Rabu, 26 Ogos 2009

Galakan Bersedekah

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:”Perumpamaan orang yang bersedekah lalu menarik kembali sedekahnya itu hanyalah seperti anjing yang muntah lalu memakan muntahnya itu. ”


Riwayat Muslim


Huraian
i) Setiap anggota masyarakat hendaklah mengamalkan konsep “berat sama dipikul ringan sama dijinjing” di mana atas dasar persaudaraan, seorang saudara tidak akan sanggup dan tidak senang jika melihat saudaranya yang lain ditimpa kemudharatan. Dia tidak akan keberatan untuk membantu sedaya upaya bagi mengurangkan penderitaan mereka yang bernasib malang.
ii) Setiap jariah yang baik harus dimanfaatkan dengan cara mengeluarkan derma khairat kepada masjid, surau, anak-anak yatim, janda-janda yang tidak terbela, membantu mangsa-mangsa kebakaran atau peperangan. Oleh sebab itu penubuhan tabung-tabung yang bersifat kebajikan patut diperkukuhkan dan diberi sokongan supaya dapat membantu membina kesejahteraan rakyat .
iii) Perbuatan memberi tidak boleh di fahami dengan makna pengurangan sebaliknya ia membawa kepada penambahan dan penyuburan seperti ibadat zakat yang membolehkan harta terus berkembang dan terus bertambah. Manakala dari sudut keakhiratan pula, terlalu banyak ayat-ayat dan hadis-hadis yang memuatkan janji-janji dan kelebihan yang akan di perolehi oleh orang yang suka bersedekah, menderma dan mengeluarkan zakat hartabenda mereka.
iv) Galakan bersedekah merupakan latihan jiwa atau rohani agar diri seseorang itu mempunyai perasaan halus (peka dan prihatin) dan sebagai tanda bersyukur di atas nikmat yang diberikan oleh Allah S.W.T.
v) Bersedekah hendaklah disertakan dengan niat yang ikhlas dan jangan menarik balik sedekah yang telah diberikan. Firman Allah yang bermaksud: "Jika kamu menampakkan sedekah (mu), maka itu adalah baik sekali. Dan jika kamu menyembunyikannya dan kamu berikan kepada kaum fakir, maka menyembunyikannya itu lebih baik bagimu. Dan Allah akan menghapus dari kamu sebahagian kesalahan-kesalahanmu dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan." (Al-Baqarah : 271)

0 comments:

Catat Ulasan

Template by:
Free Blog Templates