriwayatkan daripada Fudhalah bin ‘Ubaid r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiga orang yang tidak ditanya mengenai mereka : Seorang lelaki yang meninggalkan jemaah, menderhakai imamnya dan mati sebagai penderhaka. Seorang hamba lelaki atau wanita yang lari lalu mati. Seorang wanita yang ketiadaan suaminya di rumah padahal suaminya telah mencukupkan kepadanya belanja dunia lalu ia berhias selepas ketiadaan suaminya di rumah. Maka mereka tidak ditanya. Dan tiga orang yang tidak ditanya mengenai mereka iaitu: Seorang lelaki yang merebut pakaian Allah kerana pakaian Allah ialah kesombongan dan kainnya ialah kemuliaan. Dan seorang lelaki yang ragu mengenai urusan Allah dan putus asa dari rahmat Allah.”

(al-Bukhari, Ibnu Hibban, al-Hakim, Ibnu Abi ‘Ashim dan Ibnu Asakir)

Huraian
Allah SWT amat benci kepada orang yang melakukan perkara-perkara dosa dan maksiat. Antara ancaman dan kutukan itu ialah Allah melaknat perbuatan tersebut, menjanjikan pelakunya dengan azab seksa yang pedih, memasukkannya ke dalam neraka, Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada Hari Kiamat, tidak membersihkan dosa-dosa mereka dan tidak memandang mereka. Perkara-perkara maksiat yang dikutuk dan diancam itu menunjukkan bahawa Allah SWT sangat murka kepada mereka yang melakukannya. Apa yang dimaksudkan dengan “Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada Hari Kiamat” ialah Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka sebagaimana kata-kata orang-orang yang baik dan tidak menyatakan keredaan-Nya, malah Allah akan berkata-kata kepada mereka sebagaimana kata-kata orang-orang yang murka. Menurut jumhur ahli tafsir, ia bermaksud bahawa Allah tidak akan berkata-kata dengan perkataan yang memberi manfaat dan menggembirakan mereka. Ada juga yang berpendapat bahawa Allah tidak akan mengutus malaikat kepada mereka untuk memberi penghormatan kepada mereka. Sementara maksud “Allah tidak akan memandang mereka” ialah Allah Ta‘ala akan memalingkan pandangan-Nya dari mereka. Manakala maksud pandangan Allah kepada hamba-hamba-Nya ialah rahmat dan taufik serta perlindungan-Nya terhadap mereka.

0 comments:

Catat Ulasan

Template by:
Free Blog Templates