Selasa, 11 Ogos 2009

Sedekah Tidak Mengurangkan Harta

Hadith :
Daripada Abu Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “ Sedekah tidak mengurangkan harta. Allah tidak melebihkan seseorang hamba dengan kemaafan-Nya melainkan kemuliaan dan tidak merendahkan diri seseorang melainkan Allah mengangkatnya.”

(Muslim, ad-Darimi dan Ahmad)

Huraian
Dalam amalan bersedekah, kita perlu melakukannya dengan ikhlas kerana Allah, bukan disebabkan balasan nama atau sekadar bersedekah saja. Agar sedekah tidak menjadi sia-sia, Islam mengajarkan umatnya menyumbang dan bersedekah menepati erti ‘sedekah’ iaitu :
1. Sedekahlah dengan barang yang disenangi penerima. Allah melarang bersedekah dengan benda yang tidak baik kerana bersedekah adalah ibadat dan tanda mensyukuri nikmat Allah. Firman Allah yang maksudnya : “Wahai orang yang beriman! Belanjakanlah pada jalan Allah sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik dan sebahagian daripada apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat, padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu kalau diberikan kepada kamu, kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa terpuji.” (al-Baqarah: 267)
2. Sesuatu yang disedekahkan ialah yang halal, bukan haram atau subahat.
3. Sunat bagi pemberi sedekah atau penderma bersedekah dan menderma daripada benda yang disukai dan disayangi, tidak kira sama sedikit atau banyak sebagaimana firman Allah SWT yang maksudnya: “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai hakikat kebajikan dan kebaktian yang sempurna sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi. Dan apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya.” (Ali-Imran:92)
4. Bersedekah dengan disertai keikhlasan, bukan mengungkit, merungut, membidas dan menyakiti hati orang yang menerima sedekah kerana perbuatan ini haram dan merosakkan amalan bersedekah.
5. Sedekah yang diberikan secara sembunyi lebih afdhal, ibarat tangan kanan yang memberi, tangan kiri tidak mengetahuinya.

0 comments:

Catat Ulasan

Template by:
Free Blog Templates